Tuesday, January 27, 2009

Yang Namanya Perjuangan...


Rakyat Palestin bukan sahaja berjuang untuk membebaskan negaranya dari ancaman Israel malah lebih hebat lagi, perjuangan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang serba serbi kekurangan.

Bayangkan apabila banyak kemudahan asas yang musnah dibedil, kehilangan tempat untuk berteduh, dan lebih menyayat hati lagi kehilangan ahli keluarga, rasa-rasanya separuh dari semangat untuk meneruskan hidup juga ‘hilang'
.

Andai kita kehilangan telefon bimbit sekalipun kita dah mula tak keruan. Serba serbi tak kena dan mungkin menangis, bayangkanlah pula apabila mereka kehilangan nyawa orang yang disayangi. Tidak boleh dibeli dan diganti. Kehilangan pula dalam keadaan yang tragis. Tentunya meninggalkan kesan trauma yang makan masa untuk pulih ataupun mereka mungkin menanggungnya seumur hidup.

Tetapi yang pastinya mereka cukup tabah menghadapi semuanya itu dengan tenang. Perjuangan untuk mereka meneruskan kehidupan lebih tebal lagi. Semangat mereka untuk menghirup udara sebagai sebuah negara yang bebas dari ancaman rejim Zionis tak pernah pudar. Malah jika kita membaca akhbar, ada wanita-wanita yang ingin teruskan perkahwinan walaupun negara dalam keadaan tidak tenteram kerana hendak melahirkan lebih ramai pejuang-pejuang masa hadapan.

Kita yang berada dalam sebuah negara yang aman damai juga perlu ‘berjuang’ untuk terus mengekalkan kedamaian dan keamanan yang telah kita kecapi ini. Rasa hormat dan saling bekerjasama antara kaum haruslah ditingkatkan dan persefahaman perlu dipupuk sedari kecil.

Setiap warga Malaysia tidak boleh leka dan ambil mudah dengan keamanan yang sedia ada ini. Kita perlu sayangi dan hargai kemerdekaan yang telah kita kecapi. Jangan gadaikannya hanya kerana ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang sering menangguk di air keruh. Banyak cara dan saluran yang boleh kita gunakan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati. Kita berhak bersuara…tapi perlulah kena caranya.

Kita perlukan kebebasan seperti seekor burung yang terbang bebas di angkasa. Bukannya burung yang terkurung di dalam sangkar. Walaupun pandangannya terlepas tapi jiwanya tetap terkurung.

- tempua-siber -

No comments: