Saturday, January 30, 2010

Hebatnya Sebuah Kehidupan...Bila Kita Di Sayangi!

Kadang-kadang kita tidak pernahpun ambil masa untuk berfikir...kenapa kita ada di sini? Kenapa kita berjaya? Kenapa kita bahagia? Dan banyak lagi persoalan yang kita tak mahu nak jawab sebab kita dah selesa dengan apa yang kita ada dan miliki. Tidak penting untuk yang lain.

Tapi, bila kita dilanda masalah, pandai pula kita merintih dan mempersoalkan kenapa aku terima dugaan ini? Kenapa aku ditakdirkan begini dan macam-macam lagilah. Tapi itulah hakikatnya kita yang bernama manusia. Kita mudah lupa bila dikelilingi dan diuliti kebahagiaan, tapi cepat pula terasa bila diduga kesusahan.

Ya..betullah tu bila ada yang menjawab, semua kejayaan dan kebahagiaan yang dikecapi adalah hasil dari titik peluh sendiri. Hasil dari usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu. Memanglah itu jawapan yang paling tepat. Anda layak untuk mendapat apa yang diinginkan setelah berusaha bersungguh-sungguh. Tapi cuba berfikir jauh sedikit. kejayaan itu tidak datang dengan sendirinya. Bukan dengan hanya usaha anda semata-mata. Banyak faktor sampingan yang saling berkait dan membantu.

Faktor sampingan ini walaupun nampak remeh, tapi implikasi dan impaknya amatlah besar. Dia lebih bersifat kekuatan dalaman yang kita perlukan untuk berjaya. Pastinya faktor-faktor seperti sokongan dan dorongan dari orang yang rapat yang selalu memberi nasihat bila diperlukan adalah antara faktor yang banyak mempengaruhi kejayaan seseorang itu. Dengan kata lain, orang yang memberikan anda 'nafas' untuk terus berjuang dalam kehidupan sehingga anda menjadi anda hari ini.

Orang yang dimaksudkan itu mungkin ibu, isteri, keluarga mahupun rakan-rakan yang banyak membentuk dan mempengaruhi kita sehingga kita mampu miliki apa sahaja di dunia ini. Bantuannya mungkin bukan dari segi modal berupa kewangan tetapi lebih kepada satu ikatan yang beruka kasih sayang yang hendak melihat kita berjaya dan mencapai apa yang kita citakan. Bantuannya mungkin berupa kata-kata semangat di saat kita hampir putus asa. Keyakinannya pada diri kita bahawa bintang itu boleh digapai jika kita berusaha. Kepercayaan tidak berbelah bagi yang diberikan pada kita disaat kita hampir hilang kepercayaan dengan diri sendiri. Dan banyak lagi contoh kekuatan dalaman yang diberikan oleh insan-insan ini.

Dan, apabila kejayaan telah kita kecapi dan genggami, maka janganlah pula kita lupakan mereka ini. Janganlah pula kita mudah bosan dengan mereka dan tidak mempedulikan kewujudan mereka. Bahkan walaupun kejayaan yang kita kecapi bukan dalam bentuk kebendaan, itu tidak bermakna kita tidak boleh untuk menghargai mereka. Banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka. Sayangilah mereka seadanya...

Sungguh besar pengorbanan mereka dalam kehidupan kita hari ini. Tapi masih ada juga yang tidak mahu mengaku malah menjauhkan diri dari insan-insan yang pernah berjasa dalam hidup mereka. Mungkin dia sudah di atas dan tidak memerlukan lagi 'tongkat' yang suatu ketika dulu memberikan mereka kekuatan untuk memburu kecemerlangan dalam apa jua bidang.

Bagi tempua, insan yang banyak memberikan inspirasi adalah ibu, Allahyarham bapa, adik beradik, anak-anak buah dan saudara terdekat merupakan kekuatan yang tempua ada dan melengkapi hidup tempua. Merekalah yang selalu ada dan selalu mendengar. Kerana kasih sayang merekalah yang membuatkan kehidupan tempua sempurna dan bahagia walaupun bukan dalam bentuk material. Untuk mereka...tempua dedikasikan lagi ini..."Because You Loved me" dari Celine Dion.

I Love You All...




- tempua.siber -

Friday, January 1, 2010

Hoping A Fabulous 2010



Apa azam tahun baru?! Soalan yang klise ini kalau ditanya, barulah tersedar dari lamunan yang tahun dah bertukar. Masa bergerak pantaskah atau tempua yang leka atau lemah mengurus masa? Tak terkejar rasanya...

Bila ditebak persoalan mengenai azam, rasanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini tempua tidak punya azam yang khusus. Makna kata, tempua hanya mengharapkan kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya dari segala segi. Segala segi tu ermasuklah perhubungan dengan Pencipta, silaturrahim dengan keluarga/saudara mara/jiran/masyarakat, kerjaya, kesihatan dan sudah tentunya dari segi kewangan.

Walaupun 2009 kini hanya tinggal kenangan, tetapi sejarah yang terlakar di dalamnya tetap terpahat dalam ingatan. Tahun 2009 merupakan tahun-tahun yang sukar apabila terpaksa bertukar tempat kerja. Semasa hendak membuat keputusan tersebut, tempua berperang dengan emosi yang sangat hebat apabila pengurusan ditempat lama menawarkan ganjaran 2 kali ganda dari sebelumnya. Tempua bukanlah orang yang kelabu mata dengan tawaran atau ganjaran yang lumayan. Cuma persoalannya ialah kenapa baru sekarang?! Kenapa ketika tempua sudah memberi notis? Akhirnya keputusan tempua nekad dan bulat.

Ditempat baru pula, tidaklah semudah yang disangka. Hampir-hampir juga mengalah dengan tekanan tetapi dengan semangat yang positif serta dorongan dari keluarga...tempua laluinya juga dengan sabar. Biarlah sesukar mana, asalkan tempua masih boleh bersama dengan ibu lagi. Bila fikirkan perkara itu sahaja, segala jerit perih seakan berlalu pergi.

Alhamdulillah, ternyata tempua telah membuat satu keputusan yang tepat. Kini tempua semakin selesa dan betah dalam urusan syarikat.

Sesungguhnya 2009 telah mendewasakan tempua dalam pelbagai aspek. Mematangkan fikiran dan menjadikan tempua lebih peka dengan persoalan Kenapa dan Mengapa. Kadang-kadang setiap persoalan tidak memerlukan jawapan yang tepat. Ianya memerlukan sikap terbuka untuk memahaminya sebelum merungkainya.

Sinar matahari 2010 menyinari seluruh alam. Cahayanya untuk semua. Begitu juga dengan kehidupan ini. Ianya untuk semua. Ada kekurangan dan ada kelebihan. Saling melengkapi akan menjadikan kehidupan itu indah.

Dan untuk kesekian kalinya, pada tahun 2010 ini, tempua hanya mengharapkan kehidupan yang terbaik untuk semua.

Untuk warga dunia - kita hidup di bawah matahari yang sama, berkongsi cahaya dan udara yang sama dan tidak mustahil untuk kita berkongsi kehidupan di dunia ini.

Untuk kaum keluarga - tempua tidak memiliki apa-apa untuk dihadiahkan sebagai tanda penghargaan, cuma sepotong doa agar kehidupanmu sentiasa dikunci dengan kebahagiaan, ketenangan dan keselamatan. Dilimpahi dengan kejayaan dan kesenangan serta diberkati oleh-Nya selalu.

I think of you, I thank you & I love you.

WELCOME 2010

- tempua.siber -