Sunday, December 27, 2009

Takdir Kehidupan...Rahsia-Nya


Selamatkah kita? Persoalan ini bermain di fikiran tempua apabila terlalu banyak kejadian-kejadian ‘pelik’ yang meragut nyawa secarta tiba-tiba kebelakangan ini.

Memanglah sebagai umat Islam kita harus menerima qada dan qadar-Nya cuma apabila kejadian yang meragut nyawa itu berlaku secara mengejut dan diluar jangkauan akal, ia seakan menjadi stigma yang merisaukan individu dan masyarakat.

Terbayangkah anda, ketika sedang berada dalam sebuah kompleks membeli belah, tiba-tiba ada sebuah kereta jatuh dari atas?

Terfikirkah anda, ketika sedang tidur di dalam rumah (rumah di anggap tempat yang selamat) tiba-tiba dirempuh oleh lori tangki? Kalau dalam rumah dah tak selamat, apa lagi jika di luar rumah!

Pernah terlintaskah difikiran, bila melihat anak atau saudara anda sedang menonton tv, tiba-tiba ditemui terbaring tidak berapa jauh dari rumah beberapa minit kemudian kerana ditikam penjenayah?

Terfikirkah anda, sedang leka berjalan, tiba-tiba diragut. Bukan sahaja diragut beg tangan, bahkan akibat insiden tersebut, nyawa anda juga mungkin diragut!

Terdetikkah dihati anda yang senyuman berbunga bahagia untuk membina mahligai cinta berakhir dengan tangisan duka mengiringi pemergian insan yang tersayang akibat kemalangan hanya beberapa jam selepas dinikahkan?!

Ini belum lagi diambil kira kejadian bencana alam yang berlaku secara tiba-tiba seperti tsunami, tanah runtuh, banjir dan sebagainya yang tidak memberi amaran kepada sesiapapun.

Benar...ajal dan maut ditangan tuhan. Kita perlu sentiasa memperlengkapkan diri untuk menerima apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kita. Perasaan terkejut pasti ada jika berhadapan dengan situasi seperti di atas. Kadang-kadang hari ini kita baca kisah musibah atau bencana yang berlaku pada orang lain...mungkin esok atau lusa ianya terjadi kepada keluarga atau sanak saudara kita pula.

Itulah sebabnya, sebagai manusia kita tidak perlu berbangga diri. Hidup ini seperti roda. Sekejap di atas, sekejap lagi kita dibawah. Perkara-perkara yang berlaku disekeliling kita perlu dianalisis dan di diagnosis untuk mencari sebab dan punca kerana ia melibatkan rantaian kepada persalan Apa dan Kenapa. Saling berhubung kait. Perlu diperhalusi.

Sesungguhnya kita tidak berkuasa untuk melawan takdir. Kita tidak mengetahui takdir kita. Perjalanan hidup kita sudah tertulis. Tetapi kita mampu berdoa supaya perkara-perkara buruk dijauhi dari kehidupan kita. Kita juga digalakkan sentiasa berdoa kepada perkara-perkara yang yang membawa kebaikan.

Mungkin semua kejadian itu ada hikmah yang tersembunyi. Hidden Blessing. Kerana Allah tidak akan menduga hambanya melebihi dari kemampuan dirinya sendiri. Dalam erti kata lain, setiap musibah yang melanda seseorang itu adalah musibah yang mampu dihadapinya. InsyaAllah.

Kesempatan ini, tempua mengucapkan takziah kepada keluarga 10 mangsa korban tragedi bas express semalam (26-10-2009). Al-fatihah untuk mangsa yang beragama Islam.

Take it as a blessing in disguise

- tempua.siber -

Saturday, December 19, 2009

Saling Memerlukan...




Dalam setiap pembangunan yang hendak dijalankan, kajian dan perancangan haruslah dibuat terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan timbulnya masalah dikemudian hari. Walaupun kadang-kadang sesuatu pembangunan itu perlu disegerakan atas nama kepentingannya kepada masyarakat setempat, faktor-faktor kritikal perlu diambil kira juga supaya masalah tidak menjadi semakin rumit dan bercelaru.

Kemudahan-kemudahan asas yang perlu disediakan untuk kawasan yang menjadi tumpuan umum haruslah mencukupi seperti tandas, kawasan menunggu/tempat duduk, ruang solat, telefon awam dan juga tempat meletak kenderaan.

Selalunya yang menjadi masalah ialah kawasan meletak kenderaan yang tidak mencukupi. Apabila perkara ini diambil mudah atau remeh dalam sesebuah pembangunan atau naiktaraf tempat sedia ada, maka akan wujudlah masalah meletak kenderaan ditempat yang tidak sepatutnya, menghalang kenderaan lain dan mengganggu pengguna yang lain.

Apabila keadaan bertambah rumit, maka barulah terkail-kial untuk mencari atau membuka kawasan baru bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Tetapi, bila kawasan meletak kenderaan mencukupi pula, pengguna pula buat hal. kalau boleh nak 'parking' dekat dengan pintu sesebuah bangunan. Letak jauh sikit dan berjalan kaki menjadi satu beban pada mereka. Dah bagi senang, lagi dia nak senang. Maka wujud pula masalah 'double parking' dengan enjin dihidupkan atau ada penumpang yang menunggu di dalam kereta dengan alasan 'sekejap'.

Isu-isu begini tidak akan habis menjadi polemik jika pihak pengurusan mahupun individu tidak mempunyai atau memahami budaya saling memerlukan. Apabila kita faham konsep saling memerlukan maka akan wujudlah satu jalinan suasana yang harmonis antara pemberi atau penyedia perkhidmatan dengan pengguna.

Taklah kita melalui pengalaman menggunakan tandas kotor, rosak serta berconteng, telefon awam yang hjlang gagang dan tidak boleh digunakan lagi, kerusi menunggu yang ditinggalkan sampah dan lebih menjijikkan lagi bila ada kesan sisa makanan dan bermacam-macam lagilah kemudahan yang tidak dapat digunakan akibat dari sikap manusia itu sendiri.

Dalam hal begini, kita tydak boleh asyik nak menyalahkan penyedia perkhidmatan atau kerajaan sahaja tanpa kita melihat dan menilai cara kita menggunakan setiap perkhidmatan yang disediakan.

Harus juga diingat, perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan selalunya menolong orang kebanyakan malah jauh lebih rendah harganya dan jika kita tidak sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan maka amatlah tidak patut jika kita terus menyuarakan rasa tidak kepuasan selagi kita tidak sama-sama mendidik diri dan generasi yang akan datang betapa pentingnya menjaga kemudahan awam untuk keselesaan bersama.

Selalu mengajar diri supaya melihat dari luar kebiasaan

- tempua.siber -