Thursday, June 18, 2009

Kenangan & Alam




Tempua tidaklah begitu meminati aktiviti memancing, tetapi masa kecil dulu pernahlah juga memancing di taliair dengan kawan sekampung. Adalah juga pengalaman mencari cacing, buluh untuk memancing, membeli taling tangsi dan mata kail.

Aktiviti memancing ini perlu mengorbankan banyak masa dan menuntut kesabaran yang tinggi.. Hasilnya tidaklah lumayan mana akan tetapi kepuasannya itu mungkin dicari-cari oleh golongan yang meminati aktiviti ini.

Baru-baru ini tempua dipelawa oleh seorang rakan untuk menemannya memancing di laut. Oleh kerana hendak merasakan keseronokan memancing serta teringin mengimbau kembali zaman-zaman ketika kecil dulu, maka tempua bersetuju untuk menemannya. Bila ditanya tentang lokasi-lokasi yang selalu menjadi tumpuan kaki pancing, tempua angkat bahu kerana memang benar-benar tidak tahu. Tetapi kalau sekadar nak tunjukkan laut secara umumnya…itu bolehlah. Kalau tempat-tempat strategik bagi pemancing kategori pantai seperti dia, maaflah....tak dapek nak nolongnya.

Kesempatan yang datang tempua gunakan untuk menghayati keindahan panorama laut diwaktu petang. Sungguh mendamaikan jiwa. Tenang dan leka melihat riak-riak air. Hajat hati untuk melihat senja berlabuh dan matahari terbenam tidak kesampaian kerana cuaca yang masih lagi berjerubu. Mungkin tempua perlu datang di lain hari untuk menikmati momen indah tersebut. Terbenam di dunia sebelah sini….terbit di dunia sebelah barat pula.

Bunyi enjin bot dan ombak melagukan alunan bunyi yang menarik sekali. Hempasan ombak ke batu-batu memercikkan air yang mempesonakan pandangan. Sesekali kelibat ikan melompat seolah menguji kesabaran rakan tempua yang masih lagi terkebil-kebil memerhati 3 pancingnya disambar ikan. Melihat jajaran pasir yang membentuk anak tanjung dan pulau kecil secara semulajadi ketika air pasang mencantikkan lagi pandangan.

Terfikir juga….jika 30 tahun dulu, suasana di sini pasti masih rimbun menghijau. Kini, ia telah berubah sedikit demi sedikit kerana tuntutan pembangunan. Mahu atau tidak, perubahan tersebut perlu dilakukan seiring dengan kemajuan yang dikecapi. Agak-agaknya apakah yang berlaku untuk tempoh 30 tahun lagi? Adakah generasi yang bakal mewarisi bumi ini akan berhadapan dengan kemusnahan yang kita tinggalkan? Hanya masa sahaja yang mampu memberikan jawapannya.

Apapun, teman tempua pulang dengan tangan kosong. Umpan habis dimakan tetapi tiada ikan yang sangkut. Mungkin sedikit hampa di hatinya. Akan tetapi tempua pulang dengan rasa syukur dilahirkan di bumi yang bertuah ini. Dapat merasa kenikmatan hidup dalam suasana yang aman damai.

Sebagai rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan keamanan yang kita kecapi ini kerana apabila negara berada di dalam keadaan yang tidak stabil dan huru hara, apalah makna keindahan alam jika dijiwa tidak lagi tenang untuk menikmatinya.

Dalam kelekaan menulis, tiba-tiba terngiang-ngaing lagu Alleycats yang antara liriknya berbunyi....

Angin pantai
Dingin mencengkam
Ombak laut
Mengajak pulang

Di sini
Ku rindu
Kampung halaman
Yang lama ku tinggalkan

Betapa indahnya negeri orang
Tak seindah tanah tumpah darahku
Wajah sanak saudara tercinta
Bermain dimataku dikala sepi

Sawah ladang & pohon nyior
Dengarkanlah jeritan hati
Ku ingin nyatakan
Aku sering merindu belaianmu
Aku sering merindu kasihmu...


