Monday, September 22, 2008

Yang Tersurat Di Ramadhan, Yang Tersirat Di Syawal




Ramadhan kian melabuhkan tirainya. Saat inilah macam-macam perkara nak difikirkan. Perancangan nak balik ke kampung, beli belah, kuih muih raya, kelengkapan baru, penyelenggaraan kenderaan untuk perjalanan jauh dan 1001 macam lagi perkara. Pendek kata semuanya memerlukan duit.

Dalam keadaan sekarang ini, memanglah digalakkan untuk berjimat cermat. Tetapi bila sebut pasal persiapan raya, nak sekat pengaliran wang itu amatlah payah. Ada sahaja perkara nak dibuat, dirancang dan dibeli.

Kalau sebelum ni, peralatan elektrik atau perabut yang rosak boleh di biarkan dulu atau digunakan lagi, tapi bila dah nak raya, benda-benda tu perlu dibaiki atau ditukar baru. Kadang-kadang time nak rayalah ‘dia’ meragam dan buat hal. Mahu atau tidak, kena betulkan juga. Perbelanjaan luar jangkaan inilah yang buatkan budget raya lari. Memanglah raya setahun sekali tapi bila tiap-tiap tahun ada saja yang tak cukup dan ‘mesra mata’, tokey balakpun boleh bankrupt!

Raya jugalah selalunya kita buat persiapan 'last minute'. Sedangkan banyak lagi masa lain yang boleh dibuat tapi time nak raya jugalah yang kita sibuk. Tempua sendiripun macam tu. Ada saja yang tak cukup. Mungkinkah berkat Ramadhan maka rezeki untuk berbelanja itu ada? Atau raya memang perlukan benda-benda baru? Entahlah...persoalan itu tak dapat dijawab. Mungkin persiapan sat-saat akhir itulah yang membuatkan raya jadi meriah? No komen....

Bagi tempua, rayalah saat yang ditunggu untuk berkumpul dengan seluruh ahli keluarga. Bukan senang nak berkumpul serentak. Masa inilah yang paling sesuai nak eratkan mana yang longgar. Nak mesrakan mana yang dah lemau. Inilah peluang yang ada. Dan lebih-lebih lagi bila menyambut raya dengan suasana yang masih lagi kampung. Memang menyeronokkan.

Kami masih lagi mengekalkan tradisi kampung di mana saling bekerjasama pada hari mantai untuk buat juadah raya. Tak kira lelaki atau perempuan. tua mahupun muda. Semuanya menyingsing lengan baju. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab. Seawal pagi mantai, lepas sahaja bersahur semua dah siap sedia. Masa inilah saat yang paling bahagia bila tengok semangat kekeluargaan begitu erat. Gurau senda dan senyuman tak lekang dari bibir. Ada sahaja topik yang nak dibualkan. Ada sahaja idea dajal nak dikenakan. Walaupun penat tapi itulah yang membuatkan raya kami bermakna.

Yang pasti, apa yang kita buat biarlah berpada. Ada rezeki lebih, tak salah untuk membeli keperluan baru tetapi janganlah sehingga ke tahap membazir. Setiap orang ada cara untuk meraikan Hari Raya. Tetapi dalam kita menyambutnya dengan riang dan gembira usah dilupa kepada insan-insan yang menyambutnya dengan sedih dan hiba kerana kehilangan orang tersayang. Kepada anak-anak yang menjadi yatim piatu, kepada suami yang kehilangan isteri, juga isteri yang kehilangan suami, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua yang kehilangan kasih sayang anak-anak, kepada yang sakit dan menderita masalah kesihatan yang serius, kepada mangsa-mangsa peperangan dan kepada sesiapa sahaja umat Islam yang tidak dapat menyambutnya dengan gembira dan sempurna. Semoga mereka ini tabah menjalani apa yang telah tersurat dan tersirat. Dugaan tidak mengenal siapa. Hari ini mereka, esok lusa mungkin giliran kita.

Jauh disudut hati tempua dan pastinya ahli keluarga yang lain...kami amat merindui Allahyarham ayahanda pada ketika ini. Kerana dialah kami utuh bersatu.

Biarlah rindu dan kenangan ini sentiasa membasahi daun-daun waktu.

Al-Fatihah

- tempua.siber -

No comments: