Sunday, October 12, 2008

Kemanisan Mantai


Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Itulah ungkapan paling tepat untuk digambarkan bila semua keluarga tempua berkumpul pada hari mantai yang lalu. Bila sebut mantai, pasti terbayang keriuhan, keriangan tak kurang juga keletihan apabila membuat persiapan juadah untuk hari raya. Bayangkanlah bila semua ahli keluarga balik berkumpul (hampir 35 orang) memang gamat jadinya. Tapi itulah yang membangkitkan kemeriahan raya.

Untuk membeli semua keperluan raya, setiap keluarga menyumbangkan RM 100.00 bagi membeli barang kering dan barang basah. Bila dah kumpul, banyaklah jadinya. Jadi selepas sahaja sahur terakhir pada hari mantai, masing-masing dah tahu apa yang perlu dibuat. Yang pergi pasar borong, yang mesin kelapa, yang mesin baju, yang basuh pinggan, yang kemas rumah, yang menyapu halaman rumah, yang menyiapkan barang-barang untuk membakar lemang, potong daging, basuh dan kupik kulit kerang dan macam-macam lagilah.

Untuk juadah tahun ini, keluarga tempua telah sepakat untuk membuat rendang kerang sebanyak 50 kilo (tahun lepas 60 kilo). Rendang ayam kampung 13 ekor. Rendang daging bali 8 kilo. Lemang hampir 40 batang, ketupat nasi 25 bungkus. Itu untuk juadah raya. Manakala untuk berbuka puasa pula antara menunya ialah sup tulang, sambal udang, rebung masak cili padi, daging tetel goreng kunyit, lala goreng pedas dan ikan terubuk masin goreng. Macam nak buata kenduri rasanya.

Bila dah kumpul ramai-ramai tu, usik mengusik pasti ada. Kena tahanlah. Bukan mengusik apapun, cuma membuka cerita-cerita lama. Ialah, sesekali membuka semula lipatan kenangan memanglah seronok. Masa lalu kitalah yang membentuk siapa kita hari ini.

Sesekali usik pula keluarga emak saudara yang juga ramai di rumah sebelah. Bersahut-sahutan lah bila masing-masing menjerit dan berlumba siapa yang masak dahulu. Satu pemandangan yang hebat dan luar biasa dan tempua pasti tidak ramai yang masih mengekalkan tradisi begini. Ada tu memang ada tapi semakin berkurang.

Selepas berbuka dan menunaikan apa yang hak, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk memulakan acara sukaneka keluarga. Tahun ini adalah tahun ketujuh perhimpunan keluarga pada malam raya dan temanya kali ini ialah Manisnya Syawal. Antara sukaneka yang sempat diadakan ialah permainan dodoi si dodoi antara pasangan ibu dan anak saudara perempuan. Permainan cantum cantum antara pasangan ayah dengan anak saudara lelaki (tak dpt diadakan sebab ada antara peserta balik lewat dan hilang ghaib), dan acara rebut kerusi beragam untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Setiap pemenang akan diberikan hadiah istimewa.

Acara ini dibuat untuk merapatkan lagi silaturrahim sesama keluarga dan mendidik generasi muda supaya menghargai institusi kekeluargaan. Ini adalah penting supaya di mana sahaja mereka berada suatu hari nanti, kenangan dan keseronokan bersama keluarga akan menggamit mereka untuk pulang menjenguk saudara mara. InsyaAllah.

Selepas acara permainan, acara tukar-tukar hadiah pula. Setiap individu dalam keluarga harus membawa satu hadiah untuk ditukarkan dengan ahli keluarga yang lain. Nilai hadiah bukanlah keutamaan tetapi semangat untuk berkumpul dan mengambil bahagian itu digalakkan. Selepas selesai, kanak-kanak diberi peluang pula bermain bunga api dibawah pengawasan ibu bapa.

Begitulah antara aktiviti keluarga tempua bila hari mantai setiap tahun. Tahun-tahun mendatang ini tak tentu lagi dapat lberkumpul kerana masing-masing sudah mempunyai tanggungjawab dengan rumah mertua. Tempua faham, untuk berkumpul kesemuanya serentak memanglah sukar. Sekali sekala mereka nak juga beraya di rumah sendiri. Ianya merupakan bonus kalau dapat berkumpul semua dibawah satu bumbung. Tapi apa yang tempua harapkan agar walau dimana juga mereka berkumpul untuk menyambut Syawal nanti, pastikan yang semangat kekeluargaan itu terus hidup subur dalam hati mereka.

Tahun ini akan bertambah lagi 3 ahli keluarga baru bila anak buah tempua akan melahirkan anaknya pada bulan 12 ini dan 2 lagi anak buah tempua melangkah ke alam perkahwinan juga pada bulan 12 ini. Selamat Datang kepada mereka.

Inilah kisah Mantai tempua. Yang pastinya setiap dari anda juga mempunyai kisah yang tersendiri dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menyambut dan meraikannya.

Apalah erti Syawal tanpa keluarga.

- tempua.siber -