Tuesday, July 1, 2008

Hijau Bumi Tuhan

Sekarang ini semua pihak sibuk dengan kempen hijaukan bumi. Maka, banyaklah acara-acara yang bersangkutan dianjurkan untuk mendidik rakyat dan menanamkan semangat cintakan bumi terutama kepada generasi muda. Mesejnya cukup jelas. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya ’mempergunakan’ alam. Perlu ada alternatif lain. Tapi lain pula cerita bagi negeri yang terkenal dengan ’Hijau-Kuning’ ini. Langkah yang diambil adalah sebaliknya. Bertentangan dengan hasrat semua.

Bagaimanakah Menteri Besar Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah) boleh terfikir untuk menebang hutan simpan Ulu Muda? Terdesak sangatkah dia dek kerana menabur janji kepada rakyat untuk potong itu, turun kan harga ini, lupuskan itu dan macam-macam lagi ketika pilihanraya dulu dan kini oleh kerana tidak cukup hasil maka jalan mudahnya ialah - tebang balak dan jual!

Walaupun isu ini nampak remeh tapi impaknya cukup besar. Jika dipandang dari sudut komersil, memanglah kerajaan negeri boleh mendapat hasil dalam masa yang singkat. Tapi, berbaloikah nilai tersebut bila kesejahteraan rakyat menjadi gantinya! Dengan kata lain, TERANCAM!

Fungsi hutan antara lain ialah mengawal sumber air (kawasan tadahan air hujan), mengekalkan kesuburan tanah, pemuliharaan kualiti alam sekitar (tumbuhan hijau membebaskan O² dan menyerap CO²), kelangsungan kepelbagaian hayat flora dan fauna, agen untuk mengurangkan hakisan dan juga sebagai benteng/penebat untuk mengawal banjir.

Ini bermakna, jika hutan simpan Ulu Muda tersebut ’diganggu’, terjejaslah ekosistem dan bermulalah pelbagai masalah yang mengugat dan mengancam kesejahteraan hidup semua. Banjir, hakisan, punca air terjejas (bukan di Kedah sahaja, malah rakyat Pulau Pinang juga akan merasa tempiasnya kerana punca airnya dari Kedah) dan macam-macam lagi kesan yang dapat dirasai nanti.

Tempua harap agar cadangan ini dikaji dengan terperinci dan mendalam. Berapalah sangat nilai RM yang bakal diperolehi jika dibandingkan dengan malapetaka dan bencana yang akan terjadi?

Sebelum keputusan dibuat, perhalusi dahulu kesan dan akibatnya. Berilah peluang kepada generasi akan datang untuk menikmati kehijauan alam ciptaan Tuhan ini. Jangan sesekali kita mengundang bencana!

Marilah kita nyanyikan lagu Hijau yang pernah dipopularkan oleh Zainal Abidin suatu ketika dulu. Disebalik berhibur, perhalusi makna liriknya satu persatu. Lirik mulanya begini...
Bumi Yang Tiada Rimba
Seumpama Hamba
Dia Dicemar Manusia
Yang Jahil Ketawa
...

- tempua.siber -

No comments: