Friday, June 27, 2008

Majulah Sukan Untuk.....?

Wow! Itulah respon pertama bila terbaca artikel yang mengatakan pemenang pingat emas Olimpik di Beijing nanti mendapat ganjaran sehingga RM 1,000,000.00. Lumayan...cukup lumayan. Bagi pemenang pingat perak dan gangsa pula habuannya ialah RM 300,000.00 dan RM 100,000.00.

Tempua tidak pasti apakah rasionalnya tawaran seperti ini ketika negara sedang ‘bergelut’ dengan krisis kenaikan harga minyak dan makanan. Mungkin ia merupakan satu insentif atau peniup semangat atlet kita yang mewakili negara supaya membuat yang terbaik? Atau adakah habuan tersebut diberi kerana kita tahu untuk mendapat sebutir emaspun adalah payah! Atau, mungkin juga ia lebih merupakan satu psikologi supaya atlet kita lebih bersemangat untuk mencapai ke arah itu?

Masalahnya, bukan tidak boleh menghargai atlet yang berjaya mengharumkan nama negara dan menjadi antara yang terbaik di dunia. Cuma berpada-padalah. Tengoklah keadaan sekeliling. Adakah kita nak lahirkan atlet yang memburu kejuaraan demi habuan atau material yang dijanjikan atau yang bersungguh-sungguh bertanding demi semangat dan kecintaan yang tinggi untuk mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa?

Maka bila kebanyakan atlet hanya memikirkan soal habuan, lahirlah jaguh-jaguh kampung yang tidak kekal prestasinya. Turun naik. Tak konsisten langsung. Menang sekali, kalah berkali-kali. Apa yang nak dibanggakan? Sebab apa jadi macam tu? Mudah sahaja....matlamat mereka tidak cukup jelas. memburu kemenangan untuk habuan atau untuk negara?

Ramai orang boleh jadi atlet tetapi tidak semua boleh memberikan 110% komitmen, mempunyai disiplin kelas pertama dan daya juang yang tinggi. Untuk menjadi seorang atlet yang disegani, latihan demi latihan diperlukan. Perlu ada banyak pengorbanan. Barulah boleh menjadi seorang atlet yang berdaya saing diperingkat dunia. Ingat! Untuk menjadi juara dunia, ia bukanlah laluan yang mudah. Habuan RM dan macam-macam lagi hadiah material bukanlah tiket untuk melahirkan atlet yang cemerlang di persada antarabangsa.

Disamping itu atlet-atlet bersara yang pernah mendapat pingat juga turut menikmati kenaikan dari RM 3,000.00 sebulan naik kepada RM 5,000.00 sebulan. Bila sebut atlet bersara, apa definisi bersara dalam konteks seorang ahli sukan? Adakah bila mereka menggantung alatan sukan iaitu tidak bermain atau bertanding secara profesional lagi atau bersara pada had umur? Itu Tempua tak dapat nak pastikan.

Apapun untuk melahirkan atlet yang berkualiti, tempua percaya latihan demi latihan serta pendedahan dari kecil diperlukan. Lihat kecenderungan mereka dan kesan bakat mereka dan beri pendedahan serta latihan sewajarnya sedari mereka kecil lagi. Kita mempunyai kemudahan sukan kelas pertama. Jadi gunakanlah ia sebaik-baiknya untuk mengeluarkan atlet yang unggul juga.

Sudah sampai masanya pihak-pihak yang bertanggungjawab membuat perubahan. Jangan asyik dengan perbalahan sesama mereka untuk merebut jawatan dan isu-isu remeh yang lain. Beri tumpuan sewajarnya ke atas pembangunan atlet-atlet negara. Jangan hanya mencari atlet ‘mee segera’ yang muncul untuk semusim dua sahaja. Kalau semusim dua untuk Dunia, takpa...tapi kalau setakat jaguh kampung...?
Untuk menjadi yang terbaik, disamping galakan dan dorongan dari kerajaan, individu terbabit itu sendiri perlu tahu hala tuju sendiri. Kalau nak harapkan kemenangan di dalam negara sahaja, susahlah macam tu. Tiru dan belajar bagaimana jaguh dunia dilahirkan. Ianya bukanlah sekelip mata tetapi mengambil masa yang lama.

Apapun tahniah dan syabas kepada Nicol Ann David yang terus cemerlang di persada sukan skuasy antarabangsa. Kualiti macam inilah yang kita cari dan perlukan. Jika diberi habuanpun...ianya memang berbaloi.

- tempua.siber -

Monday, June 23, 2008

Sekutu Gores & Menang

Persaingan dalam dunia perniagaan memang hebat. Sebab itulah berbagai taktik pemasaran dilakukan untuk terus bersaing dan yang paling penting mendapat keuntungan yang cepat. Kalau keuntungan itu diperolehi dengan strategi pemasaran yang telus, betul dan mengikut prinsip pemasaran yang jujur...itu tidak menjadi masalah. Bagaimana pula strategi pemasaran yang menggunakan kaedah penipuan?

Bila strategi gores dan menang semakin kurang mendapat sambutan akibat pendedahan media tentang gejala penipuan jenis ini dibuat besar-besaran, kini taktik lain pula digunakan. Taktik ini juga agak kelakar. Nak tahu apa? Mari tempua cerita.

Kisahnya berlaku malam tadi...telefon rumah berdering dan tempua pun angkat. Si pemanggil (perempuan) pun mengesahkanlah adakah nama tempua betul serta alamat. Yerp...semuanya betul dan lengkap. Diapun perkenalkan dirinya dari sebuah syarikat perkakasan elektrik dan memberitahu yang tempua dapat hadiah. Hadiahnya berupa dari wang tunai hinggalah ke sebuah kereta. Dia siap cakap lagi yang benda ini bukan gores dan menang dan tempua tak perlu beli apa-apa barang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Tapi apa yang perlu tempua buat ialah...menelefon agennya dan nombor telefon diberikan.

Untuk memastikan yang tempua menyalin nombor yang telah diberikan, dia suruh tempua mengulanginya. Bukan sekali benda ni berlaku. Tahun lepaspun benda yang sama juga tapi tempua tak pernah nak cuba telefon. Mana ada orang nak bagi hadiah saja-saja je? Betul tak? Sebelum terperangkap, lebih baik abaikan saja. Kalau terperangkap nanti, susah pula!

3 tahun dulu pun tempua hampir-hampir kecundang. Semuanya bermula bila dipanggil oleh jurujual yang mulut manis di sebuah shopping complex. Dengar jelah promosi yang ditawarkan dan akhirnya dia suruh tempua hit satu butang di lap top yang disediakan. Dapat kerusi urut!. Dia orang ’macam’ tak percaya. Suruh tempua hit semula. Dapat produk yang sama. Jurujual mulalah berlakon dengan menelefon ‘bos’nya meminta kepastian adakah system dikomputer tersebut berfungsi baik. Dalam perbualan tu dia buat-buatlah macam ‘real’. Memang boleh jadi pelakon.

Beberapa minit kemudian dia kata confirmed tempua dapat kerusi urut tu. Tapi kena beli satu lagi kerusi. Kirakan beli satu, percuma satu. Hampir terperangkap. Akhirnya...tempua batalkan hasrat tersebut kerana mula berasa kurang senang dan kurang yakin. Kerusi urut tersebut tiada di situ. Kena pergi ke store penyimpan yang terletak agak jauh. Kena bawa balik sendiri. Dan yang paling kelakar ialah bila jenama kerusi urut terebut sungguh meragukan. Jaminan? Dah tentu tiada. Buatan China.

Moral cerita di sini sungguh mudah…jangan sesekali anda tertipu dengan taktik atau strategi yang ‘orang-orang’ ini gunakan. Kadang-kadang kita pula jadi tak selesa bila parking saja kereta dekat shopping complex, meluru ‘orang-orang’ ini datang nak tawarkan macam-macam ‘hadiah’. Itu satu hal, yang jual produk penjagaan kereta juga kadang-kadang melemaskan.

Tapi jangan risau, tak perlu buang masa anda Just Say ‘No’. Gunakan hak anda sebaik mungkin. Jangan beri mereka ruang untuk terus memperdayakan anda. Mereka telah dilatih untuk mencari titik kelemahan anda, jadi anda pula perlu berlatih untuk tidak menonjolkan kelemahan anda.

Mangsa ‘orang-orang’ ini tak kira siapa. Dari yang berpangkat tinggi, hinggalah ke orang-orang biasa. Kebarangkalian untuk anda terkena adalah tinggi kerana mereka berada di mana-mana sahaja.

- tempua.siber -

Tuesday, June 17, 2008

Berkorban Apa Saja...

Berkorban Apa Saja
Harta Ataupun Nyawa
Itulah Kasih Mesra
Sejati Dan Mulia....

Itulah antara bait-bait lirik lagu nyanyian Tan Sri P.Ramlee. Liriknya ringkas saja, tapi bila diadunkan dengan melodi yang indah, ianya menusuk terus ke kalbu.
Yer, dalam hidup ini kita seringkali berdepan dengan situasi yang memerlukan kita melakukan sedikit atau banyak pengorbanan. Semakin kita meningkat dewasa, semakin berat dan hebat cabaran dan pengorbanan yang harus kita tempuhi.
Bayangkan seorang bapa/ibu yang sanggup berdoa untuk meminta tuhan mengambil nyawanya sebagai galang ganti dengan nyawa anak yang sedang sakit. Betapa ikhlas dan redhanya ibu bapa dalam menjaga dan mendidik kita.
Bayangkan pula seorang kakak yang berkorban untuk berhenti sekolah demi melihat kesinambungan adik lelakinya meneruskan persekolahan akibat kesempitan hidup sedangkan dia tahu ilmu itu pelita hidup!
Bayangkan seorang 'saudara' yang kita tidak tahu siapa dan dimana dia datang mendermakan organ-organ penting dalam badannya untuk sebuah kesinambungan kehidupan buat insan lain!
Suatu ketika nanti kita pasti diduga dengan satu dugaan hebat yang menjadikan kita berfikir berkali-kali untuk melakukan pengorbanan. Bila sesuatu pengorbanan itu melibatkan sesuatu yang kita sayang, sesuatu yang berharga dan bernilai...adakah kita bersedia untuk berkorban?!
Hanya yang benar-benar memahami bahawa kehidupan ini adalah bersifat sementara sahaja yang mempunyai satu jiwa yang sanggup melakukan pengorbanan dan tidak kiralah pengerbanan itu sebesar mana.
Cuba kita lihat betapa hebatnya pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail bila kita sebut tentang pengorbanan.
Pengorbanan itu luas. Kadang-kadang kita perlu berkorban sedikit keselesaan dan kemewahan yang kita miliki ini untuk mereka-mereka yang kurang berkemampuan. Korbankanlah sedikit perasaan 'tamak' dan 'dengki' yang selalunya ada dalam diri kira dan ikhlaskanlah setiap perbuatan. Hidup tak selalunya indah.
Tempua selalu berkorban untuk melihat orang-orang yang tempua sayang bergembira. Walaupun kecil, tapi nilai sebuah senyuman yang tempua dapat dari mereka ini...sangat-sangat tempua hargai.
-tempua.siber-

Thursday, June 12, 2008

Kematian, Cliffhanger & Hari Bapa

Baru 3 minggu lepas bergurau di kedainya, semalam dapat berita pemilik Restoran tersebut dah meninggal! Memang tempua terkejut sekejap. Ialah, selalunya hari minggu, mesti pergi beli sarapan di kedainya. Yang paling tempua suka ialah Nasi Lemak. Sambalnya sedap. Puas hati makan. Patutlah 2 minggu lepas, masa pergi kedainya membeli nasi lemak dan roti canai untuk sarapan, yang jaga kaunter pekerjanya yang lain. Beratlak mulut nak tanya mana pergi Che Man (panggilan org-org setempat). Rupa-rupanya ketika itu dia dah berada di hospital akibat demam denggi (seperti yang tempua dengar).

Dan nak dijadikan cerita pulak, minggu lepas tempua lalu sahaja dikedainya. Tak singgah sebab beli sarapan di Pasar Tani yang buka pada setiap sabtu di hadapan kedainya. Ialah, perkara-perkara yang melibatkan ajal maut ini, tak dapat hendak dijangka. Al-Fatihah buat allahyarham.

Malam tadi pula, tempua tengoklah cerita Cliffhanger kat tv2 pukul 10 malam. Dah tengok beberapa kali sebelum ni, tapi sebab cerita menarik, nak juga tengok semula. Masa permulaan cerita ada adegan seorang perempuan yang tak dapat diselamatkan jatuh dari gunung. Terfikir juga tempua, mesti ada kes-kes yang terjun bangunan untuk bunuh diri ataupun yang jatuh tanpa niat dari tempat yang tinggi. Dalam masa badan mencecah bumi tu, apalah yang difikirkan? Ini kerana dalam detik-detik terakhir itu dia tahu yang dia akan cedera parah atau maut! Maknanya dia dah tahu dia akan mati...begitu juga pesalah-pesalah yang dikenakan hukuman gantung. Apakah perasaannya pada ketika itu? Hanya Allah yang maha mengetahui...
Hujung minggu (15-06-08) sambutan Hari Bapa. Jadi gunalah peluang keemasan ini untuk membuatkan bapa kita senyum gembira dan bangga mempunyai anak seperti kita. Bukan bermakna sebelum ini kita mengabaikannya, cuma buatlah sesuatu yang 'surprise' sikit untuk dia. Sesuatu yang berlainan dari biasa. Mungkin bagi yang jauh tu boleh mengirimkan kad ucap selamat...sms/mms kat dia gambar cucunya yang mengucapkan ucap selamat. Tentu gembira hati bapa.
Yang ada kesempatan atau dekat tu, rancanglah untuk berkumpul adik beradik membawa bapa dan seisi keluarga makan luar ke...luangkanlah masa ketika dia masih ada kerana bila dia dah tiada kita akan rasa KEHILANGAN yang amat sangat. Percayalah cakap tempua ni.
Sebenarnya pada usia mereka yang sudah senja tu, mereka tidak mahukan apa-apa, Kehadiran anak cucu di sisi merekapun sudah cukup membuatkan mereka gembira. Jadi, tatkala ada kesempatan ini luangkan sedikit masa untuk mereka. Tunjukkan pada dia yang kita sangat berbangga mempunyai bapa seperti dia.
Ingat! kita perlu menunjukkan contoh yang baik pada anak-anak kita agar bila kita tua kelak, mereka tidak mengabaikan kita seperti mana kita tidak mengabaikan ibu bapa kita. Jadi mulakanlah sekarang kerana masa tidak menunggu kita. Kadangkala kesempatan yang diberikan sering kita salahgunakan.
Selamat Hari Bapa buat semua Bapa-Bapa Di Dunia...dan Al-Fatihah buat Allahyarham ayahanda tempua. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin

Sunday, June 8, 2008

Happy Belated Birthday...

Ramai orang tak berapa nak ingat pada tarikh lahir insan-insan terdekat di sekelilingnya. Ada juga yang tarikh lahir sendiripun hampir-hampir lupa. Tapi pernahkah kita terfikir benda-benda 'remeh' macam inilah yang dapat menceriakan hari-hari kita.

Tak perlu banyak alasan, kita mempunyai banyak 'gadget' yang canggih-canggih untuk mencatatkan detik-detik penting untuk diraikan dalam kehidupan kita. Semuanya di hujung jari dan terpulang pada kita untuk melakukannya.
Hidup ini sangat indah bila kita tahu cara-caranya. Tak perlu nak belikan hadiah jika itu dijadikan alasan untuk tidak memberi ucapan (buat-buat lupa) pada hari-hari yang bermakna dalam hidup seseorang.
Dengan hanya satu panggilan telefon atau sekadar sms/kad ucap selamat serta iringan doa sudah bisa membuatkan penerimanya amat berbesar hati dan jiwanya tersentuh. Kalau kaedah ini digunakan dalam keluarga, pasti akan wujud jaringan silaturrahim yang mesra. Tak percaya?? Mulakan sekarang dengan mengambil inisiatif untuk mencatit hari-hari penting dan istimewa dikalangan ahli keluarga, teman-teman rapat dan org-org istimewa disekeliling anda.
Andaikata ada budget lebih, tak salah untuk memberi hadiah atau menjamu mereka makan. Mungkin perbuatan baik anda pasti akan mendapat balasan.
Saya baru sahaja menyambut hari lahir pada 03-06 yang lalu. Seperti biasa banyak ucapan yang dikirim oleh sanak saudara dan sahabat melalui sms dan mail. Ada juga yang memberikan hadiah. Terima kasih kepada mereka semua. Hadiah hanyalah satu bonus, tapi bila membaca sms dan menerima panggilan telefon dari mereka....hati sangat tersentuh dan terharu.
Happy Belated Birthday To Me.... Akhirnya dapat juga saya mengucapkan pada diri sendiri.

Wednesday, June 4, 2008

Minyak Oh Minyak!!

Semua orang dah maklum...penstrukturan semula subsidi bahan api oleh kerajaan telah menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter. Ini bermakna dari RM 1.92 seliter yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia (termasuk juga rakyat Thailand & Singapore yang mengisi petrol di sempadan) telah naik sehingga 40% kepada RM 2.70 seliter berkuatkuasa 05-06-2008.
Tempua bukanlah pakar untuk membincangkan rasionalnya kenaikan tersebut. Ramai lagi cerdik pandai untuk mengupas isu itu. Cuma..., sebagai rakyat yang berada di jalan raya semasa pengumuman itu dibuat, Tempua terpaksa melalui suasana panik rakyat Malaysia yang ingin mengambil kesempatan mengisi minyak sebelum tengah malam 04-06-2008.
Keadaan panik ini menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di semua stesen minyak dengan kenderaan berbaris sehingga beberapa kilometer. Satu pemandangan yang dahsyat??! Perjalanan yang mengambil masa setengah jam menjadi 1 jam. Bayangkan lah kesesakan yang terpaksa ditempuhi sepanjang jalan ke rumah yang ada hampir 10 stesen minyak di kiri dan kanan jalan.
Pada pandangan Tempua..., harga minyak boleh sahaja di naikkan tapi berilah sedikit tempoh untuk mengelakkan keadaan panik dikalangan rakyat.
Mungkin disebelah pihak pula mengatakan kenaikan perlu dibuat seberapa segera untuk mengelakkan pengusaha stesen minyak mengambil kesempatan seperti kejadian sorok minyak tetapi mesti ada satu mekanisme berkesan yang boleh difikirkan. Win Win Situation bak kata orang kampung Tempua.
Berkenaan dengan bayaran tunai yang akan dinikmati oleh setiap pemilik kenderaan persendirian, Tempua rasa pasti akan ada rungutan dengan sistem yang sedang dan akan dilaksanakan nanti. Kita pasti akan dengar rungutan ketidakpuasan tentang kelancaran sistem tersebut. Sebab, apabila sesuatu keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa, pasti ada benda yang terlepas pandang. Tahap perkhidmatan di negara kita ini masih terlalu jauh ketinggalan. Ada sahaja yang tak kena....
Selalunya, tiap-tiap kali minyak naik, pasti ada kenyataan dibuat membandingkan harga petrol negara kita yang masih lagi antara terendah di Asean. Maka orang suratkhabarpun buatlah jaual perbandingan. Oklah tu. Tapi jika nak buat perbandingan, buatlah secara bijak iaitu bukan setakat membandingkan harga, tetapi bandingkan juga pendapatan penduduk negara berkenaan, taraf kehidupan dan yang berkaitan. Dah dapat analisa semua tu, barulah buat perbandingan harga petrol dan kesimpulannya adakah Malaysia masih lagi terendah? Mungkin ya untuk petrol, tetapi bagaimana pula taraf hidup dan tangga gaji?
Bila minyak dah naik, yang lain-lainpun akan kena tempiasnya. Walaupun Kerajaan dah beri jaminan, tapi umum dah tahu yang jaminan akan hanya tinggal jaminan. Yang menderita...rakyat juga. Tahap penguatkuasaan undang-undang dalam negara kita terlalu lemah. Bila ada isu yang hangat, barulah nak bertindak. Macam itulah selalunya.
Apapun, sebagai rakyat, Tempua terima keputusan ini dengan minda dan hati yang terbuka kerana cukup faham dengan krisis yang sedang dihadapi oleh dunia sekarang ini - krisis minyak dan krisi makanan -. Kedua-duanya merupakan elemen yang sangat penting dalam menjana kehidupan sehari-hari.
Cuma yang menjadi tanda tanya...bagaimanalah agaknya keputusan ini dibuat?? Adakah macam dalam sidang Dewan Rakyat bila ahli-ahli Parlimen bertengkar tentang perkara remeh tanpa mempedulikan agenda membangunkan rakyat??
Dan bagaimana pula janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar, sedangkan kenaikan ini pasti menghimpit lagi beban mereka?
Yang pasti, keputusan telahpun dibuat. Mahu atau tidak, semua rakyat Malaysia kena redah juga. Cuma harap-harap bila harga pasaran minyak dunia turun nanti, Kerajaan perlu mengumumkan penyelarasan harga secepat mungkin walaupun kaedah yang digunakan ialah sebulan sekali. Janganlah nanti buat-buat lupa..
Apapun Tempua tetap berterima kasih di atas subsidi sebanyak RM 0.30 sen yang diberikan oleh Kerajaan.
Mungkin salah satu cara yang boleh dilakukan sekarang ialah...berjimat cermat.
- Tempua -