Tuesday, July 8, 2008

Menyingkap Tabir Kenangan

Hidup tak selalunya indah. Kita tidak dapat menjangka apa akan jadi dan apa yang akan kita lalui pada masa hadapan. Kadang-kadang dalam keseronokan menikmati kehidupan, kita diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan mungkin dari segi masalah kewangan, masalah kesihatan, krisis rumahtangga/keluarga dan seribu satu jenis lagi yang tak terjangkau akal kita berfikir.

Tempua juga pernah diuji hebat. Bukan tempua sahaja, malah seluruh keluarga pernah berdepan dengan dugaan yang tak pernah terlintas difikiran. Dugaan yang merubah keyakinan, tanggapan, perasaan dan alur kehidupan pada ketika itu. Dugaan yang tak pernah diundang dan diingini. Tetapi siapalah kami untuk melawan takdir. Ianya sudah tersirat dan kami perlu akur.

Takdir tuhan tak dapat dielak dan dianjak. Lebih kurang sebelas tahun ( hujung tahun 1997 ) yang lalu, ayah tempua disahkan menghidap kanser leher. Mulanya hanya sakit biasa dan bila ke klinik doktor menasihati supaya minum air masak lebih kerana masalah cuaca/jerebu. Akhirnya setelah di diagnosis oleh pakar, sahlah ianya bukan penyakit biasa. Hasil ujian mendapati virus kanser telah menyerang dan mula merebak di bahagian leher. Sewaktu diberitahu oleh doktor keputusan ujian tersebut melalui panggilan telefon ke rumah, ianya bagaikan halilintar yang menyambar. Bila disebut kanser, ianya bagaikan satu ancaman yang besar. Satu fobia dan taboo. Dalam keadaan antara percaya dan tidak, kami pasrah!

Rentetan dugaan yang dihadapi oleh kami sekeluarga ( lebih hebat lagi dugaan yang dihadapi oleh ayah ) dalam masa tak sampai setahun memang agak pantas. Tapi ada satu insiden yang betul-betul menyayat hati tempua. Sampai sekarang masih lagi segar dalam ingatan. Rasanya baru semalam ia berlaku.

Pada satu tahap, setelah menjalani rawatan yang berkaitan di hospital, ayah tempua memikirkan pula rawatan alternative iaitu - ubat kampung. Mana saja yang dia dengar ada orang pandai membuat penawar atau membantutkan serangan virus kanser tersebut dia akan pergi. Ini termasuklah ke Pahang dan menumpang di rumah kakak tempua.

Masa tu tahap penyakit dah agak kritikal. Bengkak dileher menyukarkan dia untuk bercakap. Jadi, tempua dan seorang adik duduk dirumah dalam keadaan yang cukup risau dan bimbang.

Suatu petang, kami telefon rumah kakak untuk bertanyakan khabar. Malangnya telefon dirumah kakak ketika itu ada rosak. Masalahnya ialah dia tak boleh dengar apa yang pemabggil cakap. Ketika tempua telefon, ibu tempua dan ayah saja yang ada. Bila ibu angkat telefon tempuapun tanyalah khabar. Malangnya dia tak dengar apa-apa dan metak semula gagang.

Untuk kali kedua tempua telefon lagi. Kali ini ibu tempua bercakap. Bunyinya lebih kurang begini. ”Hello...siapa kat sana? Tak dapat dengar apa-apa. Telefon ni rosak. Tapi kalau anak-anak mak yang telefon, telefon balik lepas ni.” Diapun meletak gagang. Ia memberi isyarat kepada tempua agar telefon kembali untuk mengesahkan yang menelefonnya ketika itu adalah anaknya.

Tempuapun telefonlah semula. Kali ini ibu yakin yang menelefonnya ketika itu adalah salah seorang dari anaknya. Maka diapun berbual seorang diri dengan memberitahu sedikit sebanyak maklumat tentang kesihatan ayah dan rawatan yang telah dijalani. Sekurang-kurangnya legalah sedikit perasaan bimbang kami di rumah.

Masa kejadian tersebut, tempua memang sangat sedih, hiba dan terharu. Yer, satu perasaan biasa yang pastinya akan mengetuk ruang rasa seseorang yang bernama manusia. Tapi, semakin masa berlalu dan semakin tempua fahami nilai sebuah pengorbanan, erti kehidupan dan kasih sayang, kini tempua berasa sangat kagum.

Kagum dengan semangat untuk terus bertahan dan ‘berjuang’ yang ditunjukkan oleh ayah tempua. Tak mengenal putus asa, tabah, redha dan cekal menerima takdir Ilahi. Kagum dengan kasih sayang yang tulus dan suci seorang isteri merangkap ibu ketika menghadapi saat-saat getir bersama suaminya. Kagum dengan kerjasama kami adik beradik yang sentiasa sepakat dan bersama dalan menghadapi hari-hari sukar.

Alhamdulillah, pada 16-07-2008 - Rabu yang akan datang ini genaplah sepuluh tahun ayah tempua kembali ke Rahmatullah. Kembali menghadap Tuhan yang maha Esa. Sepanjang tempoh itu juga kami adik beradik terus kekal utuh dan bersatu. Semoga ianya dapat dikekalkan untuk selama hayat kami dibumi dan generasi seterusnya.
Walaupun dia sudah tiada namun impian dan kenangannya terus harum dan subur dalam hati kami semua. Sesungguhnya kami bersaksi bahawa dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah dengan begitu baik sekali.

Al – Fatihah buat Ayahanda Daut Bin Hj. Abdul Ghani.

* Panggilan kami kepadanya ialah bapak

- tempua.siber -

No comments: