Saturday, December 19, 2009

Saling Memerlukan...




Dalam setiap pembangunan yang hendak dijalankan, kajian dan perancangan haruslah dibuat terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan timbulnya masalah dikemudian hari. Walaupun kadang-kadang sesuatu pembangunan itu perlu disegerakan atas nama kepentingannya kepada masyarakat setempat, faktor-faktor kritikal perlu diambil kira juga supaya masalah tidak menjadi semakin rumit dan bercelaru.

Kemudahan-kemudahan asas yang perlu disediakan untuk kawasan yang menjadi tumpuan umum haruslah mencukupi seperti tandas, kawasan menunggu/tempat duduk, ruang solat, telefon awam dan juga tempat meletak kenderaan.

Selalunya yang menjadi masalah ialah kawasan meletak kenderaan yang tidak mencukupi. Apabila perkara ini diambil mudah atau remeh dalam sesebuah pembangunan atau naiktaraf tempat sedia ada, maka akan wujudlah masalah meletak kenderaan ditempat yang tidak sepatutnya, menghalang kenderaan lain dan mengganggu pengguna yang lain.

Apabila keadaan bertambah rumit, maka barulah terkail-kial untuk mencari atau membuka kawasan baru bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Tetapi, bila kawasan meletak kenderaan mencukupi pula, pengguna pula buat hal. kalau boleh nak 'parking' dekat dengan pintu sesebuah bangunan. Letak jauh sikit dan berjalan kaki menjadi satu beban pada mereka. Dah bagi senang, lagi dia nak senang. Maka wujud pula masalah 'double parking' dengan enjin dihidupkan atau ada penumpang yang menunggu di dalam kereta dengan alasan 'sekejap'.

Isu-isu begini tidak akan habis menjadi polemik jika pihak pengurusan mahupun individu tidak mempunyai atau memahami budaya saling memerlukan. Apabila kita faham konsep saling memerlukan maka akan wujudlah satu jalinan suasana yang harmonis antara pemberi atau penyedia perkhidmatan dengan pengguna.

Taklah kita melalui pengalaman menggunakan tandas kotor, rosak serta berconteng, telefon awam yang hjlang gagang dan tidak boleh digunakan lagi, kerusi menunggu yang ditinggalkan sampah dan lebih menjijikkan lagi bila ada kesan sisa makanan dan bermacam-macam lagilah kemudahan yang tidak dapat digunakan akibat dari sikap manusia itu sendiri.

Dalam hal begini, kita tydak boleh asyik nak menyalahkan penyedia perkhidmatan atau kerajaan sahaja tanpa kita melihat dan menilai cara kita menggunakan setiap perkhidmatan yang disediakan.

Harus juga diingat, perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan selalunya menolong orang kebanyakan malah jauh lebih rendah harganya dan jika kita tidak sama-sama menjaga kemudahan yang disediakan maka amatlah tidak patut jika kita terus menyuarakan rasa tidak kepuasan selagi kita tidak sama-sama mendidik diri dan generasi yang akan datang betapa pentingnya menjaga kemudahan awam untuk keselesaan bersama.

Selalu mengajar diri supaya melihat dari luar kebiasaan

- tempua.siber -

No comments: