Sunday, January 14, 2018

Permulaan Fasa Baru....

14.01.2018 - Permulaan fasa baru dalam diari kehidupan Haziq. Pada tarikh ini, dengan rasminya dia telah menjadi sebahagian dari pelajar SM Imtiaz Ulul Albab di Melaka. Tahniah!

Dulu kalau lalu di hadapan sekolah tersebut, ibunya akan selalu berkata "kalau Haziq pandai nanti, ibu nak hantar Haziq sekolah sinilah..." Dari impian, kini telah menjadi kenyataan.

Rutin kehidupan Haziq akan berubah. Mahu atau tidak, perlahan-lahan Haziq perlu belajar untuk mengadaptasinya. Semoga dapat menempuhinya dengan sabar.

Emosi Haziq sangat terkawal. Cuma sehari sebelum mendaftar, dia teringin untuk makan sotong goreng tepung. Hajatnya tercapai apabila dia telah dibawa ke restoren ikan bakar di Pengkalan Balak. Susah nak tengok dia bertambah nasi, tapi pada malam tersebut, dua pinggan nasi dia makan.

Manjanya dengan nenek pun lain macam. Malam sebelum mendaftar, dia tidur dengan neneknya dan menggunakan kesempatan yang ada itu untuk bermanja.

Tentunya, seperti ibu bapa yang lain juga, pasti kesedihan akan melanda pada kedua ibu bapa Haziq. Itu biasalah. Fitrah manusia. Bukan perkara yang mudah untuk berpisah dengan anak. Tapi inilah yang dinamakan pengorbanan demi untuk melihat insan yang disayangi berjaya.

Bagaimana pula dengan Aisyah? Aisyah hatinya sedikit keras. Dia tak nak hantarpun abangnya mendaftar. Dia 'rela' duduk dirumah neneknya. Tapi semasa kereta bergerak keluar dari halaman, dia seboleh mungkin menahan air mata. Siapa yang tak sedih bila 'terpaksa' berpisah dengan rakan sepermainan dan rakan bertengkar? Tapi ego Aisyah sangat tinggi. Dia tak mahu tunjuk.

Sessi pendaftaran berjalan dengan lancar. Semua keperluan seperti katil dan almari telah dilabelkan dengan nama pelajar. Ibu bapa dah tak perlu nak berebut-rebut lagi. Segala keperluan dan kelengkapan peribadi telah lengkap disediakan semenjak di Johor lagi. Cuma perlu dibeli bantal tambahan dan towel tambahan serta air mineral untuk bekalan. Dan tentunya syiling juga telah dibekalkan oleh ibunya untuk Haziq gunakan nanti bila 'rindu' nak dengar suara ibu, ayah dan adiknya. Tiada handphone...tapi ada public phone. He he he...

Oleh kerana semua yang mendaftar telahpun menjalani minggu simulasi, maka mereka tidak kekok untuk bercampur sesama sendiri kerana sudah mengenali. Ini sedikit sebanyak dapat menambah keseronokan Haziq untuk menempuh hari-hari yang mendatang bersama rakan rakan baru dari pelbagai latar belakang.

Apakah Cabaran yang bakal Haziq hadapai?

Oleh kerana sudah berjauhan dengan ibu bapa ditambah pula dengan jadual harian yang padat, diharapkan Haziq dapat menguruskan masa dengan berkesan. Tak boleh leka lagi. Ibu bapa dah jauh, semuanya kena buat sendiri dan fikir sendiri.

Semua pelajar yang mendaftar adalah yang terbaik dari segi akademiknya. Jadi Haziq perlu ada semangat juang yang tinggi untuk bersaing dengan mereka. Jangan takut untuk gagal..dan jangan rasa rendah diri apabila keputusan tidak seperti yang diharapkan. Yang penting, jangan mudah putus asa dan teruskan usaha.

Asma? Semoga penyakit ini tidak mengganggu aktiviti seharian Haziq.

Banyak lagi cabaran dari segi emosi dan fizikal yang perlu Haziq hadapi. Terus kekal positif dan tempuhilah dengan tenang. InsyaAllah....semuanya akan baik-baik sahaja.

Selamat menempuh alam baru Haziq. Selamat menjalani minggu orientasi selama dua minggu.

Dengan iringan doa dan harapan, semoga Haziq sentiasa dalam Lindungan dan RahmatNya.



























No comments: