Sunday, November 29, 2009

Yang Berat Sama DiPikul...



Semangat bekerjasama atau gotong royong dalam sesebuah masyarakat amat besar signifikannya. Malangnya, semangat sedemikian semakin surut dalam gelombang individualistik yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini. Semangat kekitaan semakin berkurang dan digantikan dengan semangat engkau dan aku.

Walaupun di sesetengah tempat masih lagi tebal semangat kerjasama dan gotong royong dikalangan mereka, akan tetapi dikhuatiri generasi pelapis akan meninggalkan semangat tersebut berkubur begitu sahaja.

Kalau dulu, majlis perkahwinan meriah dengan penanggah yang berulang alik antara balai atau khemah dengan talam/dulang di tangan, kini tempat mereka telah digantikan dengan sistem 'buffet' atau layan diri. Kalau dulu orang-orang kampung menyingsing lengan baju dengan pisau di tangan menyiapkan apa yang patut untuk santapan tetamu, kini telah digantikan dengan katering. Order saja...

Tidak salah untuk gunapakai sistem baru dalam proses adaptasi sesuatu perkara kerana ternyata ianya memudahkan tuan rumah dan menjadikan majlis lebih teratur dan sistematik. Cuma persoalannya, apakah sistem tersebut akan turut mengikis atau menghakis semangat kerjasama dalam sesebuah masyarakat?!

Semalam, tempua baru saja bersama-sama meraikan satu majlis aqiqah yang melibatkan 4 ekor kambing disembelih untuk kenduri pada jam 12 tengahari. Seawal jam 7.30 pagi kambing pertama disembelih, diikuti ke-2, 3 dan 4...Semuanya berjalan lancar dan teratur.

Melapah, memotong, memanggang dan memasak, semuanya dapat diselesaikan dalam jangkamasa yang singkat. Bukan kambing saja, dengan ayam kampung yang hampir 40 ekor...disembelih, direbus, dicabut bulu, dipanggang dan di potong-potong kecil. Dengan kelapa yang mencecah hampir 80 biji...semuanya menjadi mudah bila saling bekerjasama. Itulah kuasa semangat kerjasama atau gotong royong yang ditunjukkan.

Yang pasti, semangat kerjasama dan gotong royong masih lagi relevan untuk kita semua. Tidak kira majlis atau acara. Yang berskala kecil atau besar, semuanya dapat direalisasikan dengan jayanya jika masyarakat setempat bermuafakat dan bekerjasama dalam merancang dan melaksana sesuatu majlis.

Tempua taklah 'masuk' dalam semua acara...mana yang mampu dan terlarat je lah. Bukan bermakna tak ada semangat tersebut, cuma kadang-kadang rasa semua kerja dah cukup 'quorum'. Jadi biarlah yang arif melaksanakannya.

Tapi masa memegang kepala kambing untuk disembelih tu membuatkan tempua rasa macam nak pitam. Bukannya apa, tempua agak gemuruh juga tengok darah. Hati kecil. Mahu tak mahu, tanggungjawab tu perlu dilaksanakan juga. Takkan nak menolak pula. Apa yang mampu...pegang kuat-kuat, tutup mata dan tunduk ke bawah. Bila terdengar dengusan kambing tu disembelih...terasa renjatan tubuhnya yang menegang dan mengejang. Tiba-tiba terasa darah yang hangat memancut ke muka. Allahu Akbar. Semoga aqiqah yang dilakukan itu mendapat Rahmat dariNya.


Very flattered and honoured to be part of the feast. Especially when it comes to slaughter


- tempua.siber -

Friday, November 20, 2009

Kemelut Di Muara Kasih



Hidup tak selalunya indah. Tidak semuanya berlaku seperti apa yang kita harapkan. Tapi yang pasti, ada hikmah tersembunyi pada setiap dugaan yang mendatang.

Begitulah juga kita sebagai manusia...pasti ada kemelut yang singgah dalam ketenangan. Ada kesulitan dan masalah yang pasti melanda. Itu semua adalah asam garam dalam kehidupan. Yang penting, bagaimana kita menangani situasi yang berlaku. Situasi yang kadangkala mencabar emosi kita sebagai manusia. Situasi yang membuatkan kita seringkali hilang pertimbangan dalam menilai kebaikan dan keburukan.

Benarlah kata pepatah...sedangkan lidah lagi tergigit....apatah lagi hubungan kita sesama kaum keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling. Mahu atau tidak, pasti ada perkara yang akan mengetuk pintu hubungan lalu membuka jendela kedinginan. Dingin dalam perhubungan...pasti boleh di pulihkan. Hanya sedikit kebijaksanaan diperlukan untuk meleraikan kekusutan yang melanda.

kemelut yang melanda pasti akan mendewasakan kita. Kita dapat mengenalpasti kelemahan yang ada. Mengenalpasti kekurangan diri. Maka itu, kita perlulah muhasabah diri sekerap mungkin. Mencermin diri dan bukannya menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Tapi selagi kita bernama manusia, kita tidak akan mudah untuk mengaku salah. Kita ego dan yakin yang kita adalah benar. Padahal kita mengetahui yang semua orang disekeliling kita mengatakan kita salah. Kita buta atau pura-pura buta demi menegakkan sebuah keputusan yang sememangnya salah.

Tempua pasti, masa dan kesabaran adalah ubat yang paling mujarab. Masing-masing perlukan ruang. Jika ruang yang diberi, digunakan sebaik mungkin, pasti penyudahnya lebih indah dan manis dari sebelumnya.

Anggaplah apa yang berlaku sebagai musibah dan ianya ujian dari Allah. Ianya tidak lain dan tidak bukan, untuk memantapkan lagi keimanan kita kepada Allah jika kita melihat sudut yang lebih luas. Fikirlah di luar kotak...kerana lebih banyak pembolehubah yang boleh digunapakai untuk memotivasikan diri.

Biarlah air mata mengalir. Biarlah ia menitis. Biarlah airmata itu menceritakan kisah suka duka. Itu tandanya kasih masih ada. Fitrah manusia menangis ketika dilahirkan...menangislah...jika itu dapat memberikan sedikit ketenangan dalam kehancuran sekeping hati.

Perhubungan itu ibarat sebuah buku. Kita tidak boleh menilainya dari luar. Kita perlu membaca dan memahami isinya. Jika kemelut yang melanda itu merupakan sesuatu yang perlu kita fahaminya...ia adalah satu pelajaran yang baik untuk kita membina semula hubungan kerana kita sudah memahami apa yang tersirat dan tersurat.

Perhubungan bukanlah tentang sesuatu yang kita boleh atau senang lupakan. Dalam sebuah perhubungan, perlu ada tolak ansur dan saling memaafkan. Walaupun kita berada di pihak yang benar, beralah bukan bermakna kita kalah. Perhubungan yang baik juga bukan bermakna kita hanya mendengar setiap masalah...malah kita perlu memahaminya. Melihatnya dari pelbagai sudut. Merasanya dari hati yang paling dalam. Dan bila semua itu dah ada, bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita menyisihkan kasih yang telah lama tersulam. Ianya menjadi satu kekuatan untuk kita terus mengenggam erat sampai bila-bila.

Kemelut di muara kasih pasti akan berlalu....

Hidup tak selalunya indah, tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

- tempua.siber -

Tuesday, November 17, 2009

FB - Get Connected



Semua orang ada kenangan. Ada suka dan ada duka. Semakin lama kita tinggalkannya di belakang, semakin berharga ianya kepada kita. Kadang-kadang kita tidak pernah menduga yang suatu perkara kecil yang kita lakukan akan memberi impak yang besar 20 tahun nanti.

Selalunya kenangan atau sesuatu peristiwa itu hanya akan kembali ke layar ingatan kita bila kita sedaya upaya 'memanggil'nya semula ke dalam kotak fikiran. Kenapa pula kita nak mengingatkan semula kenangan yang telah lama berlalu??!

Banyak perkara atau faktor yang membuatkan seseorang itu akan cuba mengingatkan situasi atau kejadian yang telah lama berlaku. Salah satunya bila ada FACEBOOK.

Siapa sangka, tempua boleh berhubung kembali dengan kawan-kawan yang telah terpisah berpuluh tahun lamanya. Bila dah jumpa di laman FB, maka terkeluarlah segala macam kenangan yang ingin dikongsikan bersama. Semuanya akan kembali segar dalam ingatan. Walaupun tak semua peristiwa boleh diingat atau dipanggil kembali, tetapi secebis kisah silam dapat menyatukan semula tali persahabatan dan seterusnya mengeratkan silaturtrahim tempua dengan mereka.

Bila dah bersambung-sambung cerita antara satu sama lain, tiba-tiba tempua dapat tahu ada antara kawan yang telahpun 'pergi' terlebih dahulu. Ini adalah hakikat kehidupan yang perlu kita akur. Yang membezakan adalah lambat atau cepat sahaja. Cuma sebagai seorang sahabat, tempau doakan yang baik-baik buat mereka di sana. Al-Fatihah.

Disebalik kesedihan, ada juga cerita gembira bila mendengar kejayaan kawan-kawan dalam bidang masing-masing. Indeed, you will never know where life takes you.

Cuma yang ralatnya, dizaman tempua bersekolah rendah dulu, telefon berkamera belum wujud lagi...yang ada hanyalah kamera yang menggunakan filem. Jadi, tidak banyak gambar yang dapat dirakankan. Yang adapun hanyalah gambar beramai-ramai masa darjah 5 yang kelam dan kabur. Walaupun begitu, ia tetap bernilai sebagai medium penyatuan kami semua.

Benda-benda begini ada pasang surutnya. Yang penting bagaimana kita nak mengekalkan momentum keterujaan tersebut supaya ikatan yang telah terbina tidak relai dipertengahan. Apapun, pokok pangkalnya adalah niat dan keikhlasan kita dalam sesebuah perhubungan.

Jangan pula FB menjadi seperti sabun Fab Buku. Bila selalu guna...ia terhakis dan akhirnya hilang.

Jomlah cari kawan-kawan anda di sana. Mereka pasti sedang mencari anda juga.

Never be Complacent

- tempua.siber -

Wednesday, November 11, 2009

Di Dalam Kelemahan Ada Kekuatan


Kita seringkali mencari kelemahan orang lain. Kita hanya nampak yang buruk dari yang baik. Walaupun kebaikan mengatasi keburukan, kita tetap menafikan. Sudahnya kita hanya menilai sesorang dari pandangan zahir. Kemungkinan untuk salah tanggapan adalah tinggi.

Tidak semua kelemahan yang kita nilai itu bersifat 'lemah' menurut perspektif fikiran kita. Cuba bandingkan dua personaliti ini. Seorang yang bersifat pendiam dan seorang lagi bersikap aggresif. Jika dinilai dari sudut pandangan zahir, memang ternyata pendiam itu bersifat lemah.

Kita selusuri lagi kualiti yang ada pada mereka. Yang pendiam ini tekun dalam pekerjaaan. Memberi tumpuan yang tinggi pada setiap apa yang dilakukan. Manakala yang aggresif pula lebih lantang dalam bersuara, tetapi habuk pun takda. Nah, sekarang siapa pula yang lemah?!!

Sesungguhnya manusia itu banyak kekurangannya. Maka sebab itulah dijadikan setiap benda itu berpasangan dan berlawanan. Kita perlulah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Tak semua orang hebat dalam semua bidang dan tak semua orang lemah dalam segala hal.

Jadi apa yang perlu kita sebagai manusia lakukan ialah, sentiasa perbaiki kelemahan diri dan jangan memandang rendah atau 'under estimate' orang lain. Cerminlah diri dulu kerana kita juga pasti ada kelemahan.

Di dalam kelemahan pasti ada kekuatan. Kita perlu teroka kehebatan diri kita untuk menjadikan kelemahan itu sebagai satu kekuatan. Biarlah apa orang nak cakap atau kata. Selagi kita yakin dengan diri dan berada pada landasan yang betul, teruskanlah memandang ke hadapan. InsyaAllah...

Think good and things will be good

Sentiasa positive...

- tempua.siber -

Sunday, October 25, 2009

Jomlah Ke Melaka











Orang kata jauh perjalanan, luas pemandangan. Betullah tu. Tapi tak semestinya nak 'meluaskan' pandangan kita terikat dengan stigma tersebut. Kita boleh saja meluaskan pandangan sambil berehat dengan hanya merentasi sempadan negeri.

Banyak tempat-tempat yang menarik di dalam negara yang boleh kita lawati. Dari percutian di tepi pantai kepada pulau-pulau yang bertaraf dunia. Dari keriangan taman tema dipuncak bukit ke tempat bersejarah warisan dunia. Semuanya ada di Malaysia.

Bukannya apa, cuma tempua nak bagitahu bahawa percutian yang menyeronokkan ialah apabila kita menikmatinya dengan penuh keselesaan disamping dapat meluangkan masa bersama kaum keluarga. Keselesaan dari pelbagai sudut, terutamanya duit.

Haaa, jadi kalau ada perancangan nak bercuti pada musim cuti sekolah yang akan datang ini, apa kata anda ke Melaka. Banyak lokasi-lokasi tumpuan yang telah dibangunkan. Siang dan malam anda pastinya akan 'hidup' dengan aktiviti yang menarik.

Ini bukan promosi, cuma satu cadangan untuk anda fikirkan. Tempua tak perlu nak bercerita panjang lebar tentang apa yang ada di Melaka kerana maklumat tersebut semuanya ada di hujung jari anda. Cuma tempua teruja nak berkongsi gambar-gambar menarik yang sempat dirakamkan ketika 'menjelajah' Melaka di malam hari.

Menyelusuri sungai Melaka dengan bot yang mengambil masa 45 minit, melihat limpahan lampu berwarna warni yang menerangi bandar Melaka, pancutan air berirama yang mempesona dan tidak ketinggalam kemeriahan polis pelancung menari poco-poco. Semuanya pasti membuat anda teruja.

Walaubagaimanapun, tak salah jika kita mampu untuk bercuti ke luar negara. Yang penting pada akhir perjalanan atau percutian itu, ada satu kenangan dan kepuasan yang boleh membuatkan anda tersenyum. Semuanya perlu diukur pada ketebalan poket sendiri. Yang penting...happy.

Jumpa di Melaka ya...

- tempua.siber -

Friday, October 9, 2009

Daya Juang


Rasanya belum terlewat lagi tempua mengucapkan salam lebaran buat semua.

Memang dah lama rasanya tempua tidak update blog ini. Semenjak berpindah kerja ke tempat baru ini, banyak perkara lain yang tempua perlu selesaikan. Cabaran kerja ditempat baru menuntut lebih banyak tumpuan dan perhatian. Proses untuk menyesuaikan diri saja mengambil masa. Semuanya perlu disesuaikan mengikut polisi yang walaupun tak banyak bezanya, tapi tetap ada kelainannya.

Yup...bukan semudah yang disangka. Bekerja di tempat baru juga mempunyai cabaran yang berbeza. Dan kalau tidak kerana keazaman yang kuat, sudah tentu tempua tidak tahan. Bukan tidak tahan dari segi fizikal...tetapi mental dan emosi.

Kalau dulu, tempua tiada masalah untuk bercuti..terutamanya menyambut raya, tapi kali ini tempua hanya bercuti mengikut kalender sahaja kerana belum ada cuti yang diperuntukkan. Tetapi itu semua bukan suatu masalah bagi tempua kerana komitmen kerja pada ketika ini lebih penting dan mengambil unpaid leave, bukanlah sesuatu yang tempua gemari.

Tetapi kerana semangat dan daya juang yang tinggi, yang selalu memandang semua dari sudut yang positif disamping sering berdoa kepada Allah minta segalanya dipermudahkan...Alhamdulillah...selepas hampir 3 bulan, sesuatu yang membanggakan telah berlaku yang membuatkan tempua senyum sendiri.

Semasa mesyuarat pengurusan, tempua secara terang-terangan telah dipuji oleh CEO dan mendapat tepukan dari semua pengurusan kerana telah berjaya menunjukkan prestasi yang memuaskan. Selang beberapa minggu kemudian, CEO bersetuju memendekan probation period dari 6bulan ke 3 bulan dan berjanji untuk menaikkan gred gaji tempua pada bulan 11 nanti iaitu setelah genap 3 bulan. Alhamdulillah....

Tempua yakin, dalam setiap apa yang kita lakukan, kita perlu fokus dan sabar dengan cabaran. Sokongan keluarga dan orang sekeliling juga penting untuk memberi semangat dan yang lebih utama, setiap perkara yang berlaku itu perlu kita ambilnya sebagai suatu yang positif...supaya hasilnya juga positif.

Memang banyak 'kesenangan' kerja yang tempua lepaskan dan tidak dapat dinikmati di syarikat baru ini, tapi apa yang pasti ia bukanlah satu masalah besar kerana proses penyesuaian perlu ada. Cuma apa yang tempua nampak...kalau di syarikat lama dulu selama 12 tahun tempua belajar dan menimba pengalaman....di syarikat baru ini pula, tempua praktikkan segala pengalaman yang ada dan hasilnya...tempua berjaya dan semakin mahir dengan bidang yang tempua ceburi.

Seperti juga Syawal yang kita raikan ini...ia simbol kepada kemenangan kita melawan hawa nafsu pada bulan Ramadhan. Begitu juga yang berlaku kepada tempua...simbol dan semangat yang sama...cuma situasi sahaja yang berbeza. Dalam kedua-dua perkara...Daya ketahanan dan daya juang perlulah tinggi.

Bak kata orang dulu-dulu...dimana nak dapatkan sagu kalau tidak dipecahkan ruyung....

- tempua.siber -

Monday, July 27, 2009

Tempat Jatuh Lagi Dikenang...


Setiap kali membuat keputusan, pastinya kita berhadapan dengan pilihan. Kadang-kadang rasa 'sesak nafas' juga bila nak buat pertimbangan. Tapi keputusan harus dibuat walau sesukar manapun pilihan. Kita tiada pilihan melainkan membuat pilihan.

Sebagai umat Islam, bila berhadapan dengan situasi begini adalah lebih baik kita memohon petunjuk Allah. Sembahyang Istikharah adalah cara yang terbaik untuk memohon petunjuk dariNya seterusnya dipermudahkan dalam membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Begitulah juga yang sedang dihadapi tempua. Selama sebulan ini tempua berada dalam dua persimpangan. Jalan mana yang harus dipilih? Pastinya jalan yang membawa ke destinasi impian.

Ahh..payahnya nak berkias-kias ni. Sebenarnya tempua dahpun buat keputusan untuk berhenti kerja di syarikat lama kerana mendapat tawaran di syarikat baru. Bidang tugas masih sama, cuma bila seseorang pekerja itu berpindah, sudah pastilah tawaran yang diterimanya dari syarikat baru lebih menarik.

Tapi hakikatnya keselesaan bekerja dan kepuasan itu lebih penting dari habuan. Ya, memanglah kita bekerja kerana untuk mendapatkan gaji yang besar, jawatan yang besar dan macam-macam faedah yang besar lagi. Tetapi akhirnya…kepuasan kita bekerja juga perlu diambil kira.

Di sini, sudah lebih 12 tahun tempua berkhidmat. Malah sudah lebih dari selesa dari segi kerja dan tugas. Cuma bila mendapat peluang lain, tempua terpaksa akur yang mungkin sudah sampai masanya tempua berubah angin...berubah suasana dan keluar dari zon selesa. Yang lebih penting sekarang ialah kesinambungan kerja dan jaminan sebuah kehidupan yang selesa walaupun tidak mewah.

Bukannya sepanjang 12 tahun itu tempua tidak pernah mendapat tawaran dari syarikat lain, tetapi pada ketika itu belum tergerak lagi hati untuk bertukar syarikat. Cuma, tawaran kali ini membuatkan tempua berfikir berkali-kali dan tiba-tiba dijentik satu rasa ingin bertukar angin. Mungkin sudah sampai masanya yang sesuai.

Ya…seperti yang dikatakan tadi, keputusan telahpun tempua buat. Memang payah tetapi kaki ini harus melangkah. Semakin hampir tarikh akhir, semakin sayu untuk meninggalkan kerusi dan bilik yang telah sinonim dengan bau tempua. Tetapi dalam kehidupan, sesuatu yang tidak disangkakan itulah sering menjadi kebetulan.

Buat pengurusan tertinggi syarikat, terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk tempua mengutip pengalaman dan skill dalam bidang pekerjaan. Segala tunjuk ajar dan nasihat pastinya akan dijdikan azimat. Begitu juga teman-teman sekerja, terima kasih kerana sudi memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh tempua berkhidmat. Jasa kalian pasti dikenang.

Betullah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang…inikan pula tempat tempua mencari rezeki. Pastinya kenangan indah bekerja terpahat dalam kenangan.

Buat pengurusan dan teman sekerja di tempat baru, pastinya tempua akan berusaha lebih gigih untuk menjadi modal insan yang cemerlang dan dibanggakan.

Selamat Tinggal MCSB…Hai Hai ASRPSB

- tempua.siber -