Ku lihat Hijau....

- tempua.siber -

Monday, June 15, 2009

Boling Keluarga...


Sesekali bila dapat berkumpul bersama keluarga memang menyeronokkan. Pasti ada sahaja aktiviti yang dirancang untuk memeriahkan perjumpaan tersebut. Ialah, bukan senang nak berkumpul serentak. Cuma pada hari-hari tertentu seperti majlis perkahwinan, hari raya dan majlis kenduri kendara sahaja yang dapat mengumpulkan kesemuanya. Itupun pasti ada yang tidak dapat turut serta kerana tuntutan kerja, bertembung dengan peperiksaan semester atau masalah-masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

Sempena cuti sekolah baru-baru ini, dan kebetulan pula ada jiran yang melangsungkan perkahwinan, maka ramailah antara ahli keluarga yang balik berkumpul. Kesempatan yang ada tu kami gunakan untuk mengadakan pertandingan boling antara keluarga. Walaupun ada beberapa ahli keluarga yang tidak dapat turut serta, itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sekian lama.

Bertempat di Ampang Bowl Mahkota Parade, Melaka, seramai 21 orang ahli keluarga dapat berkumpul untuk bermain boling. Dari umur tak sampai setahun ke umur 65 tahun. Empat lorong atau lane telah digunakan dan setiap lane mengandungi 5 ahli yang telah diasingkan mengikut kumpulan.

Maka wujudlah nama kumpulan seperti D’Kechiks (anak-anak bawah 14 tahun), D’Umphh (bujang & dara), D’Bomb (emak & bapa budak) dan D’Vast (dara & pasangan yang masih dalam kategori bulan madu).

Memanglah ada diantara mereka yang belum pernahpun main boling. Akan tetapi atas semangat kekeluargaan, mereka turut serta memeriahkan pertandingan tersebut. Bila ada diantara mereka yang dah dapat sentuhan balingan, maka kegianan mereka mengalahkan budak-budak. Penuh semangat mereka bermain. Apa lagi bila semua pin 'strike', Maka bersorak kerianganlah semuanya.

Yang paling riang dan riuh tentulah anak-anak kecil yang kelihatan sungguh teruja membaling pin yang bersusun dihujung lorong. Mereka juga dapat beramah mesra dengan lebih rapat lagi dengan sepupu-sepupu mereka yang jarang sekali bertemu muka. Yang baru sunat seminggupun rancak bermain boling. Hilang rasa ‘ngilu’ dah...yang ada cuma rasa keterujaan melakukan aktiviti bersama sanak saudara.

Pertandngan ini bukanlah untuk mencari siapa juara. Ia hanyalah sebagai satu medium untuk kesemua ahli keluarga memanfaatkan kesempatan yang ada untuk saling berinteraksi dalam suasana santai. Yang pasti, cuti sekolah mereka dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Mana tahu, pendedahan awal dari usia yang muda ini dapat menarik minat mereka dan seterusnya menjadikan mereka sebagai seorang pemain boling yang berjaya suatu hari nanti.? Masa depan mereka masih jauh lagi, tapi sebagai ibu bapa kita boleh membentuk sahsiah diri mereka mengikut minat, bakat dan kebolehan yang ada pada mereka.

Apabila ibu bapa dapat melihat kecendurungan anak mereka, maka dorongan dan galakan yang sesuai dapat diberikan. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh memaksa anak untuk mengikut hala tuju yang telah kita tetapkan tetapi kita boleh membimbing mengikut minat dan kecenderungan yang mereka ada.

Selamat Maju Jaya anak-anak buah ku...semoga kamu semua terus cemerlang dalam bidang masing-masing.

- tempua.siber -

Wednesday, June 3, 2009

Sebuah Nilai Dalam Satu Sambutan Kecil


KEJUTAN! Tidak…bukan lagi kejutan buat tempua bila perancangan ahli keluarga untuk meraikan tempua sempena sambutan ‘Birthday’ telah dapat dihidu oleh tempua.

Semuanya secara kebetulan apabila jangkaan mereka yang tempua akan balik lewat ke rumah meleset sama sekali. Dan yang lebih mengharukan lagi bila secara kebetulan juga tempua berselisih dengan perancang utama di Pekan ketika hendak pulang ke rumah selepas waktu bekerja. Maka timbullah syak bila semua anak buah pun ada dalam kereta tersebut. Apa kes!

Walaupun kejutan tak berapa nak menjadi, tapi dari sudut hati yang paling dalam…tempua berasa sungguh terharu dengan komitmen yang telah mereka tunjukkan dan berikan untuk menjayakan majlis yang kecil dari segi sambutannya tetapi amat besar dari sudut nilainya. It touches my heart and soul.

Hasil pengemblengan tenaga mereka semua maka terhidanglah beberapa menu yang sungguh menyelerakan. Antara menu yang telah dibuat khas oleh mereka :

Keluarga Kak Long – Roti Jala, Kari Nangka + Kerang, Bihun Tom Yam, Biskut Corn Flakes Bercoklat Kacang, Kuah Gula Durian, Karipap.

Keluarga Kak Nah – Satay Ayam + Daging + Perut, Kek Coklat

Secara peribadi, tempua tidak berharap akan sambutan ini. Bukannya tidak bersyukur dengan apa yang telah mereka usahakan, cuma adanya mereka disisi tempua dan menjadi sebahagian dari merekapun sudah menjadi kebanggan dan cukup bermakna.

Dalam hal keakraban kami adik beradik dan juga dengan anak-cucu buah ini, jutaan terima kasih harus diberikan kepada Allahyarham ayahanda dan juga bonda yang berjaya mendidik kami dan mengisi jiwa kami dengan nilai-nilai kekeluargaan. Pastinya legasi ini akan diteruskan ke generasi seterusnya. InsyaAllah.

Apa yang nyata, sikap tolak ansur banyak membantu kami dalam membina sebuah perhubungan yang mesra. Berselisih pendapat dan bermasam muka pasti ada, tetapi ianya tidak akan berpanjangan kerana pasti ada yang akan beralah.

Tempua masih ingat lagi satu kejadian di mana ketika hendak makan tengahari, kak long ada bergurau tentang badan tempua yang semakin naik bagai dipam-pam. Ketika itu tempua macam orang kemaruk makan. Dek kerana guraun itu, tempua terasa hati dan terus masuk bilik. Tak jadi nak makan. Jiwa mudalah katakan. Memberontak dan pantang ditegur.

Kalau nak diikutkan, boleh saja mereka biarkan tempua merajuk kerana ternyata tempua yang mencari pasal. Akan tetapi, kak long datang mengetuk pintu sambil menangis-nangis menyuruh tempua makan dan berjanji tidak akan ulang bergurau seperti itu lagi.

Kak long tahu, benda kecil tu akan reda dengan sendirinya, tetapi dia sanggup ketepikan egonya sebagai seorang kakak untuk meminta maaf kepada adiknya. Sepatutnya tempua yang bersalah ini meminta maaf kepadanya. Banyak lagi kejadian yang kalau difikirkan semula kebanyakannya adalah salah tempua sendiri.

Beralahnya kak long kepada adik-adiknya bukan bererti dia kalah atau lemah mahupun bersalah. Pada moralnya, dia telah memenangi hati kami.

Terima kasih juga diucapkan kepada abang-abang ipar yang selama ini sangat sporting, supportive dan memberikan kerjasama yang baik dalam setiap perkara. Mereka boleh dibawa berbincang dan sentiasa bersedia untuk memberi pertolongan setakat yang termampu.

Terima kasih juga kepada Maxis kerana memberi bonus panggilan suara percuma ke talian Maxis yang lain sempena hari lahir walaupun untuk tempoh tidak sampai sehari (kerana sms memaklumkan bonus tersebut diterima jam 6.30 petang). Tentunya tempua memanfaatkannyakan sebaik mungkin dengan menghubungi ahli keluarga yang tidak dapat turut serta dan juga sahabat handai yang menggunakan talian Maxis juga. He he he...

Amatlah diharapkan agar yang setiap yang baik itu akan terus berpanjangan dan berkekalan. InsyaAllah.

- tempua.siber -

Tuesday, June 2, 2009

Selamat Hari Lahir...

Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan kamu...
Allah selamatkan tempua-siber...
Allah selamatkan kamu....

Alhamdulillah….tempua masih lagi bernafas buat sekian kalinya di kala peralihan usia yang semakin meningkat naik saban tahun. Apabila membuka mata disetiap pagi, tempua masih dapat menatap wajah orang yang disayangi, masih terdengar kicaun burung dan masih terasa panas cahaya matahari. Kurniaan yang amat besar maknanya yang dipinjamkan oleh-Nya cukup disyukuri.

Sesungguhnya Allah itu adil dengan hambanya. Dikurangkan yang ini…dilebihkan yang ini. Maksud tempua, cuba kita fikir sejenak. Kita hanya mengeluh pada kekurangan yang ada, tetapi tidak pernah bersyukur pada kelebihan yang ada. Mungkin kita tidak sedar atau terlupa, tetapi hakikatnya kita perlu bersyukur dengan apa yang kita perolehi dan ada.

Kita kurang harta, tetapi kaya dengan kasih sayang. Bukankah itu satu kurniaan yang hebat? Jadi, apa yang ada pada kita hari ini haruslah kita syukuri dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki apa yang kurang.

Tiada apa yang lebih bermakna tatkala menyambut hari lahir selain dari ucapan, ingatan dan doa-doa dari insan-insan yang tersayang. Kucupan dari ibu, harapan dan doa dari abang, kakak dan adik juga nyanyian kegembiraan dari anak buah yang keletah dan ceria membuatkan kita terasa hidup kita cukup lengkap. Ia, merekalah yang melengkapi hidup tempua selama ini. Yang sentiasa memberikan kekuatan dan dorongan dan yang sentiasa ada buat tempua.

Juga tidak lupa kiriman hadiah, kiriman ucapan selamat melalui sms, e-mail dalam berbagai bentuk dan cara pastinya menambahkan kegembiraan yang ada. Walaupun kadang-kadang dalam bersahabat tempua pernah mengatakan perkara yang tidak sepatutnya, tetapi kesabaran mereka pasti menang akhirnya. Mujurlah mereka tidak menyimpan rasa dan kalau itu terjadi, pastinya tempua insan yang rugi kerana kehilangan sahabat yang baik budi.

Dalam usia yang semakin mematangkan kewarasan berfikir, kadang-kadang ada pilihan yang perlu dipilih. Sememangnya sukar dan yang pastinya tempua akan cuba memilih yang terbaik supaya tiada hati yang tercalar, tiada jiwa yang terluka dan tiada perasaan yang terhiris. Jika semuanya bergerak seperti yang dirancangkan, hidup pasti menjadi tidak berwarna dan bernyawa. Yang pastinya, kita semua mengharapkan pengakhiran yang baik. InsyaAllah.

Kepada seluruh ahli keluargaku yang dikasihi, ketahuilah bahawa tempua ingin selalu mendampingimu, selalu bersedia membahagiakanmu dan walau apapun yang terjadi...tempua akan pastikan selalu ada untuk berkongsi segala suka dan duka.

Buat sahabat-sahabat tempuawalau dimanapun berada, ketahuilah bahawa tempua akan selalu mengasihi anda. Terima kasih kerana sentiasa menjadi sahabat dimasa sukar dan senang. Semoga ikatan persahabatan akan terus harum subur dihati.

Keluarga seperti udara yang dihela...selalu ada.

Sahabat ibarat pelangi, tak bercahaya namun hadirnya tetap berseri.

Selamat Hari Jadi . . .Semoga Allah sentiasa merahmati kehidupan ini.

- tempua.siber -