Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu....


Ibu…ibu…, engkaulah ratu hatiku….

Begitulah antara bait-bait lirik lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang masih lagi segar sehingga hari ini. Banyak lagi lagu-lagu nyanyian yang dicipta dan didedikasikan khas untuk ibu-ibu sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanannya.

Semalam (10hb Mei 2009) adalah Hari Ibu. Bermacam-macam cara sambutan dilakukan untuk meraikan insan yang bergelar ibu. Yerr, mungkin ada sesetengahnya berpendapat setiap hari adalah istimewa buat seorang ibu. Tetapi ada juga yang berpendapat apalah salahnya jika suatu hari itu sambutannya lebih istimewa dari hari-hari biasa.

Kadang-kadang bila difikirkan semula, bagus juga ada satu hari khas atau istimewa dalam setahun untuk Hari Ibu. Bukannya apa, mungkin anak-anak boleh buat rancangan atau kejutan untuk ibu-ibu mereka. Untuk merancang sesuatu yang istimewa memerlukn masa. Apa lagi jika perancangan yang melibatkan ahli keluarga, tentunya agak sukar jika dibaut dalam masa yang singkat. Jadi dengan adanya satu hari yang istimewa, dan tarikhnya telah diketahui sedari awal, maka segala perancangan awal dapat dilakukan.

Berbagai-bagai cara boleh dilakukan untuk menyambut Hari Ibu. Mana yang berkemampuan mungkin membawa ibunya bercuti ke destinasi popular dalam dan luar negara atau mungkin makan malam beramai-ramai satu keluarga di hotel-hotel besar. Ada juga yang menyambutnya dengan balik kampung dan berkumpul beramai-ramai sambil menikmati juadah ala kampung dan mungkin juga sekadar membelikan sebiji kek istimewa khas untuk ibu tersayang.

Tidak kisahlah apa cara sekalipun kerana yang penting sebagai anak kita sentiasa menyayangi dan mengasihi ibu kita setiap hari dan pastinya sebagai seorang ibu, mereka tidak mengharappun kejutan atau sambutan besar-besaran. Memadai dengan kehadiran anak-anak di sisi. Itupun sudah cukup besar ertinya buat mereka.

Malangnya, ada antara kita yang tidak ambil peduli tentang ibu mereka. Apa lagi nak menyambut Hari Ibu bersama-sama. Nak balik kampung setahun sekalipun amat sukar. Inikan pula nak mengucapkan kata-kata manis khas untuk ibu.

Ya...mungkin kesibukan menjadi alasan utama. Tetapi sesibuk manakah sampai telefon untuk bertanya khabarpun tidak punya waktu? Malanglah bagi mereka yang berfikiran begini kerana di luar sana, ramai anak-anak yatim yang tidak beribu dan berbapa yang mengharapkan kehadiran figura seorang ibu di sisi. Yang sentiasa ’cemburu’ dengan rakan-rakan mereka yang mempunyai ibu. Percayalah..., andai diberi pilihan antara kemewahan dunia dan kehadiran seorang ibu, pastinya mereka memilih untuk mempunyai ibu.

Tetapi inilah yang dikatakan kehidupan dunia. Kita tidak menyedari akan pentingnya ’sesuatu’ itu bila kita ada. Tetapi kita akan berasa sedih, menyesal dan kehilangan bila ’sesuatu’ itu hilang dari genggaman dan penglihatan. Ketika itu, apalah maknanya lagi.

Semalam (10 Mei 2009) adalah hari yang sangat istimewa bagi seluruh keluarga tempua. Disamping menyambut Hari Ibu, kami juga beramai-ramai menyambut Hari Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-28 untuk Kak Long. Kami juga mengucapkan Selamat Ulang Tahun kelahiran yang ke-47 untuk Abang Ngah. Semuanya jatuh pada tarikh yang sama. Sambutan berganda. Walaupun Abang Ngah berada jauh, sms dan telefon menjadi penghubung silaturrahim antara kami.

Malah anak buah tempua yang berumur 3 tahun 8 bulan juga telah menelefon neneknya dan maklongnya untuk mengucapkan selamat hari ibu. Sudah tentulah yang mengajarnya adalah ibu dan ayahnya tapi kita harus mendidiknya dari kecil dan suburkan kasih sayang dalam hatinya sehinggalah dia dewasa.

Selain menjamu selera di rumah Kak Long, anaknya juga telah membelikan kek sebagai sambutan Hari Ibu dan juga Ulangtahun Perkahwinan ibunya. Kek itu hanyalah simbolik untuk meraikan hari istimewa tersebut dan yang penting selain dari dapat berkumpul beramai-ramai, kemesraan antara keluarga dapat dipupuk dan sekaligus mendidik generasi yang kecil supaya dapat terus suburkan silaturrahim dalam keluarga.

Jadi, sementara masih ada sisa nafas dalam diri kita kerana kita tidak dapat jangka siapa yang akan ’pergi’ dulu, rebutlah peluang dan kesempatan itu untuk berbakti kepada orang-orang yang telah banyak mencorakkan siapa kita hari ini. Orang yang telah banyak berkorban untuk kita. Kerana tanpa dia, kita tidak mungkin menjadi atau memperoleh apa yang kita ada sekarang.

Kepada semua ibu-ibu di luar sana....dengan rendah hati dan dengan iringan doa ”Selamat hari Ibu”.

Kita hanya ada seorang ibu...fikir-fikirkanlah.

- tempua.siber -

No comments: