Tuesday, March 17, 2009

Family Day 2009


Polo Air



AEIOU



Cap Keli Cap



Setahun sekali berkumpul beramai-ramai satu keluarga memang menyeronokkan. Bila disebut berkumpul di sini, Hari Raya (Aidilfitri & Aidiladha) dan majlis kenduri kendara dikecualikan.

Berkumpul yang tempua maksudkan di sini ialah Hari Keluarga di mana semua anggota keluarga berhimpun beramai-ramai dan bercuti ke satu lokasi percutian sambil melakukan aktiviti riadah yang telah dirancang. Ianya memerlukan komitmen semua ahli keluarga kerana tarikh yang dipersetujui untuk berkumpul itu mestilah satu tarikh yang sesuai. Seelok-eloknya musim cuti persekolahan. Yang bersekolah atau sedang melanjutkan pelajaran tak perlulah ponteng sekolah/kuliah kerana ianya merugikan. Manakala yang yang bekerja pula boleh mengambil cuti pada tarikh berkenaan.

Baru-baru ini (14 & 15/3/09) tempua bersama lebih kurang 35 ahli keluarga telah bercuti di pantai peranginan Port Dickson. Percutian ini telah dirancang 2 bulan lebih awal kerana ia membabitkan ramai ahli. Itupun ada 6 ahli keluarga yang tidak dapat hadir kerana komitmen kerja dan kuliah yang tidak dapat dielakkan. Biasalah, hendak menyatukan kesemuanya sekali bukannya senang. Tema kali ini ialah...Mesraaa!!!

Sebelum percutian, kami sekeluarga telah membuat 2 kali mesyuarat yang tidak rasmi (kerana ramai ahli yang tak dapat hadir) untuk membincang dan membahagikan tugas-tugas. Walaupun nampak remeh, tetapi bagi kami, kelancaran dan keselesaan sepanjang percutian adalah aspek yang sangat penting. Lagipun secara tidak langsung, mereka yang telah ditugaskan untuk membuat sesuatu akan dididik supaya mengambil bahagian dan bertanggungjawab dalam perlaksanaan tugas sekaligus dapat mewujudkan satu rasa yang mereka juga sebahagian dari anggota keluarga dan kehadiran mereka diperlukan. Bukankah itu matlamat utama untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan?!

Setelah berbincang, maka tersenarailah tugas-tugas seperti AJK BBQ (Membakar), AJK Makan (Makan Tengahari/Sarapan), AJK Air, AJK Keselamatan, AJK Permainan, AJK Kebersihan dan beberapa AJK lain lagi. Setiap AJK ada 3 atau 4 orang yang akan melaksanakan tugas yang ditetapkan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Kami juga berbincang tentang menu untuk BBQ dan siapa yang sudi ‘sponsor’ makan tengahari pada 14/3/09. Setelah bermesyuarat ada 4 keluarga yang akan membawa juadah untuk makan tengahari iaitu :

Keluarga Mak Long : Sambal Udang, Ikan Bilis Goreng + Petai, Ayam Masak Cili Padi, Nasi
Keluarga Mak Lang : Asam Pedas, Tom Yam, Nasi
Keluarga Pak Andaq : Sandwich Tuna, Nasi
Keluarga Induk : Otak-Otak 200 keping, Popia Sayur

Manakala menu BBQ pula semua sepakat untuk menggunakan dana keluarga yang dikumpul setiap bulan. Antara menunya ialah 3 kilo udang, 3 kilo sotong, 6 ekor ikan tilapia, 8 ekor ikan cencaru, 40 kepak ayam, 2 bungkus sosej koktel, 6 keping lamb chop yang telah siap diperap, 3 bungkus isi ketam, sebiji tembikai, 2 biji tembikai madu dan lain-lain makanan ringan.

Bila semuanya telah dipersetujui, nak buat kerjapun senang. Betul tak? Betul..betul..betul...Haaa….dan yang tidak kurang pentingnya juga, setiap keluarga telah dibekalkan dengan jadual atau aturcara program. Ini juga menyenangkan mereka supaya setiap acara berjalan mengikut perancangan dan semua ahli keluarga akan tahu bila hendak berkumpul.

Sampai masa yang ditetapkan, semua keluarga berkumpul di rumah Mak Long. Lebih kurang pukul 10.00 pagi (14/03/09) setelah semuanya meng-aminkan bacaan doa supaya perjalanan diberkati maka perjalanan konvoi ke Port Dickson dengan 7 buah keretapun bergerak.

Seperti yang dirancangkan, lebih kurang pukul 11.00 pagi sampailah di resort yang telah ditempah. Walaupun ‘check in’ sepatutnya pukul 3.00 ptg, tetapi atas budi bicara pihak resort, kami dibenarkan mengambil kunci apartment lebih awal.

11.30 pagi semuanya berkumpul di tepi pantai untuk memulakan acara pantai. Antara acaranya ialah, mandi manda, main bola tamper, polo air, main baling tin, cap kelicap dan aeiou. Semuanya sporting dan memberikan kerjasama dalan setiap acara.

Lebih kurang pukul 1.30 tengahari, makan tengahari di tepi pantai sambil menyambut hari lahir 6 anggota keluarga yang jatuh pada bulan Mac. Disamping itu diselitkan juga persembahan khas pembacaan sajak oleh dua orang anak buah perempuan yang berumur 18 tahun. Selesai makan tengahari...acara pantai disambung semula.

Pukul 3.00 ptg semua naik bilik untuk berehat dan bersembahyang.

Pukul 4.00 ptg acara di kolam renangpun bermula. Antara permainan yang dibuat ialah polo air, berenang, menyelam, cap kelicap dan berlawan sambil di dukung dibahu. Yang bestnya, orang-orang yang ada di situ dok ralit tengok kami semua buat permainan tersebut.

6.30 – 8.00 malam masa untuk mandi, solat, berehat. Tapi ada juga yang cari nasi tengahari tadi. Laparlah katakan....

8.00 – 11.00 malam Majlis BBQ di tepi pantai. Walaupun cuaca pada petangnya agak mendung dan hujan renyai, Alhamdulillah...majlis bbq selamat dan berjalan lancar. Yang meriahnya, BBQ pit di resort tersebut di letak berdekatan antara satu sama lain. Jadi suasana malam tu seperti pesta bila pengunjung-pengunjung lain juga buat bbq. Di sebelah kanan kami sekumpulan anak muda dari kaum India dan disebelah kiri pula anak muda dari kaum Cina. Memang Malaysia habis. Yang anak muda Cina tu terkial-kial nak hidupkan api untuk jadikan bara. Pak Long dengan ramah telah tolong hidupkan api mereka. Spontan tapi memang menarik. Di sepanjang pantai tersebut memang meriah kerana BBQ pit di tanda dari A – Z. Kami mendapat BBQ bertanda J.

Kami siap awal kerana turun awal. AJK membakar telah menjalankan tugas dengan efisien. He he he. Oleh kerana masih ada bara lagi, kami berikan bbq pit kami kepada keluarga Melayu yang baru nak mulakan BBQ nya pada pit bertanda I. Sekurang-kurangnya mereka boleh membakar dengan cepat bila gunakan dua BBQ pit. Kami juga berikan ayam dan udang yang siap dibakar kepada pengawal yang menjaga di pintu masuk resort tersebut.

Esoknya awal pagi lagi, AJK yang ditugaskan untuk sarapan pagi telah keluar mencari sarapan di warung yang berdekatan. Kami berkumpul di Apartment Mak Long untuk bersarapan beramai-ramai. Lebih kurang pukul sembilan pagi, semua terjun semula ke kolam renang hinggalah ke pukul 11.00 pagi. Yang mula-mulanya tak mahu mandi, sebab malas nak tukar pakaian terus terjun kolam bila nampak Mak Long dan Mak Langnya join aktiviti dalam kolam. Bila dua-dua otai ni dah masuk...lagilah gamat suasana. Bila lagi nak buli dia orang kan?! Time inilah kesempatan yang baik. Hehehe. Alaa..setakat kena benam ti biasalah. Kan kan kan.

11.00 – 12.00 tengahari adalah masa untuk bersiap dan mengemaskan semua barang-barang untuk pulang. Semuanya berjalan mengikut jadual yang telah dirancangkan.

Dalam perjalanan pulang, konvoi 7 buah kereta singgah di teluk Kemang untuk menikmati makan tengahari. Kena cari warung yang banyak kerusi/meja kosong. Ialah, 35 orang nak makan. Lagi satu, kena ’order’ semua sama. Kalau ’order’ lain-lain, alamatnya jenuh nak tunggu...jadi kami semua sepakat makan nasi goreng ayam sebanyak 16 orang..dan selebihnya makan nasi goreng kampung. Air semua pesan satu warna. Air merah. (Air sirap daaa….) Senang kan!!

Begitulah rentetan serba ringkas yang tempua dapat coretkan. Mungkin boleh jadi panduan atau memberi sedikit ide kepada anda. Yang penting, semuanya seronok. Dan budak-budak dapat bermesra dengan sepupu mereka yang kadang-kadang setahun sekalipun susah nak jumpa. Inilah peluang untuk mereka bertukar-tukar cerita danyang pasti pengalaman ini akan mereka bawa sehingga mereka dewasa.

Tapi satu saja yang tempua terlupa nak pakai atau beli. Ini tersangatlah penting. Kalau dah duduk di tepi pantai tu, janganlah lupa pakai ’Sun Block Cream’. Sekarang nie, tempua menderita di kulit muka yang macam udang kena bakar dan mengelupas. Uwaaa........

Tengah Plan Family Day 2010. Dengar khabar nak buat di Cameron Highlands.

- tempua.siber -

No comments: