Wednesday, June 4, 2008

Minyak Oh Minyak!!

Semua orang dah maklum...penstrukturan semula subsidi bahan api oleh kerajaan telah menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter. Ini bermakna dari RM 1.92 seliter yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia (termasuk juga rakyat Thailand & Singapore yang mengisi petrol di sempadan) telah naik sehingga 40% kepada RM 2.70 seliter berkuatkuasa 05-06-2008.
Tempua bukanlah pakar untuk membincangkan rasionalnya kenaikan tersebut. Ramai lagi cerdik pandai untuk mengupas isu itu. Cuma..., sebagai rakyat yang berada di jalan raya semasa pengumuman itu dibuat, Tempua terpaksa melalui suasana panik rakyat Malaysia yang ingin mengambil kesempatan mengisi minyak sebelum tengah malam 04-06-2008.
Keadaan panik ini menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di semua stesen minyak dengan kenderaan berbaris sehingga beberapa kilometer. Satu pemandangan yang dahsyat??! Perjalanan yang mengambil masa setengah jam menjadi 1 jam. Bayangkan lah kesesakan yang terpaksa ditempuhi sepanjang jalan ke rumah yang ada hampir 10 stesen minyak di kiri dan kanan jalan.
Pada pandangan Tempua..., harga minyak boleh sahaja di naikkan tapi berilah sedikit tempoh untuk mengelakkan keadaan panik dikalangan rakyat.
Mungkin disebelah pihak pula mengatakan kenaikan perlu dibuat seberapa segera untuk mengelakkan pengusaha stesen minyak mengambil kesempatan seperti kejadian sorok minyak tetapi mesti ada satu mekanisme berkesan yang boleh difikirkan. Win Win Situation bak kata orang kampung Tempua.
Berkenaan dengan bayaran tunai yang akan dinikmati oleh setiap pemilik kenderaan persendirian, Tempua rasa pasti akan ada rungutan dengan sistem yang sedang dan akan dilaksanakan nanti. Kita pasti akan dengar rungutan ketidakpuasan tentang kelancaran sistem tersebut. Sebab, apabila sesuatu keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa, pasti ada benda yang terlepas pandang. Tahap perkhidmatan di negara kita ini masih terlalu jauh ketinggalan. Ada sahaja yang tak kena....
Selalunya, tiap-tiap kali minyak naik, pasti ada kenyataan dibuat membandingkan harga petrol negara kita yang masih lagi antara terendah di Asean. Maka orang suratkhabarpun buatlah jaual perbandingan. Oklah tu. Tapi jika nak buat perbandingan, buatlah secara bijak iaitu bukan setakat membandingkan harga, tetapi bandingkan juga pendapatan penduduk negara berkenaan, taraf kehidupan dan yang berkaitan. Dah dapat analisa semua tu, barulah buat perbandingan harga petrol dan kesimpulannya adakah Malaysia masih lagi terendah? Mungkin ya untuk petrol, tetapi bagaimana pula taraf hidup dan tangga gaji?
Bila minyak dah naik, yang lain-lainpun akan kena tempiasnya. Walaupun Kerajaan dah beri jaminan, tapi umum dah tahu yang jaminan akan hanya tinggal jaminan. Yang menderita...rakyat juga. Tahap penguatkuasaan undang-undang dalam negara kita terlalu lemah. Bila ada isu yang hangat, barulah nak bertindak. Macam itulah selalunya.
Apapun, sebagai rakyat, Tempua terima keputusan ini dengan minda dan hati yang terbuka kerana cukup faham dengan krisis yang sedang dihadapi oleh dunia sekarang ini - krisis minyak dan krisi makanan -. Kedua-duanya merupakan elemen yang sangat penting dalam menjana kehidupan sehari-hari.
Cuma yang menjadi tanda tanya...bagaimanalah agaknya keputusan ini dibuat?? Adakah macam dalam sidang Dewan Rakyat bila ahli-ahli Parlimen bertengkar tentang perkara remeh tanpa mempedulikan agenda membangunkan rakyat??
Dan bagaimana pula janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar, sedangkan kenaikan ini pasti menghimpit lagi beban mereka?
Yang pasti, keputusan telahpun dibuat. Mahu atau tidak, semua rakyat Malaysia kena redah juga. Cuma harap-harap bila harga pasaran minyak dunia turun nanti, Kerajaan perlu mengumumkan penyelarasan harga secepat mungkin walaupun kaedah yang digunakan ialah sebulan sekali. Janganlah nanti buat-buat lupa..
Apapun Tempua tetap berterima kasih di atas subsidi sebanyak RM 0.30 sen yang diberikan oleh Kerajaan.
Mungkin salah satu cara yang boleh dilakukan sekarang ialah...berjimat cermat.
- Tempua -

No comments: