Friday, August 29, 2008

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! - Sejauhmana Kemerdekaan Kita?!

Dalam entry yang lepas, Tempua pernah mengatakan yang masa lalu kita telah membentuk siapa kita hari ini. Mungkin ada yang berbangga dengan apa yang mereka miliki hari ini -kemewahan, kedudukan/pangkat dan nama dan ada juga yang kecewa dan kurang bangga dengan apa yang mereka ada.

Lebih membuat kita bangga bila apa yang kita dapat atau miliki hari ini adalah hasil dari usaha dan penat lelah kita sendiri. Sudah pasti kita akan menghargai sebab kita dapat rasakan sendiri bagaimana susah untuk mendapatkannya. Bila kekayaan atau keselesaan hidup yang kita ada itu diwarisi, maka sifat menghargai apa yang kita ada itu kian pudar. Kerana kita tak melaluinya...hanya mewarisinya.

Begitu jugalah dengan KEMERDEKAAN ke -51 yang kita akan sambut esok. Generasi pewaris yang mewarisi udara kebebasan di bumi Malaysia ini semakin hilang rasa bangganya pada negara. Tempua yang lahir sebagai anak merdeka juga akui yang 'kurang hargai' dalam ertikata sebenarnya bila menyebut tentang semangat kemerdekaan.

Bukannya Tempua tidak patriotik atau mencintai negara. Tempua sangat cinta dan sayangkan negara ini, begitu juga dengan yang lain. Tetapi ianya tidak dapat menandingi dan tidak sehebat orang-orang yang merasai sendiri bagaimana seksanya hidup sebelum merdeka. Bagaimana deritanya hidup dijajah. Mereka yang alami sendiri detik atau peristiwa ketika itu sudah tentu berbangga dengan transisi Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Berbangga dengan apa yang mereka dapat dan perjuangkan.

Tetapi generasi pewaris yang lahir selepas merdeka, mereka berbangga dengan apa yang mereka ada. Bukan dapat dan perjuangkan. Jadi perasaannya tentu berlainan. Lahir-lahir sahaja sudah hirup udara kebebasan dan kemajuan, tentunya semangat yang ada pada diri mereka tidak sehebat generasi yang mengalami dan berjuang sendiri untuk kemerdekaan. Semangat yang mereka (Tempua juga) perolehi hanyalah melalui pembacaan dan rakaman rentetan sejarah tanahair, sudah tentu 'thrill'nya lain.

Cuma kadang-kadang Tempua terfikir juga...secara zahirnya kita sudah merdeka. Akan tetapi, banyak jiwa yang masih belum merdeka. Cuba renungkan senario ini...

MERDEKAKAH kita... bila kita tidak tahu menghormati undang-undang dan pengguna jalanraya dengan memandu secara berbahaya dan melulu?!

MERDEKAKAH kita... bila kita tidak tahu menghargai nyawa bayi yang baru lahir dengan sanggup membuang (dengan niat hendak membunuh) tanpa belas?!

MERDEKAKAH kita... bila kita menjerumus dan membiarkan diri dijangkiti penyakit sosial?!

Rasanya banyak lagi tentang persoalan 'MERDEKAKAH KITA' yang masih lagi membelengu jiwa yang belum dapat lagi kita bebaskan. Hanya kita yang mampu merdekakan diri kita.

Dengan kebebasan dan keamanan yang kita kecapi inilah maka kita dapat menyambut kehadiran Ramadhan dengan selesa. Cuba bayangkan jika negara kita masih lagi kacau bilau dan berada dalam keadaan huru hara? Bayangkan Iraq, Palestine, Afghanistan dan negara-negara lain yang tidak stabil politiknya. Adakah kita sanggup gadaikan keamanan ini?!

Ironinya, pada tahun ini kita betul-betul meraikan hari KEMERDEKAAN kerana disamping menyambut kemerdekaan negara kita dari penjajah, kita juga akan 'merdeka' dari jajahan hawa nafsu dan hasutan syaitan bila kita menyambut pula bulan Ramadhan. Semoga kehadiran Ramadhan dapat memberi kita seribu Rahmat dan keinsafan buat kita yang menyambutnya dengan jiwa yang merdeka.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-51 dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam.

- tempua.siber -

Thursday, August 21, 2008

Berhenti Sejenak...Renung-Renungkan & Bersyukurlah!

Dalam banyak keadaan, kita seringkali lupa untuk bersyukur. Syukur kerana nikmat kehidupan yang kita perolehi jika dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi, bila kita ditimpa musibah dan kesusahan, serta merta kita ingat kepada Allah. Kita berdoa minta dijauhkan segala keperitan yang melanda. Minta hilangkan duka nestapa. Minta disembuhkan sakit yang diderita.
Pelikkan! Tapi itulah hakikatnya manusia ini.

Cuba kita fikir...kesusahan kita tak dapat menandingi penderitaan ramai lagi fakir miskin diluar sana yang jauh lebih perit. Perut kosong kita belum pernah lagi kebulur berhari-hari tak menjamah makanan seperti mereka yang kebuluran-tak cukup makan kerana tiada makanan. Bila kita terasa dikongkong, tak dapat bergerak bebas, tidaklah sesukar mana jika dibandingkan dengan negara-negara yang berkonflik dan berperang. Mereka tiada kebebasan dan sering berada dalam kebimbangan serta ketakutan. Nyawa bagai sudah tiada harga lagi. Begitu juga dengan kesihatan diri kita. Alhamdulillah...masih lagi boleh bergerak sihat jika dibandingkan dengan mereka yang terlentang dan menderita sakit kronik. Dan...cuba kita bayangkan betapa bahagianya kita kita berada di sisi ibu bapa dan keluarga sedangkan ramai anak-anak yatim yang sangat rindukan belaian kasih sayang ibu bapa. Banyak lagi kelebihan diri kita jika nak dibandingkan dengan nasib insan-insan malang yang lain.

Pernahkah kita bersyukur atau tidakkah patut kita bersyukur?! Yer...di saat kebahagiaan mengelilingi kita...kita lupa untuk bersyukur atas apa yang kita nikmati selama ini.

Cuba kita bayangkan sejenak. Bagaimanakah perasaan seorang anak yatim yang masih kecil bila melihat rakan sebaya mereka mempunyai ibu bapa untuk bermanja? Pasti sayu hati mereka dengan kekurangan ’nikmat’ tersebut. Tapi apakan daya, mereka harus akur pada takdir. Mungkin jauh disudut hati, andai diberi kesempatan untuk bermanja dengan insan yang bernama ibu dan bapa, peluang tersebut pasti akan digunakan sebaik mungkin dan tidak akan dipersiakan seperti mana kita leka dengan peluang yang kita perolehi.

Bayangkan pula apabila kita kehilangan orang yang tersayang untuk selamanya. Kehilangan anak, adik beradik, ayah, ibu atau sesiapa sahaja yang begitu ’bernilai’ dalam hidup kita, pastinya ia merupakan dugaan hebat untuk kita lalui. Kenangan bersama mereka akan sering menghambat peraasaan. Kesedihan akan berlipat kali ganda lagi bila hari-hari istimewa seperti ketibaan Ramadhan dan Syawal. Tapi, apakan daya mereka. Mahu atau tidak mereka perlu meneruskan kehidupan kerana inilah takdir buat mereka.

Tapi, bila kita melihat dari sisi yang lain pula, anak-anak yang mempunyai ibu bapa sering mengabaikan ’nikmat’ yang Allah pinjamkan untuk mereka. Peluang yang diberikan tidak diguna sepenuhnya. Mereka cuai. Tempua-pun 2 x 5. Seringkali lalai dan lupa kepada perkara tersebut. Bila mereka dah tiada, barulah kita rasa kehilangan. Ketika itu semuanya dah terlambat. Ingat...kita hanya ada seorang ibu dan ayah sahaja. Tiada ganti.

Kita perlu bersyukur dengan Rahmat-Nya. Dia memberi kita kesempatan untuk menyayangi dan disayangi. Eratkan tali kasih dan jalinkanlah perasaan sayang dengan diri sendiri dan orang-orang yang telah banyak berkorban untuk kita.

Ya, masing-masing mempunyai kelemahan diri. Terimalah kelemahan mereka. Bertolak ansur,sabar dan saling menghormati adalah senjata dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Tak kiralah perhubungan sesama keluarga ataupun dalam persahabatan.

Biasalah kalau sering rasa kecil hati. Sedangkan lidah lagi tergigit. Yang penting kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada kewarasan fikiran sebelum bertindak. InsyaAllah, yang keruh boleh menjadi jernih. Yang hitam pasti bertukar putih. Malam pasti bertukar siang. Cahaya matahari sentiasa bersinar, Cuma kadang-kadang ada sesuatu yang menghalangnya dari terus menyimbahi kita.

Tapi, jangan pula kita lupa kepada insan yang kurang bernasib baik. Tentu ada cara yang kita boleh lakukan untuk meringankan beban penderitaan mereka dari segi emosi dan fizikal. Mereka tidak diminta untuk diduga dengan dugaan sebegitu, tetapi ketahuilah, jika kita terpilih untuk menerima Rahmat-Nya, mereka ini juga terpilih untuk menerima dugaan-Nya yang pastinya ada hikmah dan ganjaran besar menanti mereka. Bukankah Allah itu Maha Adil dan Bijaksana.

- tempua.siber -

Monday, August 11, 2008

Nilai Sebuah Katil Merah Jambu

Pertama kali dapat gaji ialah ketika bekerja di kilang semasa menunggu keputusan SPM dulu. Punyalah riang. Ialah, dapat pegang duit hasil titik peluh sendiri…siapa tak bangga kan?. Bukan senang nak cari duit. Perit. Bila dah rasa payahnya barulah kita hargai setiap sen yang kita dapat. Sebelum ni, tahu minta dan tahu nak ada aje. Tak dapat mulalah muncung sedepa. Boleh digantung kuali. Tak pernahpun terfikir yang orang tua kita ada duit ke tidak! Kita tak peduli semua tu....

Bila dah rasai sendiri jerit payah untuk mencari duit. Insaflah kejap. Rasa menyesal pulak bila difikir semula. Betullah kata orang, kita kena rasai dulu baru kita boleh fahami sesuatu situasi. Setakat dengar nasihat, susah juga kita nak memahami secara total. Masuk telinga kiri...keluar telinga kanan.

Ok, kita letak tepi dulu kisah faham memahami tu.

Bila dah pegang duit, dompet dah kembung sikit (Alaa..dompet zip zap yang ada gambar snoopy tu...) macam-macamlah yang kita plan nak buat. Bukan banyakpun gaji tapi dia punya plan....masyaAllah, ngalahkan bergaji supervisor. Nak beli itu, nak makan ini...kalau ikut nafsu, silap haribulan boleh pinjam kat PaMa bank (pinjam kat mak bapak daa..) sementara tunggu gaji yang akan datang. Tapi, dalam banyak-banyak list benda yang nak dibeli tu, salah satunya ialah sebuah katil bujang.

Pergilah dengan sepupu ke kedai Bombay yang dia biasa berurusan. Belek punya belek, akhirnya berkenan dengan sebuah katil bujang (besi) yang berwarna merah jambu. Kenapa merah jambu??? Soalan tu tempua tak boleh nak jawab. Tak tahulah kenapa warna tu juga yang menjadi pujaan hati. Mungkin sedap mata memandang kot! Yang pasti itulah 'harta' pertama yang dibeli dari hasil titik peluh sendiri. Harganya...kalau tak silap RM 199.00. Katil tu keluaran terbaru (pada ketika itulah...sekarang ni dah outdated) yang di bawahnya ada lagi satu katil yang boleh disorong tarik.

Maka malam-malam berikutnya, tidurlah dengan lena diulit mimpi yang indah. Pagi-pagi kemas baik-baik. Benda barulah katakan. Mestilah dijaga baik. Kalau boleh, sarung tilam, sarung bantal semuanya nak warna sedondon. Warna pink. Kah Kah Kah.

Ironinya, katil itulah yang banyak berjasa sampai sekarang. Masih cantik lagi walaupun tak berapa nak utuh lagi. Di bahagian bawahnya, katil yang boleh disorong tarik itu tak pernah ada orang tidurpun sampailah sekarang. Sebagai ganti, sekarang ini bahagian tersebut dijadikan 'perpustakaan' sementara untuk menyimpan segala jenis buku-buku ketika belajar dulu. Dan yang paling syok nya pulak...katil yang bahagian atasnya, yang pernah menjadi tempat tidur paling empuk suatu waktu dulu dah tak bertilam. Tilamnya dah dihukum buang. Alahai...kesiannya.

Apapun, bila nak bermimpi indah-indah, sesekali tidur juga di atasnya. Walau tak bertilam, tapi keselesaannya dan ‘bau’ nya masih ada. Ketenangan tetap diperolehi bila berada di atasnya. Kerana apa?! Mungkin kerana tempua sangat menyayanginya dan ia mempunyai nilai yang tersendiri dalam hidup ini.

Cuba kita kaitkan kisah ini dengan kehidupan seharian. Kasih sayang memainkan peranan yang penting dari harta benda. Tetapi ramai yang lupa dan leka. Harta benda dikejar lebih dari kualiti kehidupan itu sendiri.

Jika kehidupan kita dilimpahi kemewahan tapi tiada kasih sayang, semuanya seolah-olah tidak bererti. Kosong. Tapi andai kita hidup dalam keadaan yang sederhana dan dilimpahi kasih sayang dalam keluarga mahupun dengan orang sekeliling, maka kualiti kehidupan kita akan meningkat. Benda yang kecil dan murahpun akan menjadi sangat berharga dan bernilai. Kerana kuasa kasih sayang melebihi segalanya.

Begitulah juga dengan katil berwarna pink tersebut...walaupun tidak seperti dulu lagi 'gagahnya' tetapi ia tetap menyimpan kenangan peribadi buat tempua kerana disitulah mimpi-mimpi indah menjadi permainan tidur. Sesungguhnya ia memberikan sentimental value yang tersendiri.

- tempua.siber -