Sunday, November 29, 2009
Yang Berat Sama DiPikul...
Semangat bekerjasama atau gotong royong dalam sesebuah masyarakat amat besar signifikannya. Malangnya, semangat sedemikian semakin surut dalam gelombang individualistik yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini. Semangat kekitaan semakin berkurang dan digantikan dengan semangat engkau dan aku.
Walaupun di sesetengah tempat masih lagi tebal semangat kerjasama dan gotong royong dikalangan mereka, akan tetapi dikhuatiri generasi pelapis akan meninggalkan semangat tersebut berkubur begitu sahaja.
Kalau dulu, majlis perkahwinan meriah dengan penanggah yang berulang alik antara balai atau khemah dengan talam/dulang di tangan, kini tempat mereka telah digantikan dengan sistem 'buffet' atau layan diri. Kalau dulu orang-orang kampung menyingsing lengan baju dengan pisau di tangan menyiapkan apa yang patut untuk santapan tetamu, kini telah digantikan dengan katering. Order saja...
Tidak salah untuk gunapakai sistem baru dalam proses adaptasi sesuatu perkara kerana ternyata ianya memudahkan tuan rumah dan menjadikan majlis lebih teratur dan sistematik. Cuma persoalannya, apakah sistem tersebut akan turut mengikis atau menghakis semangat kerjasama dalam sesebuah masyarakat?!
Semalam, tempua baru saja bersama-sama meraikan satu majlis aqiqah yang melibatkan 4 ekor kambing disembelih untuk kenduri pada jam 12 tengahari. Seawal jam 7.30 pagi kambing pertama disembelih, diikuti ke-2, 3 dan 4...Semuanya berjalan lancar dan teratur.
Melapah, memotong, memanggang dan memasak, semuanya dapat diselesaikan dalam jangkamasa yang singkat. Bukan kambing saja, dengan ayam kampung yang hampir 40 ekor...disembelih, direbus, dicabut bulu, dipanggang dan di potong-potong kecil. Dengan kelapa yang mencecah hampir 80 biji...semuanya menjadi mudah bila saling bekerjasama. Itulah kuasa semangat kerjasama atau gotong royong yang ditunjukkan.
Yang pasti, semangat kerjasama dan gotong royong masih lagi relevan untuk kita semua. Tidak kira majlis atau acara. Yang berskala kecil atau besar, semuanya dapat direalisasikan dengan jayanya jika masyarakat setempat bermuafakat dan bekerjasama dalam merancang dan melaksana sesuatu majlis.
Tempua taklah 'masuk' dalam semua acara...mana yang mampu dan terlarat je lah. Bukan bermakna tak ada semangat tersebut, cuma kadang-kadang rasa semua kerja dah cukup 'quorum'. Jadi biarlah yang arif melaksanakannya.
Tapi masa memegang kepala kambing untuk disembelih tu membuatkan tempua rasa macam nak pitam. Bukannya apa, tempua agak gemuruh juga tengok darah. Hati kecil. Mahu tak mahu, tanggungjawab tu perlu dilaksanakan juga. Takkan nak menolak pula. Apa yang mampu...pegang kuat-kuat, tutup mata dan tunduk ke bawah. Bila terdengar dengusan kambing tu disembelih...terasa renjatan tubuhnya yang menegang dan mengejang. Tiba-tiba terasa darah yang hangat memancut ke muka. Allahu Akbar. Semoga aqiqah yang dilakukan itu mendapat Rahmat dariNya.
Very flattered and honoured to be part of the feast. Especially when it comes to slaughter
- tempua.siber -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment