Friday, April 3, 2009

Dari Kacamata Tempua


Terlebih dahulu TAHNIAH diucapkan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 semalam (Jumaat, 03-04-2009). TAHNIAH juga kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mendapat perdana menteri yang baru selepas Pak Lah melepaskan jawatannya. Maka, lengkaplah sudah teori RAHMAN yang secara kebetulannya merupakan pangkal nama keenam-enam perdana menteri Malaysia.

Tempua bukanlah arif dalam bidang politik tetapi tempua ambil tahu juga perkembangan semasa senario politik di Malaysia. Secara dasarnya, transisi peralihan kuasa yang berlaku antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib berjalan lancar sebagaimana tradisinya. Ini merupakan satu kesinambungan yang baik dan amatlah diharapkan agar kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Najib akan cemerlang dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Ironinya, untuk melepaskan sesuatu jawatan bukanlah suatu perkara yang mudah. Berapa ramai ahli politik dunia yang boleh melakukannya? Dalam hal ini, tempua tabik hormat kepada Pak Lah. Walaupun pentadbirannya dalam tempoh yang singkat, tetapi banyak perubahan dan ide-ide bernas yang telah direalisasikannya untuk kemakmuran rakyat dan kemajuan negara. Pak Lah lembut tetapi tegas. Senang didampingi dan berjiwa rakyat. Jasamu dikenang Pak Lah.

Yang pastinya kepimpinan baru tidak boleh leka dalam misi memajukan negara. Bukan masanya untuk 'berbulan madu'. Di tengah kegawatan ekonomi yang melanda dunia, Datuk Seri Najib berhadapan dengan situasi yang agak sukar dan tentunya segala perubahan dasar yang dilakukan perlu mendapat keyakinan rakyat agar perubahan yang akan dilakukan seterusnya, sepanjang pentadbiran beliau tidak akan dipertikaikan nanti. Tanggapan pertama rakyat adalah penting. Kedengaran agak sukar tetapi tidak bermakna ianya tidak dapat dicapai. Datuk Seri Najib perlu berani dan tegas dalam membuat setiap keputusan.

Pengalaman luas dalam soal pentadbiran negara memberi banyak ruang kelebihan kepada Datuk Seri Najib untuk bertindak cemerlang dan ini tentunya tidak boleh dilakukannya berseorangan tetapi perlu kepada gabungan pasukan kerja yang mantap dan sedia berkhidmat setiap masa. Tan Sri Muhyiddin Yasin merupakan calon yang tepat dan semoga barisan kabinet yang dibentuk nanti juga membuka satu lembaran baru dan seterusnya mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia. Mungkin tidak semua tetapi haruslah dalam majoriti yang besar.

Apapun, sebagai rakyat kita harus faham yang bukannya senang dan mudah untuk menjadi orang No. 1 negara. Ianya bukanlah satu tugas yang enteng dan untuk memuaskan hati semua pihak adalah mustahil. Kadang-kadang kita dijentik oleh emosi, rasa dan fahaman yang sempit. Maka tindakan melulupun diambil tanpa memikirkan risikonya. Sebagai rakyat, kita harus berfikiran terbuka dan sama-sama berjuang demi kemakmuran dan kestabilan negara tercinta.

Bukannya kita tidak boleh mengkritik dan memberi pendapat atau pandangan, tetapi haruslah melalui saluran yang betul supaya setiap rungutan dan kritikan kita didengari seterusnya dapat diperhalusi. Jika ianya memang memberi manfaat kepada semua, pastinya akan dipertimbangkan. Jadi berilah ruang kepada Datuk Seri Najib menjalankan tugasnya. Bukankah setiap pemimpin itu perlu ditaati selagi dia tidak menyuruh rakyatnya membuat perkara mungkar yang bertentangan dengan ajaran Islam!

Selamat bertugas Datuk Seri Najib.

- tempua.siber -

No comments: