Sunday, September 28, 2008

Leburkanlah Dosa Ditapak Tangan

Tempua tak pastilah tradisi pagi raya orang lain, tapi tradisi pagi raya tempua dan ahli keluarga setiap tahun ialah bermaaf-maafan. Ini bermakna kami perlu bangun awal, mandi sunat dan bersiap. Oleh kerana ahli keluarga yang ramai, jadi masa bermaafan tu mengambil masa yang agak lama. Itu belum dicampur dengan keluarga sepupu lagi. Memang lenguh lah tangan tapi yang penting hati ikhlas.

Mungkin ramai yang beranggapan tradisi bermaafan itu tidak penting tetapi hakikatnya ia amatlah digalakkan. Kadang-kadang sebagai manusia kita tidak lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Hari Rayalah masa yang paling sesuai digunakan untuk menyesali setiap perbuatan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Menjernihkan yang keruh dan merapatkan silaturrahim sesama keluarga. Manusia tidak lari dari melakukan khilaf.

Bila kita ikhlas memohon kemaafan atas kesalahan sesama manusia, InsyaAllah semoga leburlah dosa ditapak tangan. Yang penting kemaafan yang kita pinta dan beri itu haruslah jujur. Bukan sebagai hanya cukup syarat dan dibuat-buat.

Apalah salahnya genggam tangan betul-betul dan erat. Luahkan kekesalan atas kesalahan yang telah kita lakukan. Tunjukkan yang kita benar-benar kesal dengan apa yang telah berlaku. Ini, kalau salam…hujung jari jer. Cakappun sambil lewa. Tiada maknalah macam itu. Serupa tak payah.

Apapun, sepatutnya bukan masa hari raya sahaja kita patut meminta maaf sesama insan. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Cuma mungkin hari raya, ia merupakan kemenangan kepada umat Islam, dan hari besar itu sesuai untuk saling bermaaf-maafan . Mungkin hati-hati yang pernah tercalar dan keras sebelum ini akan menjadi lembut dan terbuka untuk memberi kemaafan. Wallahualam.

Apapun, hakikat hari raya untuk bergembira itu tidak salah, Cuma jangan sampai kita lalai dan melupakan-Nya. Dan kesempatan ini tempua memohon ampun dan maaf andai ada entry yang menyinggung perasaan dan menjentik rasa anda semua yang membaca. Semoga lebaran kali ini menjanjikan seribu rahmat dan keceriaan buat kita semua.

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin

p/s – Makan Lemang Dan Ketupat Tu Ingat-Ingatlah Tempua…

- tempua.siber -

Monday, September 22, 2008

Yang Tersurat Di Ramadhan, Yang Tersirat Di Syawal




Ramadhan kian melabuhkan tirainya. Saat inilah macam-macam perkara nak difikirkan. Perancangan nak balik ke kampung, beli belah, kuih muih raya, kelengkapan baru, penyelenggaraan kenderaan untuk perjalanan jauh dan 1001 macam lagi perkara. Pendek kata semuanya memerlukan duit.

Dalam keadaan sekarang ini, memanglah digalakkan untuk berjimat cermat. Tetapi bila sebut pasal persiapan raya, nak sekat pengaliran wang itu amatlah payah. Ada sahaja perkara nak dibuat, dirancang dan dibeli.

Kalau sebelum ni, peralatan elektrik atau perabut yang rosak boleh di biarkan dulu atau digunakan lagi, tapi bila dah nak raya, benda-benda tu perlu dibaiki atau ditukar baru. Kadang-kadang time nak rayalah ‘dia’ meragam dan buat hal. Mahu atau tidak, kena betulkan juga. Perbelanjaan luar jangkaan inilah yang buatkan budget raya lari. Memanglah raya setahun sekali tapi bila tiap-tiap tahun ada saja yang tak cukup dan ‘mesra mata’, tokey balakpun boleh bankrupt!

Raya jugalah selalunya kita buat persiapan 'last minute'. Sedangkan banyak lagi masa lain yang boleh dibuat tapi time nak raya jugalah yang kita sibuk. Tempua sendiripun macam tu. Ada saja yang tak cukup. Mungkinkah berkat Ramadhan maka rezeki untuk berbelanja itu ada? Atau raya memang perlukan benda-benda baru? Entahlah...persoalan itu tak dapat dijawab. Mungkin persiapan sat-saat akhir itulah yang membuatkan raya jadi meriah? No komen....

Bagi tempua, rayalah saat yang ditunggu untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluarga. Bukan senang nak berkumpul serentak. Masa inilah yang paling sesuai nak eratkan mana yang longgar. Nak mesrakan mana yang dah lemau. Inilah peluang yang ada. Dan lebih-lebih lagi bila menyambut raya dengan suasana yang masih lagi kampung. Memang menyeronokkan.

Kami masih lagi mengekalkan tradisi kampung di mana saling bekerjasama pada hari mantai untuk buat juadah raya. Tak kira lelaki atau perempuan. tua mahupun muda. Semuanya menyingsing lengan baju. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab. Seawal pagi mantai, lepas sahaja bersahur semua dah siap sedia. Masa inilah saat yang paling bahagia bila tengok semangat kekeluargaan begitu erat. Gurau senda dan senyuman tak lekang dari bibir. Ada sahaja topik yang nak dibualkan. Ada sahaja idea dajal nak dikenakan. Walaupun penat tapi itulah yang membuatkan raya kami bermakna.

Yang pasti, apa yang kita buat biarlah berpada. Ada rezeki lebih, tak salah untuk membeli keperluan baru tetapi janganlah sehingga ke tahap membazir. Setiap orang ada cara untuk meraikan Hari Raya. Tetapi dalam kita menyambutnya dengan riang dan gembira usah dilupa kepada insan-insan yang menyambutnya dengan sedih dan hiba kerana kehilangan orang tersayang. Kepada anak-anak yang menjadi yatim piatu, kepada suami yang kehilangan isteri, juga isteri yang kehilangan suami, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua yang kehilangan kasih sayang anak-anak, kepada yang sakit dan menderita masalah kesihatan yang serius, kepada mangsa-mangsa peperangan dan kepada sesiapa sahaja umat Islam yang tidak dapat menyambutnya dengan gembira dan sempurna. Semoga mereka ini tabah menjalani apa yang telah tersurat dan tersirat. Dugaan tidak mengenal siapa. Hari ini mereka, esok lusa mungkin giliran kita.

Jauh disudut hati tempua dan pastinya ahli keluarga yang lain...kami amat merindui Allahyarham ayahanda pada ketika ini. Kerana dialah kami utuh bersatu.

Biarlah rindu dan kenangan ini sentiasa membasahi daun-daun waktu.

Al-Fatihah

- tempua.siber -

Thursday, September 18, 2008

Replay - Ramadhan Zaman Kanak-Kanak Tempua

Bulan puasa dan zaman kanak-kanak memang cukup sinonim. Banyak kenangan yang terakam indah. Sekali sekala ia datang bertamu mengetuk pintu ingatan. Zaman kanak-kanaklah merupakan momen yang paling seronok menyambut Ramadhan. Bulan yang ditunggu-tunggu kerana pada ketika itulah perhatian ahli keluarga banyak tertumpu kepada kita.

Dari bab belajar berpuasa setengah hari hinggalah ke satu hari. Berbagai ganjaran dijanjikan sebagai satu ‘umpan’ untuk mendorong kita laksanakan rukun Islam yang ke-3 ini. Itu belum masuk bab juadah berbuka lagi. Pasti apa sahaja keinginan kita akan cuba direalisasikan. Alah…budak dulu-dulu paling demand pun minta ayam goreng kunyit. Budak sekarangpun minta ayam goreng gak…tapi yang berjenama KFC atau Mc Donald. Silap haribulan minta pizza. Telefon jer, sampailah special delivery depan pintu. Kalau yang dibeli tempat lain…takkan mau dia makan. Sanggup tak berbuka sebab keinginan tak tercapai. Agaknyalah….

Bila berpuasa tu, panas adalah ‘musuh’ utama. Macam-macam cara nak hilangkan ‘kehausan’ dan kepanasan. Tempua dulu gunakan towel basah untuk ‘balut’ badan. Lega sikit. Bila towel tu dah mula kering, basahkan semula. Mandi berkali-kali juga antara alternatif yang digunakan. Dah mandi, saja tak mahu lap badan. Biarkan air tu kering sendiri. Sejuk bertahan lama. Kononnyalah.

Bila nak tidur, cari ‘port’ yang sejuk. Hanya berseluar pendek, melekap atas simen. Rumah orang dulu-dulu jarang yang ada ‘tiles’. Simen yang kasar dan mengerutu tulah jadi ‘teman’ tidur paling enak. Budak-budak sekarang lak tiada masalah untuk ‘melawan’ cuaca panas. Air cond 24 jam terbuka. Boleh beku dibuatnya. Tapi tempua pasti, masih ada lagi segelintir yang menggunakan kaedah lama. Tak semua mampu pasang air-cond di rumah. Betul tak?!

Malam pula adalah masa yang paling menyeronokkan. Lepas berbuka, satu persatu kawan-kawan sebaya datang berkumpul. Kebetulan rumah tempua dekat dengan surau, jadi ‘markas’ lah. Terawih pergi kejap jer…ambil syarat. Lepas tu dah ‘hilang ghaib’. Bukan hilang kemanapun, sibuk main hantu-hantu, kejar-kejar dan nyuruk-nyuruk sementara tunggu orang habis Terawih. Dulu…mana ada dengar kes culik budak-budak. Jadi mak bapa tak risau anak-anak berkeliaran. Kini, pantang ibu bapa leka saja…sekelip mata dah hilang.
Sebut pasal kes penculikan ini, teringat dengan adik Sharlinie yang masih lagi belum ditemui. Kita doakan agar ada berita baik buat keluarganya.

Bab bunga api/mercun pula, dulu memang meriah. Ialah sebelum kerajaan haramkan penjualan bunga api/mercun, langit malam terang berwarna warni. Memang terasa kemeriahan. Ada juga berita tentang kemalangan akibat main mercun, tapi ianya kes yang terpencil. Yang lebih senior dari kami pula main meriam buluh. Bila ada peluang, dapat gak tumpang sekaki.

Walaupun lelaki, tempua tetap juga merasa kemeriahan buat biskut raya. Yang paling tempua suka bila diberi peluang pecahkan telur dalam marjerin dan pukul hingga kembang. Walaupun letih tangan dok pukul, tapi bila bahan-bahan tersebut bersatu menjadi doh lembut dan bau esen vanilla…pengalaman yang menyeronokkan.
Sekarang semua orang guna mesin. Mudah dan cepat tapi ‘aura’nya dah kurang. Itu pendapat tempua-lah. Yang pasti semua orang nak mudah dan senang. Zaman sekarang semuanya kena cepat.

Banyak lagi kenangan sentimental yang pasti tempua ingat bila tibanya Ramadhan. Tempua yakin anda juga ada ‘sesuatu’ untuk dikongsikan dengan anak cucu pada satu hari nanti. Mungkin kemeriahan raya sekarang ini tidak sehebat orang dulu-dulu menyambutnya (antaranya - pelita malam 7 likur, bunyi meriam buluh dan mercun, anak muda balik kampung untuk berbuka puasa beramai-ramai di rumah), tetapi tempua amat yakin dan pasti yang semangat menyambut Ramadhan dan Syawal tetap ada…cuma ianya diberikan interpretasi yang berbeza dan terpulang kepada setiap individu untuk menyambutnya dengan cara yang difikirkan sesuai.

Yang penting kita sama-sama memanfaatkan masa yang ada untuk mendapat Rahmat-nya disamping meraikan hari kebesaran Islam dengan hati yang penuh Tawaduk untuk mendapat keredhaan-Nya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

- tempua.siber -

Tuesday, September 9, 2008

Seiringkah Kemuliaan Ramadhan & Akhlak Kita?!

Bulan Ramadhan sering dikaitkan dengan kemuliaan. Bulan dimana setiap amal kebaikan digandakan dan umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan amalan. Semua umat Islam tahu hakikat itu. Tapi berapa ramai yang betul-betul manfaatkan peluang seterusnya merebut peluang yang diberi oleh Allah s.w.t?

Tak usahlah cakap tentang amal ibadah yang fardhu atau sunat. Kita ambil sahaja contoh dalam kehidupan seharian bagaimana kehadiran Ramadhan tetap menjadikan kita seorang manusia yang tidak mahu berubah atau masih ditakuk lama. Lebih mengharukan lagi bila ada antara kita yang mengambil kesempatan untuk ‘menyusahkan’ orang lain demi kepentingan diri sendiri.

Contoh yang paling mudah ialah...Pasar Ramadhan/Bazaar Ramadhan. Setiap kali tiba bulan puasa, ramailah usahawan segera tumbuh macam cendawan lepas hujan. Itu satu petanda yang baik. Yang tak eloknya pula ialah bila ada diantara mereka yang mengaut keuntungan tanpa rasa bersalah pada pembeli. Orang berniaga mestilah nak untung. Itu betullah. Tapi bila keuntungan yang diperolehi itu menganiaya pembeli, wajarkah?

Tempua pernah membeli air cendol yang basi. Pernah juga membeli lauk siput sedut masak lemak cili padi yang dah expired. Tak elok untuk dimakan lagi. Dah masam. Ini antara kejadian yang sering berlaku pada pembeli. Kalau pembeli yang bijak, pasti keesokannya akan complaint pada penjual tersebut. Masalahnya, ramai pembeli yang kurang bijak. Termasuklah Tempua yang memandang perkara tersebut sebagai remeh. Inilah masalahnya bila sifat ‘ala...biarlah’ menjadi kebiasaan kepada pengguna. Jika kita tak bagi tahu, macamana penjual nak tahu apa yang dijual itu tak berkualiti dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelak perkara yang sama berulang lagi. Betul tak?

Bila penjual mengatasi kelemahan yang telah dibuat, mempertingkatkan kualiti makanan yang disediakan/dijual dan bila kita makan..puas hati tanpa rungutan, InsyaAllah berkat akad yang telah dijalankan antara penjual dan pembeli.

Ini kalau setakat pandai tulis blog tapi tak pandai nak berdepan dengan masalah sebagai pengguna...susah juga (Adeh...kena batang hidung sendiri lagi...).

Itu satu hal. Yang pengunjung Pasar Ramadhan nya pula, kalau tak parking depan gerai tak sah. Tak mahulah berjalan kaki sikit. Bila kepentingan diri sendiri melebihi segalanya maka jadilah kesesakan. Puncanya pasal nak beli 3 biji tepung pelita yang berharga RM 1.00. Bila dah sorang buat, yang lain-lain pun ikut lah. Benda senang dan mudah....siapa tak mahukan! Yang harunya bila double park. Nak senang, kononnya parking sekejap. Parking pula belakang kereta orang lain. Yang malang ialah pemilik kereta yang dihalang laluannya tadi nak keluar. Tak ke dah menyusahkan dia sebab nak senangkan diri??! Lepas tu boleh buat 'dek' jer berlalu. Bukan tahu nak minta maaf atau sekadar lambai tangan tanda memahami kerumitan yang ditempuhi olehnya.

Orang-orang kita ni nak senang 24 jam. Kalau boleh nak buat rumah dalam pasaraya. Keluar je pintu ada pelbagai kemudahan untuk digunakan. Apalah salahnya kalau parking ditempat yang disediakan. Jalanlah kaki sikit. Badanpun sihat dan bila tak sesak, urusan pun mudah. Betul tak?!

Bukan time Pasar Ramadhan je kita boleh lihat senario ini. Bila-bila masa saja. Kadang-kadang tu yang buat kerja parking tak tentu hala ini orang yang kononnya educated. Kereta mewah lak tu...tapi malangnya mentaliti kelas tiga. Hancuurrr...

Untuk mendapat lagi nilai tambah dalam keberkatan bulan Ramadhan ini, mana yang duduk jauh dari ibu bapa tu curi-curilah masa untuk berbuka bersama mereka. Jangan jadikan kesibukan sebagai alasan. Raikanlah mereka sekali sekala. Jangan pula berbuka diluar dengan 'client' atau kawan atau pasangan kita boleh, tapi dengan ibu bapa sendiri kita bagi 1001 alasan. Fikir-fikirkanlah ye.

Perkara-perkara remeh yang macam senario di atas inilah yang selalu kita abaikan. Padahal ia merupakan kebajikan yang perlu kita jaga antara kita sesama manusia dan semestinya mendapat ganjaran pahala. Inilah cara untuk kita mendapat pahala yang mudah, tapi ramai yang tak perasan. Wallahualam.

Banyak lagi perkara harian yang boleh kita ubah jika kita komited nak berubah. Mungkin Ramadhan kali ini merupakan titik tolak untuk kita mengubah sikap supaya lebih berfikiran bijak, lebih bertolak ansur dan yang penting lebih menghormati setiap individu sekeliling kita. Bila semua benda ini ditanamkan diri kita, menjadi amalan harian dan insyaAllah ia akan menjadi ikutan pula untuk anak-anak kita.

Semoga Ramadhan kali ini akan membuka luas pintu keinsafan kita sebagai hamba-Nya.
- tempua.siber -

Friday, September 5, 2008

Hebatkah Kita?!!

Kadang-kadang kita sering memandang rendah keupayaan orang lain. Mungkin tak semua yang mempunyai persepsi ‘Kita Lebih Bagus atau Hebat’ tetapi kebanyakan dari kita selalu berfikiran begitu.

Mungkin kerana manusia suka memperkecilkan keupayaan orang lain sehingga tidak nampak atau ‘dibutakan’! Atau kehebatan itu memang diukur dari segi kemewahan material, segulung ijazah dan kesempurnaan sebagai manusia yang berfikiran?

Memang benar, dalam kehidupan ini ada yang bijak, mewah dan sempurna sifat. Tetapi ada juga yang sebaliknya. Kurang bijak, miskin dan kurang upaya. Tidak semestinya kalau kita sempurna sifat kita boleh rasa hebat dengan mereka yang kurang upaya. Yang penting kita harus tahu yang setiap individu itu memainkan peranan yang penting dalam lingkungan mereka sendiri. Makna kata, walaupun mereka tidak nampak hebat di mata kita, tetapi ketahuilah yang mereka hebat tanpa kita sedari. Mungkin mereka hebat di kalangan ahli keluarga atau individu tertentu yang tahu akan keistimewaan yang mereka miliki.

Sebagai contoh, seorang pekerja biasa yang tamat tingkatan 3 akan kelihatan biasa-biasa sahaja dikalangan pekerja yang lain. Tiada apa yang hebat jika dipandang dari mata kasar. Orang yang ingin berkawan dengan diapun boleh dikira. Dalam pekerjaan, pantang silap sikit sering diherdik dan disalahkan.

Akan tetapi dikalangan ahli keluarganya, dialah yang boleh diharapkan. Dialah yang ada kereta dan pandai memandu kereta. Ibu, bapa dan adik beradiknya bergantung pada dia dalam apa juga masalah keluarga. Isteri dan anak-anaknya juga bergantung hidup dengan dia. Buah fikirannya sering kali diminta dan diguna pakai. Dia hebat dalam lingkungan keluarganya.

Lagi satu contoh ialah seorang yang kurang upaya dari segi mental tiba-tiba dimasukkan ke hospital beberapa hari akibat penyakit kencing manis. Esoknya ayam di reban ‘mengamuk’ sebab tak dilepaskan dan kemungkinan kelaparan. Kenapa jadi begitu?

Ini adalah kerana, semasa dia sihat, dialah yang selalu melepaskan ayam setiap pagi. Dialah yang beri ayam makan di petang hari. Kini disebabkan dia tiada, neneknya yang uzur tidak berdaya hendak melakukan itu semua. Dia hebat di mata neneknya. Walaupun dia tidak sempurna seperti cucunya yang lain tetapi dia tetap berperanan dalam lingkungan kehidupan mereka.

Kadang-kadang kita yang sempurna inipun tidak menyumbangkan apa-apa dalam kehidupan. Bahkan sering memberi seribu satu masalah kepada keluarga dan masyarakat sekeliling.

Dua contoh di atas adalah kisah nyata yang Tempua amati baru-baru ini. Ini hanyalah cebisan dari banyak lagi kisah-kisah yang pastinya membuka mata dan minda kita betapa kita sering memberi perhatian kepada hal-hal yang nampak hebat di mata kasar. Kita lupa dan terlepas pandang pada insan-insan yang tidak bernasib baik ini. Adilkah kita?

Tempua terfikir lagi...apakah kesudahan kehidupan kita di sana nanti akan baik? Hebatkah amal kita untuk mengharap syurga Allah? Tetapi Tempua pasti...mereka yang kurang upaya dari segi mental seperti kisah di atas tadi sudah pasti tempatnya di sana. Dia antara insan terpilih yang tidak nampak hebat di dunia, tetapi dijanjikan ganjaran hebat oleh Allah s.w.t.

Yang pasti, kehebatan di dunia yang kita perolehi dan banggakan ini tidak menjanjikan apa-apa. Lebih parah lagi bila kehebatan itu membuatkan kita lalai dan lupa yang kita ini adalah hamba-Nya yang lemah dan kerdil. Bila-bila masa sahaja Allah akan menarik semula Rahmat-Nya.

Hebatkah kita?!

- tempua.siber -