Saturday, September 18, 2010

Salam Aidilfitri 1431 H



Masih dalam bulan Syawal. Bulan untuk meraikan kemenangan. Bulan yang penuh dengan keindahan dalam menjalinkan tali Silaturrahim sesama insan.

Alhamdulillah, sesungguhnya Aidilfitri kali ini penuh warna warni. Walaupun tidak ada dikalangan ahli keluarga yang tidak dapat pulang berhari raya, tetapi suasana kemeriahan masih lagi di rasa.

Tradisi masih diteruskan. Apa yang telah diajar dan dibentuk sejak kecil masih lagi dikekalkan. Cuma sambutan kali ini lebih meriah bila disuntik elemen baru dan insyaAllah akan diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang.

Pejam celik, masa seolah berlari pantas meninggalkan kita. Yang kecil semakin dewasa dan alhamdulillah, semangat kekeluargaan masih lagi utuh. Kalau adapun sengketa yang singgah, ianya cuma sebentar sahaja. Ianya bagaikan satu terapi atau proses kematangan dalam membentuk keperibadian yang murni yang tidak hanya mementingkan diri sendiri tetapi lebih mementingkan kesan yang besar dalam sebuah keharmonian. Makanya tolak ansur perlu ada supaya yang keruh dapat dijernihkan.

Begitulah adat kita sebagai manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Bermaaf-maafan tidak semestinya dilakukan pada Hari Raya saja. Tapi mungkin kesan dramatik yang ada pada suasana hari raya tersebut maka keikhlasan hati tertumpu pada momen atau detik itu.

Bila kita bermohon kemaafan dari hati yang tulus ikhlas, InsyaAllah leburlah dosa di tapak tangan yang saling bermaafan. Pergilah sengketa yang membawa mendung, hadirlah pelangi yang memberi sinar penuh warna warni.



Tradisi membakar lemang masih diteruskan. Inilah antara juadah yang dicari-cari oleh kaum keluarga apabila bila tiba setiap kali musim perayaan. Memang kerja yang remeh...nak cari buluh, daun pisang, kelapa yang berpuluh biji, mengadap bara berjam-jam dan hasilnya mungkin merupakan satu kepuasan. Tak ramai yang sanggup duduk bermain api untuk memastikan lemang yang dimasak sekata...dan tak ramai yang ingin mewarisi bakat atau teknik membuat lemang. Harap-harap, tradisi ini dapat diteruskan.







Rendang kerang...juga merupakan satu juadah yang sukar untuk ditinggalkan bila tibanya Hari Raya. Mengikut perancangan, tahun ini rendang kerang tidak ada dalam senarai juadah wajib hari raya, tetapi apabila ada yang ingin mempertahankan ia untuk menjadi satu tradisi maka di saat akhir dimasukkan juga menu rendang kerang dalam menu. Tahun ini hanya melibatkan 30 kilo kerang (tahun lalu = 60 kilo).

Nasib baiklah operasi mengupik kulit kerang dilakukan tanpa ada masalah kerana ramai yang 'suka' kepada suasana santai mengupik cengkerang sambil bergurau senda sesama mereka. Yang pastu, kuku jadi sumbing dan hilanglah 'seri' bila bermaafan di pagi raya. He he he

Selain rendang kerang beberapa juadah juga turut dimasak seperti rendang bali, rendang daging berempah, rendang ayam kampung dan juga ketupat segera.



Malam raya pastinya selepas berbuka semuanya kena berkumpul jam 8.15 malam untuk berjemaah Isyak sambil bertakbir. Selepas selesai melakukan perkara-perkara yang dituntut, acara berkongsi kegembiraan dengan bertukar-tukar hadiah dilakukan. Nilai hadiah?? Tidak penting. Yang pastinya bukan apa yang kita dapat. Cuma ingin berkongsi perasaan kekitaan dalam membentuk semangat jati diri keluarga dalam generasi yang masih kecil supaya mereka tahu yang mereka mempunyai keluarga yang sentiasa bersama dan tidak ragu-ragu untuk berkongsi segala masalah yang melanda agar satu penyelesaian dapat difikirkan.

Lepas sessi bertukar hadiah, sessi bermain bunga api untuk anak-anak kecil. Pengawasan memang dilakukan agar tidak terjadi perkara yang tidak diingini. Biarlah mereka merasai sedikit nikmat sambutan hari raya. Tiada mercun yang berbahaya...hanya bunga api sahaja dibenarkan.

Apa lagi tradisi??? Sessi bermaafanlah yang paling teratur dan perlu mengikut jadual supaya ianya dapat dilakukan sebelum sembahyang raya. Kalau tiada jadual, alamatnya sampai ke sudah lah ada yang belum siap2 lagi. Dengan jumlah ahli keluarga yang ramai, bilik air yang terhad...masing2 perlu siap berpakaian rapi dan perlu bersedia diruang tamu pada jam 6.45 pagi.



Sessi bermaafan mengambil masa yang lama kerana ikut aturan dari peringkat tua...hinggalah ke peringkat cicit. Alhamdulillah, semuanya mengikut perancangan. Lepas bermaafan dengan ahli keluarga, nak serbu rumah Mak Long sebelah rumah yang juga mempunyai ahli keluarga yang ramai. Bila dua keluarga bergabung...memang satu pemandangan yang tidak akan dapat disaksikan di tempat lain. Eksklusif dan penuh tradisi.



Sebelum ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri, kaum keluarga berkumpul untuk mengambil gambar kenangan dan seterusnya bersarapan ala kadar untuk mengalas perut.





Selepas hari raya kedua, maka tradisi rumah terbuka dikalangan kaum keluarga diadakan. 10 hari pertama Syawal dan kebanyakannya masih bercuti digunakan sepenuhnya untuk menghadiri rumah terbuka kaum keluarga. Pada saat inilah usikan dan gurauan sesama ahli keluarga jelas kedengaran. Dan yang paling menggembirakan hati apabila melihat generasi tua dalam keluarga tersenyum bangga melihat anak, menantu, cucu dan cicit saling melengkapi antara satu sama lain. Mungkin itulah hadiah Aidilfitri yang bermakna untuk mereka.

Apapun, kenangan Syawal 1431 H akan terpahat dalam kotak ingatan.

Salam Lebaran buat semua...