Friday, August 29, 2008

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! - Sejauhmana Kemerdekaan Kita?!

Dalam entry yang lepas, Tempua pernah mengatakan yang masa lalu kita telah membentuk siapa kita hari ini. Mungkin ada yang berbangga dengan apa yang mereka miliki hari ini -kemewahan, kedudukan/pangkat dan nama dan ada juga yang kecewa dan kurang bangga dengan apa yang mereka ada.

Lebih membuat kita bangga bila apa yang kita dapat atau miliki hari ini adalah hasil dari usaha dan penat lelah kita sendiri. Sudah pasti kita akan menghargai sebab kita dapat rasakan sendiri bagaimana susah untuk mendapatkannya. Bila kekayaan atau keselesaan hidup yang kita ada itu diwarisi, maka sifat menghargai apa yang kita ada itu kian pudar. Kerana kita tak melaluinya...hanya mewarisinya.

Begitu jugalah dengan KEMERDEKAAN ke -51 yang kita akan sambut esok. Generasi pewaris yang mewarisi udara kebebasan di bumi Malaysia ini semakin hilang rasa bangganya pada negara. Tempua yang lahir sebagai anak merdeka juga akui yang 'kurang hargai' dalam ertikata sebenarnya bila menyebut tentang semangat kemerdekaan.

Bukannya Tempua tidak patriotik atau mencintai negara. Tempua sangat cinta dan sayangkan negara ini, begitu juga dengan yang lain. Tetapi ianya tidak dapat menandingi dan tidak sehebat orang-orang yang merasai sendiri bagaimana seksanya hidup sebelum merdeka. Bagaimana deritanya hidup dijajah. Mereka yang alami sendiri detik atau peristiwa ketika itu sudah tentu berbangga dengan transisi Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Berbangga dengan apa yang mereka dapat dan perjuangkan.

Tetapi generasi pewaris yang lahir selepas merdeka, mereka berbangga dengan apa yang mereka ada. Bukan dapat dan perjuangkan. Jadi perasaannya tentu berlainan. Lahir-lahir sahaja sudah hirup udara kebebasan dan kemajuan, tentunya semangat yang ada pada diri mereka tidak sehebat generasi yang mengalami dan berjuang sendiri untuk kemerdekaan. Semangat yang mereka (Tempua juga) perolehi hanyalah melalui pembacaan dan rakaman rentetan sejarah tanahair, sudah tentu 'thrill'nya lain.

Cuma kadang-kadang Tempua terfikir juga...secara zahirnya kita sudah merdeka. Akan tetapi, banyak jiwa yang masih belum merdeka. Cuba renungkan senario ini...

MERDEKAKAH kita... bila kita tidak tahu menghormati undang-undang dan pengguna jalanraya dengan memandu secara berbahaya dan melulu?!

MERDEKAKAH kita... bila kita tidak tahu menghargai nyawa bayi yang baru lahir dengan sanggup membuang (dengan niat hendak membunuh) tanpa belas?!

MERDEKAKAH kita... bila kita menjerumus dan membiarkan diri dijangkiti penyakit sosial?!

Rasanya banyak lagi tentang persoalan 'MERDEKAKAH KITA' yang masih lagi membelengu jiwa yang belum dapat lagi kita bebaskan. Hanya kita yang mampu merdekakan diri kita.

Dengan kebebasan dan keamanan yang kita kecapi inilah maka kita dapat menyambut kehadiran Ramadhan dengan selesa. Cuba bayangkan jika negara kita masih lagi kacau bilau dan berada dalam keadaan huru hara? Bayangkan Iraq, Palestine, Afghanistan dan negara-negara lain yang tidak stabil politiknya. Adakah kita sanggup gadaikan keamanan ini?!

Ironinya, pada tahun ini kita betul-betul meraikan hari KEMERDEKAAN kerana disamping menyambut kemerdekaan negara kita dari penjajah, kita juga akan 'merdeka' dari jajahan hawa nafsu dan hasutan syaitan bila kita menyambut pula bulan Ramadhan. Semoga kehadiran Ramadhan dapat memberi kita seribu Rahmat dan keinsafan buat kita yang menyambutnya dengan jiwa yang merdeka.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-51 dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam.

- tempua.siber -

Thursday, August 21, 2008

Berhenti Sejenak...Renung-Renungkan & Bersyukurlah!

Dalam banyak keadaan, kita seringkali lupa untuk bersyukur. Syukur kerana nikmat kehidupan yang kita perolehi jika dibandingkan dengan orang lain. Akan tetapi, bila kita ditimpa musibah dan kesusahan, serta merta kita ingat kepada Allah. Kita berdoa minta dijauhkan segala keperitan yang melanda. Minta hilangkan duka nestapa. Minta disembuhkan sakit yang diderita.
Pelikkan! Tapi itulah hakikatnya manusia ini.

Cuba kita fikir...kesusahan kita tak dapat menandingi penderitaan ramai lagi fakir miskin diluar sana yang jauh lebih perit. Perut kosong kita belum pernah lagi kebulur berhari-hari tak menjamah makanan seperti mereka yang kebuluran-tak cukup makan kerana tiada makanan. Bila kita terasa dikongkong, tak dapat bergerak bebas, tidaklah sesukar mana jika dibandingkan dengan negara-negara yang berkonflik dan berperang. Mereka tiada kebebasan dan sering berada dalam kebimbangan serta ketakutan. Nyawa bagai sudah tiada harga lagi. Begitu juga dengan kesihatan diri kita. Alhamdulillah...masih lagi boleh bergerak sihat jika dibandingkan dengan mereka yang terlentang dan menderita sakit kronik. Dan...cuba kita bayangkan betapa bahagianya kita kita berada di sisi ibu bapa dan keluarga sedangkan ramai anak-anak yatim yang sangat rindukan belaian kasih sayang ibu bapa. Banyak lagi kelebihan diri kita jika nak dibandingkan dengan nasib insan-insan malang yang lain.

Pernahkah kita bersyukur atau tidakkah patut kita bersyukur?! Yer...di saat kebahagiaan mengelilingi kita...kita lupa untuk bersyukur atas apa yang kita nikmati selama ini.

Cuba kita bayangkan sejenak. Bagaimanakah perasaan seorang anak yatim yang masih kecil bila melihat rakan sebaya mereka mempunyai ibu bapa untuk bermanja? Pasti sayu hati mereka dengan kekurangan ’nikmat’ tersebut. Tapi apakan daya, mereka harus akur pada takdir. Mungkin jauh disudut hati, andai diberi kesempatan untuk bermanja dengan insan yang bernama ibu dan bapa, peluang tersebut pasti akan digunakan sebaik mungkin dan tidak akan dipersiakan seperti mana kita leka dengan peluang yang kita perolehi.

Bayangkan pula apabila kita kehilangan orang yang tersayang untuk selamanya. Kehilangan anak, adik beradik, ayah, ibu atau sesiapa sahaja yang begitu ’bernilai’ dalam hidup kita, pastinya ia merupakan dugaan hebat untuk kita lalui. Kenangan bersama mereka akan sering menghambat peraasaan. Kesedihan akan berlipat kali ganda lagi bila hari-hari istimewa seperti ketibaan Ramadhan dan Syawal. Tapi, apakan daya mereka. Mahu atau tidak mereka perlu meneruskan kehidupan kerana inilah takdir buat mereka.

Tapi, bila kita melihat dari sisi yang lain pula, anak-anak yang mempunyai ibu bapa sering mengabaikan ’nikmat’ yang Allah pinjamkan untuk mereka. Peluang yang diberikan tidak diguna sepenuhnya. Mereka cuai. Tempua-pun 2 x 5. Seringkali lalai dan lupa kepada perkara tersebut. Bila mereka dah tiada, barulah kita rasa kehilangan. Ketika itu semuanya dah terlambat. Ingat...kita hanya ada seorang ibu dan ayah sahaja. Tiada ganti.

Kita perlu bersyukur dengan Rahmat-Nya. Dia memberi kita kesempatan untuk menyayangi dan disayangi. Eratkan tali kasih dan jalinkanlah perasaan sayang dengan diri sendiri dan orang-orang yang telah banyak berkorban untuk kita.

Ya, masing-masing mempunyai kelemahan diri. Terimalah kelemahan mereka. Bertolak ansur,sabar dan saling menghormati adalah senjata dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Tak kiralah perhubungan sesama keluarga ataupun dalam persahabatan.

Biasalah kalau sering rasa kecil hati. Sedangkan lidah lagi tergigit. Yang penting kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada kewarasan fikiran sebelum bertindak. InsyaAllah, yang keruh boleh menjadi jernih. Yang hitam pasti bertukar putih. Malam pasti bertukar siang. Cahaya matahari sentiasa bersinar, Cuma kadang-kadang ada sesuatu yang menghalangnya dari terus menyimbahi kita.

Tapi, jangan pula kita lupa kepada insan yang kurang bernasib baik. Tentu ada cara yang kita boleh lakukan untuk meringankan beban penderitaan mereka dari segi emosi dan fizikal. Mereka tidak diminta untuk diduga dengan dugaan sebegitu, tetapi ketahuilah, jika kita terpilih untuk menerima Rahmat-Nya, mereka ini juga terpilih untuk menerima dugaan-Nya yang pastinya ada hikmah dan ganjaran besar menanti mereka. Bukankah Allah itu Maha Adil dan Bijaksana.

- tempua.siber -

Monday, August 11, 2008

Nilai Sebuah Katil Merah Jambu

Pertama kali dapat gaji ialah ketika bekerja di kilang semasa menunggu keputusan SPM dulu. Punyalah riang. Ialah, dapat pegang duit hasil titik peluh sendiri…siapa tak bangga kan?. Bukan senang nak cari duit. Perit. Bila dah rasa payahnya barulah kita hargai setiap sen yang kita dapat. Sebelum ni, tahu minta dan tahu nak ada aje. Tak dapat mulalah muncung sedepa. Boleh digantung kuali. Tak pernahpun terfikir yang orang tua kita ada duit ke tidak! Kita tak peduli semua tu....

Bila dah rasai sendiri jerit payah untuk mencari duit. Insaflah kejap. Rasa menyesal pulak bila difikir semula. Betullah kata orang, kita kena rasai dulu baru kita boleh fahami sesuatu situasi. Setakat dengar nasihat, susah juga kita nak memahami secara total. Masuk telinga kiri...keluar telinga kanan.

Ok, kita letak tepi dulu kisah faham memahami tu.

Bila dah pegang duit, dompet dah kembung sikit (Alaa..dompet zip zap yang ada gambar snoopy tu...) macam-macamlah yang kita plan nak buat. Bukan banyakpun gaji tapi dia punya plan....masyaAllah, ngalahkan bergaji supervisor. Nak beli itu, nak makan ini...kalau ikut nafsu, silap haribulan boleh pinjam kat PaMa bank (pinjam kat mak bapak daa..) sementara tunggu gaji yang akan datang. Tapi, dalam banyak-banyak list benda yang nak dibeli tu, salah satunya ialah sebuah katil bujang.

Pergilah dengan sepupu ke kedai Bombay yang dia biasa berurusan. Belek punya belek, akhirnya berkenan dengan sebuah katil bujang (besi) yang berwarna merah jambu. Kenapa merah jambu??? Soalan tu tempua tak boleh nak jawab. Tak tahulah kenapa warna tu juga yang menjadi pujaan hati. Mungkin sedap mata memandang kot! Yang pasti itulah 'harta' pertama yang dibeli dari hasil titik peluh sendiri. Harganya...kalau tak silap RM 199.00. Katil tu keluaran terbaru (pada ketika itulah...sekarang ni dah outdated) yang di bawahnya ada lagi satu katil yang boleh disorong tarik.

Maka malam-malam berikutnya, tidurlah dengan lena diulit mimpi yang indah. Pagi-pagi kemas baik-baik. Benda barulah katakan. Mestilah dijaga baik. Kalau boleh, sarung tilam, sarung bantal semuanya nak warna sedondon. Warna pink. Kah Kah Kah.

Ironinya, katil itulah yang banyak berjasa sampai sekarang. Masih cantik lagi walaupun tak berapa nak utuh lagi. Di bahagian bawahnya, katil yang boleh disorong tarik itu tak pernah ada orang tidurpun sampailah sekarang. Sebagai ganti, sekarang ini bahagian tersebut dijadikan 'perpustakaan' sementara untuk menyimpan segala jenis buku-buku ketika belajar dulu. Dan yang paling syok nya pulak...katil yang bahagian atasnya, yang pernah menjadi tempat tidur paling empuk suatu waktu dulu dah tak bertilam. Tilamnya dah dihukum buang. Alahai...kesiannya.

Apapun, bila nak bermimpi indah-indah, sesekali tidur juga di atasnya. Walau tak bertilam, tapi keselesaannya dan ‘bau’ nya masih ada. Ketenangan tetap diperolehi bila berada di atasnya. Kerana apa?! Mungkin kerana tempua sangat menyayanginya dan ia mempunyai nilai yang tersendiri dalam hidup ini.

Cuba kita kaitkan kisah ini dengan kehidupan seharian. Kasih sayang memainkan peranan yang penting dari harta benda. Tetapi ramai yang lupa dan leka. Harta benda dikejar lebih dari kualiti kehidupan itu sendiri.

Jika kehidupan kita dilimpahi kemewahan tapi tiada kasih sayang, semuanya seolah-olah tidak bererti. Kosong. Tapi andai kita hidup dalam keadaan yang sederhana dan dilimpahi kasih sayang dalam keluarga mahupun dengan orang sekeliling, maka kualiti kehidupan kita akan meningkat. Benda yang kecil dan murahpun akan menjadi sangat berharga dan bernilai. Kerana kuasa kasih sayang melebihi segalanya.

Begitulah juga dengan katil berwarna pink tersebut...walaupun tidak seperti dulu lagi 'gagahnya' tetapi ia tetap menyimpan kenangan peribadi buat tempua kerana disitulah mimpi-mimpi indah menjadi permainan tidur. Sesungguhnya ia memberikan sentimental value yang tersendiri.

- tempua.siber -

Thursday, July 31, 2008

Masa Lalu Pengaruhi Kita Hari Ini!!

Pengalaman bekerja sewaktu menunggu keputusan SPM memang menyeronokkan. Masa itulah pergaulan kita mula luas dan berkembang. Tak terhad kepada kawan sekampung atau sekolah. Frasa kehidupan pada ketika ini membolehkan kita bergaul dengan pelbagai latar belakang, rupa, warna kulit dan bangsa. Secara tidak langsung kita lebih peka dan memahami sensitiviti setiap individu dan cara berinteraksi sekeliling. Mata dan minda terbuka luas.

Tempua pun pernah melaluinya. Lepas sahaja peperiksaan SPM, terus cari kerja. Cuti lamalah katakan. Dulu mana ada PLKN. Kelas komputerpun terhad. Zaman-zaman wordstar, dbase III Plus dan lotus. Dah tak guna dah lagi perisian tu sekarang ini. Jadi untuk mengisi masa lapang...cari kerja-lah, dan kerja yang paling mudah dan senang nak dapat ketika itu – Kerja kilang. Tapi, kadang-kadang perlu skill 'berbohong’ juga untuk mendapatkannya. Nak hidup...biasalah.

Bukan bohong apapun. Cuma bohong kelulusan masa di interview. Masa mohon kerja tu, adalah dia bagi test. Memang mudah. Lepas tu masa interview tu dia bagi lagi soalan2 pecahan dan perpuluhan. Buat depan dia. Mungkin mereka sedikit ragu bila keputusan test sebelumnya cemerlang. Mungkin lah....

Ada 3 panel ketika itu. Sorang Cina, Jepun dan Melayu. Bila tempua buat dengan yakin dan betul pula jawapannya, mulalah dia ragu kelulusan tempua. Kenapa dia ragu?! Haaa, sebabnya masa isi borang, tempua letak kelulusan setakat tamat tingkatan 3 saja. Jadi dia pun soal lah betul ker tamat tingkatan 3. Kenapa berhenti. Jawapan standard ialah...tak mampu. Keluarga susah. Adik beradik ramai. Itu semua dah di ajar oleh geng-geng yang dah dapat dulu kerja. Cuma guna pakai jer jawapan standard tersebut. He he he..bijak....bijak.

Temberang berjaya, lakonan tip top. Muka kena buat toya atau kalau salah pandang nampak macam poyo! Lantaklah…kes darurat. Terpaksa..untuk kesinambungan hidup. Ye ke!

Esoknya terima panggilan yang mengatakan tempua berjaya. Maka pada 1/12 pada tahun tersebut bermulalah frasa baru kehidupan tempua. Bekerja di sebuah kilang milik Jepun sebagai store attendant. Gaji? Biasalah, banyak mana...tapi itu tak penting dan tak menjadi soalpun, sebab yang paling penting ialah dapat duit dan cari pengalaman. Baru nak pegang duitlah katakan.

Hari pertama kerja, dia bagi uniform dan kasut (sama macam kasut sekolah). Bila dah dapat briefing apa yang patut dan perlu, tempua di bawa oleh store manager (Cina yang jadi panel masa temuduga) ke store kilang bahagian shipping. Dia terangkan serba ringkas kerja yang perlu dibuat.

Hari pertama....dah rasa siksa. Letih dan dah nekad untuk berhenti kerja esoknya. Tak tahan rasanya. Macam ini rupanya kerja kilang! Kejutan budaya. Menyesal pun ada. Dah lah macam tu, kasut pula koyak bila terkena sanding mesin yang digunakan untuk mengangkat pallet (apalah nama benda Allah tu! - tak ingat). Sakit kaki..sakit hati..semuanya bercampur. Nekad nak berhenti. Tak dulik!

Setengah jam sebelum pukul 5, Store manager tadi datang dan bawa tempua ke tempat lain. Dia bawa ke tempat kerja yang sepatutnya. Ada kerusi dan meja. Masih lagi dalam store, tapi lebih selesa dengan hawa dingin. Sejuk sikit hati...tak jadi nak berhenti. Tukar fikiran. Nampak macam menarik jer. Kasut! Yer, balik jer dari kilang, tempua jahit sisi yang koyak tu. Nak minta tukar...malu jer nanti sebab baru jer pakai...dah koyak! Hulk ke apa!!

Maka bekerjalah tempua dengan dedikasi selama 3 bulan. Dapat confirmation letter pada bulan 3 tahun berikutnya. Kirakan tempua bekerja dengan cemerlang. Sepanjang berkeja tu, luaslah pergaulan dengan kawan-kawan. Tak kira umur dan bangsa. Memang pengalaman yang menyeronokkan. Cuma jodoh je tak panjang bila tempua dapat surat tawaran ke IPTA.

Tapi sepanjang bekerja tu, terserempak juga dengan panel interview yang Melayu tu (Dia bahagian HR rupanya), bila jumpa dia pasti tersenyum sinis...seolah-olah faham dengan temberang tempua masa interview dulu. Tempua hanya membalas dengan senyuman yang dibuat-buat. Kelat. Rasa bersalah! Oh idak..Cuma terasa tembelang dah pecah, atau mungkin dia tahu dari awal taktik budak-budak lepas SPM. Cuma dia bagi peluang pada tempua. Mekasih....

Masa masuk dulupun temberang...bila dapat offer IPTA tempua berhentipun cara temberang juga. 2-3 hari sebelum gaji masuk, tempua dah ponteng. Kata ada MC-demam mengejut. Tapi takderpun. Cuma 'terpaksa' temberang supaya gaji tempua tak ditahan. Tapi Asst. Store Manager yang menyelia tempua pada ketika itu ada call bertanyakan tentang MC yang agak lama. Mungkin dia macam syak. Tempua berterus terang dengan dia dan dia faham. Cool

Begitulah kisahnya. Kadang-kadang ada orang menyalahkan masa lalunya. Tapi bagi tempua, masa lalu tempua telah menjadikan siapa tempua hari ini.


- tempua.siber -

Thursday, July 24, 2008

Situasi Sama, Fikiran Berbeza - Tetap Mesra

Berbual dalam kumpulan yang ramai memang seronok. Terasa meriahnya. Terutama bila sesekali berkumpul. Macam-macam cerita yang akan dibualkan. Kisah-kisah lamapun akan turut dibuka kembali.

Tetapi, bila dah ramai yang berbual, tentulah pula topiknya kadang-kadang bercampur baur. Macam rojak. Kadang-kadang sedang syok bersembang, ketawa…tiba-tiba yang lain tercengang. Bukan tercengang pasal apa…Cuma mereka tercengang bila tiba-tiba kita cakap pasal benda lain, padahal yang dibualkan ketika itu tentang benda lain. Benda ni pasti pernah berlaku pada anda. Maka berderailah ketawa yang lainnya bila mengetahui kita tersasar topic. Yang kita pula bingung dan miung memikirkan macamanalah kita boleh tersasar sedangkan dari tadi memang kita turut serta dalam perbualan tersebut. Tak ke haru! Inilah yang dikatakan jasad ada tapi fikiran dah 'sesat' entah ke mana.

Sebenarnya saat mereka switch ke topic lain, kita dalam keadaan tak sedar. Mungkin ketika tu kita sedang hayal - berada diantara satu titik antara sedar dan tidak. Ya ke! Atau kita leka dengar cerita group lain.

Ada juga pada ketika yang lain, sedang syok bersimbang kisah lucu, semua ketawa berderai. Masalahnya bukan kita ketawakan kisah tersebut, tapi kita ketawakan benda yang lebih lucu lagi bila ada ‘sesuatu' yang tersembur dari mulut si tukang cerita bila ketawa dia berderai. Maka kitapun jadi ketawa disebabkan insiden tersebut. Bila ketawa dah reda, cuba explain semula kenapa kita ketawa. Maka akan berderailah ketawa semuanya sekali.

Sesekali berkumpul dan bergurau senda dapat mengeratkan silaturrahim sesame kita. Bukan senang semua ahli keluarga nak berkumpul dalam sesuatu masa. Semua sibuk dengan urusan masing-masing. Jadi bila ada kesempatan, gunakanlah sebaik mungkin. Banyak faedah yang dapat kita perolehi. Ketepikan sikap ego dan perasaan iri kerana sikap sebegitu tidak akan membawa kita kemana-mana.

Bila kemesraan dah wujud, komunikasi antara keluarga akan menjadi lebih mudah. Bukan sahaja perhubungan adik beradik bertambah erat, tetapi antara pak sedara/mak sedara dengan anak buah, antara sepupu sepapat dan juga ipar/biras. Air dicincang takkan putus! Bak kata Bob AF2, Mesraaaaa...
-tempua-siber-

Tuesday, July 15, 2008

Pengalaman Adalah 'Guru'

Orang selalu kata, pengalaman itu mendewasakan kita. Betul ke? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Kenyataan itu menjadi benar bila pengalaman itu mematangkan cara kita berfikir dan bertindak.

Dalam situasi yang tertentu, kita harus berfikir secara kritis dan ketika inilah pengalaman lalu mengajar kita untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi...apabila pengalaman yang kita kutip itu hanya sekadar satu peristiwa antara banyak peristiwa dalam 'perjalanan' hidup, maka kita akan menjadi seorang manusia yang kurang peka dan kurang waspada dalam setiap tindakan yang akhirnya 'memakan' diri.

Semakin kita bergerak pantas menuju kemajuan, semakin besar perbezaan antara pengalaman yang dikutip oleh kanak-kanak 25 tahun dahulu jika dibandingkan dengan kanak-kanak sekarang. Begitu juga perbezaan untuk kanak-kanak 50 tahun dulu dengan kanak-kanak 25 tahun dulu. Pastinya setiap frasa kehidupan yang dilalui itu, pengalaman yang ditimba juga akan turut mengalami perubahan mengikut zaman.

Jika dulu (tempua ambil contoh untuk generasi kanak-kanak yang lahir dalam tahun 70an) zaman kanak-kanak begitu 'mesra' dengan alam semulajadi. Kehijauan bendang dan redup rimbun kebun getah sudah menjadi satu pemandangan biasa. Banyak kenangan dilakar di situ. Mencari buah getah, kupik getah sekerap, angkat susu getah, menimba lubuk ikan, menuai dan membanting padi atau sekadar berlari di batas-batas sawah. Semuanya kelihatan begitu indah. Walaupun kehidupan agak serik dan tidak semewah kanak-kanak kini, tetapi, itulah yang mendewasakan kami. Mengajar erti susah, erti menghargai kehidupan dan ketabahan serta kecekalan semangat dalam meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga.

Zaman tempua sekolah dulu, bila cuti sahaja kawan-kawan lain akan pergi ke KL atau Singapura, tetapi tempua dan sepupu akan pergi ke rumah kakak. Bukan untuk bercuti macam yang lain-lain tetapi untuk 'menolong' kakak dan suaminya di kebun getah dan kebun kelapa sawit. Rasanya perkataan 'menolong' itu tak sesuai digunakan kerana kami akan diberi ganjaran ikut hari. Duit itulah yang akan digunakan untuk membeli keperluan sekolah nanti.

Walaupun diberi ganjaran, pernah juga bila malam hari sebelum tidur, tempua berdoa agar hujan turun dengan lebat supaya keeseokannya tidak perlu ke kebun getah. Kalau boleh hari-hari nak hujan. Rasa 'serik' bila nak kena kupik sekerap, menghidu baunya yang semacam dan 'bertarung' dengan bunyi dan gigitan nyamuk. Itu semua membuatkan tempua rela tak dapat ganjaran. Lebih menakutkan lagi bila kadang-kadang terserempak pula dengan ular sawa melingkar, ular lidi dan macam-macam jenis ular lagi. Semuanya boleh membuatkan jantung bagai nak gugur.

Bila time nak angkat susu getah pula, kawasan yang paling digeruni ialah di kawasan paya. Seram sejuk bila lalu kawasan itu. Sunyi dan terpencil. Macam-macam terlintas difikiran. Untuk meredakan ketakutan, kadang-kadang kami menyanyi sekuat hati. Biar 'meriah' sikit. Selalunya kat kawasan tu tempua dengan sepupu sama-sama turun untuk memungut susu getah. Di situ kalau tak pungut susu getah rasa rugilah pula sebab pokok-pokoknya besar dan subur.

Bila baldi dah penuh dengan susu getah, kadang-kadang kaki tersadung atau tergelincir. Tumpah susu getah. Oleh kerana takut kena marah, pakat dengan sepupu untuk menghilangkan kesan ’jenayah’, ambil air paya dan basuh kesan tumpahan tersebut. He he he... akal mesti panjang untuk selamatkan diri.

Bila masuk bab permainan, kanak-kanak dulu lebih kreatif dan lasak. Main baling tin, baling selipar, bola rondas, bola bedil, nyuruk-nyuruk, kombat, kejar-kejar, galah panjang, main hantu dan macam-macam lagi. Tak ingat dah maghrib bila dah terlampau seronok.

Pergaduhan antara kami pula memang sangat jarang berlaku. Kalau tak puas hati, selalunya dengan budak-budak kampung sebelah. Tak lah sampai bertumbuk, paling kuatpun buat perlawanan main bola. Itulah cara nak tunjukkan siapa hebat. Bila menang, rasanya dendam dan perasaan tak puas hati tu akan terlerai di situ juga.

Kanak-kanak sekarang, masanya lebih banyak tertumpu di hadapan komputer ataupun di kedai-kedai siber untuk bermain permainan komputer. Pergaulan mereka amat terbatas. Dunia mereka terhad. Itulah sebab kanak-kanak sekarang matanya cepat rosak. Muda-muda lagi dah ada guna cermin mata berkanta tebal. Semuanya kerana terdedah dengan cahaya daripada skreen komputer dan juga television untuk jangkamasa yang lama. Bila hari-hari dah mengadap, matapun mulai kabur.

Kanak-kanak sekarang pantang silap sikit dah mula tunjuk siapa hebat. Mula nak bertumbuk dan beradu kekuatan. Yang menang jadi arang, kalah jadi abu. Dapat apa!

Yang pasti, walau bagaimana maju dan canggihnya zaman yang dilalui, setiap kanak-kanak mempunyai pilihan yang luas untuk mengaplikasikan kelebihan dan kekurangan persekitaran mereka dalam membentuk keterampilan dan sahsiah diri yang positif. Mungkin juga kanak-kanak dulu lebih bersifat daya tahan, mempunyai semangat yang kental dan kanak-kanak sekarang pula lebih bijak dan kreatif. Jika kebaikan dari keadaan ini dapat disatukan, maka generasi hari esok akan mempunyai nilai tambah untuk menjadi generasi yang cemerlang.

Tetapi semua itu perlu dipantau dan diasuh oleh ibu-bapa, keluarga dan juga masyarakat sekeliling. Pilihan tak seharusnya diletakkan seratus peratus ditangan kanak-kanak yang masih mentah. Mereka memerlukan petunjuk dan 'cahaya' untuk sentiasa berada di sisi mereka di saat mereka 'rebah' dan 'sesat' agar mereka dapat terus berdiri dan bertahan menghadapi segala kemungkinan.


Dulu + Sekarang = Esok Yang Cemerlang


- tempua.siber -

Tuesday, July 8, 2008

Menyingkap Tabir Kenangan

Hidup tak selalunya indah. Kita tidak dapat menjangka apa akan jadi dan apa yang akan kita lalui pada masa hadapan. Kadang-kadang dalam keseronokan menikmati kehidupan, kita diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan mungkin dari segi masalah kewangan, masalah kesihatan, krisis rumahtangga/keluarga dan seribu satu jenis lagi yang tak terjangkau akal kita berfikir.

Tempua juga pernah diuji hebat. Bukan tempua sahaja, malah seluruh keluarga pernah berdepan dengan dugaan yang tak pernah terlintas difikiran. Dugaan yang merubah keyakinan, tanggapan, perasaan dan alur kehidupan pada ketika itu. Dugaan yang tak pernah diundang dan diingini. Tetapi siapalah kami untuk melawan takdir. Ianya sudah tersirat dan kami perlu akur.

Takdir tuhan tak dapat dielak dan dianjak. Lebih kurang sebelas tahun ( hujung tahun 1997 ) yang lalu, ayah tempua disahkan menghidap kanser leher. Mulanya hanya sakit biasa dan bila ke klinik doktor menasihati supaya minum air masak lebih kerana masalah cuaca/jerebu. Akhirnya setelah di diagnosis oleh pakar, sahlah ianya bukan penyakit biasa. Hasil ujian mendapati virus kanser telah menyerang dan mula merebak di bahagian leher. Sewaktu diberitahu oleh doktor keputusan ujian tersebut melalui panggilan telefon ke rumah, ianya bagaikan halilintar yang menyambar. Bila disebut kanser, ianya bagaikan satu ancaman yang besar. Satu fobia dan taboo. Dalam keadaan antara percaya dan tidak, kami pasrah!

Rentetan dugaan yang dihadapi oleh kami sekeluarga ( lebih hebat lagi dugaan yang dihadapi oleh ayah ) dalam masa tak sampai setahun memang agak pantas. Tapi ada satu insiden yang betul-betul menyayat hati tempua. Sampai sekarang masih lagi segar dalam ingatan. Rasanya baru semalam ia berlaku.

Pada satu tahap, setelah menjalani rawatan yang berkaitan di hospital, ayah tempua memikirkan pula rawatan alternative iaitu - ubat kampung. Mana saja yang dia dengar ada orang pandai membuat penawar atau membantutkan serangan virus kanser tersebut dia akan pergi. Ini termasuklah ke Pahang dan menumpang di rumah kakak tempua.

Masa tu tahap penyakit dah agak kritikal. Bengkak dileher menyukarkan dia untuk bercakap. Jadi, tempua dan seorang adik duduk dirumah dalam keadaan yang cukup risau dan bimbang.

Suatu petang, kami telefon rumah kakak untuk bertanyakan khabar. Malangnya telefon dirumah kakak ketika itu ada rosak. Masalahnya ialah dia tak boleh dengar apa yang pemabggil cakap. Ketika tempua telefon, ibu tempua dan ayah saja yang ada. Bila ibu angkat telefon tempuapun tanyalah khabar. Malangnya dia tak dengar apa-apa dan metak semula gagang.

Untuk kali kedua tempua telefon lagi. Kali ini ibu tempua bercakap. Bunyinya lebih kurang begini. ”Hello...siapa kat sana? Tak dapat dengar apa-apa. Telefon ni rosak. Tapi kalau anak-anak mak yang telefon, telefon balik lepas ni.” Diapun meletak gagang. Ia memberi isyarat kepada tempua agar telefon kembali untuk mengesahkan yang menelefonnya ketika itu adalah anaknya.

Tempuapun telefonlah semula. Kali ini ibu yakin yang menelefonnya ketika itu adalah salah seorang dari anaknya. Maka diapun berbual seorang diri dengan memberitahu sedikit sebanyak maklumat tentang kesihatan ayah dan rawatan yang telah dijalani. Sekurang-kurangnya legalah sedikit perasaan bimbang kami di rumah.

Masa kejadian tersebut, tempua memang sangat sedih, hiba dan terharu. Yer, satu perasaan biasa yang pastinya akan mengetuk ruang rasa seseorang yang bernama manusia. Tapi, semakin masa berlalu dan semakin tempua fahami nilai sebuah pengorbanan, erti kehidupan dan kasih sayang, kini tempua berasa sangat kagum.

Kagum dengan semangat untuk terus bertahan dan ‘berjuang’ yang ditunjukkan oleh ayah tempua. Tak mengenal putus asa, tabah, redha dan cekal menerima takdir Ilahi. Kagum dengan kasih sayang yang tulus dan suci seorang isteri merangkap ibu ketika menghadapi saat-saat getir bersama suaminya. Kagum dengan kerjasama kami adik beradik yang sentiasa sepakat dan bersama dalan menghadapi hari-hari sukar.

Alhamdulillah, pada 16-07-2008 - Rabu yang akan datang ini genaplah sepuluh tahun ayah tempua kembali ke Rahmatullah. Kembali menghadap Tuhan yang maha Esa. Sepanjang tempoh itu juga kami adik beradik terus kekal utuh dan bersatu. Semoga ianya dapat dikekalkan untuk selama hayat kami dibumi dan generasi seterusnya.
Walaupun dia sudah tiada namun impian dan kenangannya terus harum dan subur dalam hati kami semua. Sesungguhnya kami bersaksi bahawa dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah dengan begitu baik sekali.

Al – Fatihah buat Ayahanda Daut Bin Hj. Abdul Ghani.

* Panggilan kami kepadanya ialah bapak

- tempua.siber -