Thursday, August 21, 2008

Berhenti Sejenak...Renung-Renungkan & Bersyukurlah!

Dalam banyak keadaan, kita seringkali lupa untuk bersyukur. Syukur kerana nikmat kehidupan yang kita perolehi jika dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi, bila kita ditimpa musibah dan kesusahan, serta merta kita ingat kepada Allah. Kita berdoa minta dijauhkan segala keperitan yang melanda. Minta hilangkan duka nestapa. Minta disembuhkan sakit yang diderita.
Pelikkan! Tapi itulah hakikatnya manusia ini.

Cuba kita fikir...kesusahan kita tak dapat menandingi penderitaan ramai lagi fakir miskin diluar sana yang jauh lebih perit. Perut kosong kita belum pernah lagi kebulur berhari-hari tak menjamah makanan seperti mereka yang kebuluran-tak cukup makan kerana tiada makanan. Bila kita terasa dikongkong, tak dapat bergerak bebas, tidaklah sesukar mana jika dibandingkan dengan negara-negara yang berkonflik dan berperang. Mereka tiada kebebasan dan sering berada dalam kebimbangan serta ketakutan. Nyawa bagai sudah tiada harga lagi. Begitu juga dengan kesihatan diri kita. Alhamdulillah...masih lagi boleh bergerak sihat jika dibandingkan dengan mereka yang terlentang dan menderita sakit kronik. Dan...cuba kita bayangkan betapa bahagianya kita kita berada di sisi ibu bapa dan keluarga sedangkan ramai anak-anak yatim yang sangat rindukan belaian kasih sayang ibu bapa. Banyak lagi kelebihan diri kita jika nak dibandingkan dengan nasib insan-insan malang yang lain.

Pernahkah kita bersyukur atau tidakkah patut kita bersyukur?! Yer...di saat kebahagiaan mengelilingi kita...kita lupa untuk bersyukur atas apa yang kita nikmati selama ini.

Cuba kita bayangkan sejenak. Bagaimanakah perasaan seorang anak yatim yang masih kecil bila melihat rakan sebaya mereka mempunyai ibu bapa untuk bermanja? Pasti sayu hati mereka dengan kekurangan ’nikmat’ tersebut. Tapi apakan daya, mereka harus akur pada takdir. Mungkin jauh disudut hati, andai diberi kesempatan untuk bermanja dengan insan yang bernama ibu dan bapa, peluang tersebut pasti akan digunakan sebaik mungkin dan tidak akan dipersiakan seperti mana kita leka dengan peluang yang kita perolehi.

Bayangkan pula apabila kita kehilangan orang yang tersayang untuk selamanya. Kehilangan anak, adik beradik, ayah, ibu atau sesiapa sahaja yang begitu ’bernilai’ dalam hidup kita, pastinya ia merupakan dugaan hebat untuk kita lalui. Kenangan bersama mereka akan sering menghambat peraasaan. Kesedihan akan berlipat kali ganda lagi bila hari-hari istimewa seperti ketibaan Ramadhan dan Syawal. Tapi, apakan daya mereka. Mahu atau tidak mereka perlu meneruskan kehidupan kerana inilah takdir buat mereka.

Tapi, bila kita melihat dari sisi yang lain pula, anak-anak yang mempunyai ibu bapa sering mengabaikan ’nikmat’ yang Allah pinjamkan untuk mereka. Peluang yang diberikan tidak diguna sepenuhnya. Mereka cuai. Tempua-pun 2 x 5. Seringkali lalai dan lupa kepada perkara tersebut. Bila mereka dah tiada, barulah kita rasa kehilangan. Ketika itu semuanya dah terlambat. Ingat...kita hanya ada seorang ibu dan ayah sahaja. Tiada ganti.

Kita perlu bersyukur dengan Rahmat-Nya. Dia memberi kita kesempatan untuk menyayangi dan disayangi. Eratkan tali kasih dan jalinkanlah perasaan sayang dengan diri sendiri dan orang-orang yang telah banyak berkorban untuk kita.

Ya, masing-masing mempunyai kelemahan diri. Terimalah kelemahan mereka. Bertolak ansur,sabar dan saling menghormati adalah senjata dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Tak kiralah perhubungan sesama keluarga ataupun dalam persahabatan.

Biasalah kalau sering rasa kecil hati. Sedangkan lidah lagi tergigit. Yang penting kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada kewarasan fikiran sebelum bertindak. InsyaAllah, yang keruh boleh menjadi jernih. Yang hitam pasti bertukar putih. Malam pasti bertukar siang. Cahaya matahari sentiasa bersinar, Cuma kadang-kadang ada sesuatu yang menghalangnya dari terus menyimbahi kita.

Tapi, jangan pula kita lupa kepada insan yang kurang bernasib baik. Tentu ada cara yang kita boleh lakukan untuk meringankan beban penderitaan mereka dari segi emosi dan fizikal. Mereka tidak diminta untuk diduga dengan dugaan sebegitu, tetapi ketahuilah, jika kita terpilih untuk menerima Rahmat-Nya, mereka ini juga terpilih untuk menerima dugaan-Nya yang pastinya ada hikmah dan ganjaran besar menanti mereka. Bukankah Allah itu Maha Adil dan Bijaksana.

- tempua.siber -

No comments: