Thursday, September 18, 2008

Replay - Ramadhan Zaman Kanak-Kanak Tempua

Bulan puasa dan zaman kanak-kanak memang cukup sinonim. Banyak kenangan yang terakam indah. Sekali sekala ia datang bertamu mengetuk pintu ingatan. Zaman kanak-kanaklah merupakan momen yang paling seronok menyambut Ramadhan. Bulan yang ditunggu-tunggu kerana pada ketika itulah perhatian ahli keluarga banyak tertumpu kepada kita.

Dari bab belajar berpuasa setengah hari hinggalah ke satu hari. Berbagai ganjaran dijanjikan sebagai satu ‘umpan’ untuk mendorong kita laksanakan rukun Islam yang ke-3 ini. Itu belum masuk bab juadah berbuka lagi. Pasti apa sahaja keinginan kita akan cuba direalisasikan. Alah…budak dulu-dulu paling demand pun minta ayam goreng kunyit. Budak sekarangpun minta ayam goreng gak…tapi yang berjenama KFC atau Mc Donald. Silap haribulan minta pizza. Telefon jer, sampailah special delivery depan pintu. Kalau yang dibeli tempat lain…takkan mau dia makan. Sanggup tak berbuka sebab keinginan tak tercapai. Agaknyalah….

Bila berpuasa tu, panas adalah ‘musuh’ utama. Macam-macam cara nak hilangkan ‘kehausan’ dan kepanasan. Tempua dulu gunakan towel basah untuk ‘balut’ badan. Lega sikit. Bila towel tu dah mula kering, basahkan semula. Mandi berkali-kali juga antara alternatif yang digunakan. Dah mandi, saja tak mahu lap badan. Biarkan air tu kering sendiri. Sejuk bertahan lama. Kononnyalah.

Bila nak tidur, cari ‘port’ yang sejuk. Hanya berseluar pendek, melekap atas simen. Rumah orang dulu-dulu jarang yang ada ‘tiles’. Simen yang kasar dan mengerutu tulah jadi ‘teman’ tidur paling enak. Budak-budak sekarang lak tiada masalah untuk ‘melawan’ cuaca panas. Air cond 24 jam terbuka. Boleh beku dibuatnya. Tapi tempua pasti, masih ada lagi segelintir yang menggunakan kaedah lama. Tak semua mampu pasang air-cond di rumah. Betul tak?!

Malam pula adalah masa yang paling menyeronokkan. Lepas berbuka, satu persatu kawan-kawan sebaya datang berkumpul. Kebetulan rumah tempua dekat dengan surau, jadi ‘markas’ lah. Terawih pergi kejap jer…ambil syarat. Lepas tu dah ‘hilang ghaib’. Bukan hilang kemanapun, sibuk main hantu-hantu, kejar-kejar dan nyuruk-nyuruk sementara tunggu orang habis Terawih. Dulu…mana ada dengar kes culik budak-budak. Jadi mak bapa tak risau anak-anak berkeliaran. Kini, pantang ibu bapa leka saja…sekelip mata dah hilang.
Sebut pasal kes penculikan ini, teringat dengan adik Sharlinie yang masih lagi belum ditemui. Kita doakan agar ada berita baik buat keluarganya.

Bab bunga api/mercun pula, dulu memang meriah. Ialah sebelum kerajaan haramkan penjualan bunga api/mercun, langit malam terang berwarna warni. Memang terasa kemeriahan. Ada juga berita tentang kemalangan akibat main mercun, tapi ianya kes yang terpencil. Yang lebih senior dari kami pula main meriam buluh. Bila ada peluang, dapat gak tumpang sekaki.

Walaupun lelaki, tempua tetap juga merasa kemeriahan buat biskut raya. Yang paling tempua suka bila diberi peluang pecahkan telur dalam marjerin dan pukul hingga kembang. Walaupun letih tangan dok pukul, tapi bila bahan-bahan tersebut bersatu menjadi doh lembut dan bau esen vanilla…pengalaman yang menyeronokkan.
Sekarang semua orang guna mesin. Mudah dan cepat tapi ‘aura’nya dah kurang. Itu pendapat tempua-lah. Yang pasti semua orang nak mudah dan senang. Zaman sekarang semuanya kena cepat.

Banyak lagi kenangan sentimental yang pasti tempua ingat bila tibanya Ramadhan. Tempua yakin anda juga ada ‘sesuatu’ untuk dikongsikan dengan anak cucu pada satu hari nanti. Mungkin kemeriahan raya sekarang ini tidak sehebat orang dulu-dulu menyambutnya (antaranya - pelita malam 7 likur, bunyi meriam buluh dan mercun, anak muda balik kampung untuk berbuka puasa beramai-ramai di rumah), tetapi tempua amat yakin dan pasti yang semangat menyambut Ramadhan dan Syawal tetap ada…cuma ianya diberikan interpretasi yang berbeza dan terpulang kepada setiap individu untuk menyambutnya dengan cara yang difikirkan sesuai.

Yang penting kita sama-sama memanfaatkan masa yang ada untuk mendapat Rahmat-nya disamping meraikan hari kebesaran Islam dengan hati yang penuh Tawaduk untuk mendapat keredhaan-Nya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

- tempua.siber -

No comments: