Monday, April 20, 2009
Kempen, Penguatkuasaan & Perlaksanaan - Yang Mana Satu?
Malaysia memang banyak undang-undang baru yang dikuatkuasakan. Setiap kali bila sesuatu isu menjadi perhatian umum atau nasional, maka banyaklah dasar baru digubal dan kempen-kempen kesedaran dimulakan. Satu Malaysia, semuanya bersemangat untuk membendung itu dan membenteras ini. Tapi lama kelamaan, dasar tetap menjadi dasar dan kempen hanya sebagai metafora untuk menunjukkan kesungguhan organisasi atau pihak tertentu dalam menangani masalah yang melanda ( masalah sama yang berbangkit kembali ).
Jadi tidak hairanlah banyak kes-kes lama ( ada yang tidak lama ) seperti kes kemalangan bas ekspress baru-baru ini timbul dan menjadi perhatian umum kembali. Dulupun dah pernah berlaku. Satu negara sibuk mencari kaedah dan cara yang berkesan untuk memantau kejadian ngeri itu dari berulang kembali. Maka undang-undang berkaitanpun dirancang dan digubal. Yang menjadi persoalannya sekarang, sejauhmanakah penguatkuasaan sesuatu dasar itu dilakukan? Adakah ia sekadar untuk melepaskan batuk ditangga?
Takkanlah setiap kali malapetaka itu berlaku dan masalah timbul, barulah pihak yang berkenaan nak buka mata? Barulah dakwa itu, saman ini. Terpampanglah di dada-dada akhbar. Benda berlaku baru nak ambil tindakan? Sampai bila?
Inilah kelemahan yang paling ketara. Pihak terlibat hanya cemas seketika sahaja. Penguatkuasaan kita lemah. Perlu diketuk dengan isu-isu besar barulah nak bertindak. Selagi isu tersebut tidak mejadi tumpuan umum, penguatkuasaan tidak dilakukan. Senyap, seperti semuanya mengikut kepada peraturan yang telah digariskan.
Tidak hairanlah kes-kes seperti kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam seperti bas ekspress, masalah mat rempit, penculikan kanak-kanak, kebanjiran pendatang asing, penjualan cd/vcd/dvd haram dan berbagai lagi masalah sosial tidak dapat dibendung malah menjadi semakin membimbangkan.
Seharusnya pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan sepanjang masa. Perlu ada rasa tanggungjawab untuk memastikan setiap kempen yang dijalankan itu mencapai matlamatnya dan memberi kesan positif kepada masyarakat. Penurunan mendadak dalam masa yang singkat memanglah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan tetapi dengan usaha dan langkah pencegahan yang berterusan sekurang-kurangnya mereka yang terbabit secara terus dengan permasalahan yang berbangkit akan dididik untuk mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan.
Jadi, bila adanya kempen, penguatkuasaan serta perlaksanaan yang konsisten sepanjang masa graf statistik bagi setiap masalah dapat dikurangkan dan fokus untuk perkara lain juga dapat ditangani dengan lebih baik. Jika setiap kali nak hadap masalah yang sama, perkara penting yang lain akan terlepas pandang.
Undang-undang bukan untuk dilanggar. Semua pihak harus bekerjasama secara total supaya yang membuat dasar dapat memantau masalah dengan berkesan dan yang terlibat dengan dasar dapat merealisasikan matlamat. Cegah sebelum parah.
Mendidik perlulah dilakukan setiap masa, bukan hanya pada satu-satu masa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment