Thursday, June 18, 2009

Kenangan & Alam




Tempua tidaklah begitu meminati aktiviti memancing, tetapi masa kecil dulu pernahlah juga memancing di taliair dengan kawan sekampung. Adalah juga pengalaman mencari cacing, buluh untuk memancing, membeli taling tangsi dan mata kail.

Aktiviti memancing ini perlu mengorbankan banyak masa dan menuntut kesabaran yang tinggi.. Hasilnya tidaklah lumayan mana akan tetapi kepuasannya itu mungkin dicari-cari oleh golongan yang meminati aktiviti ini.

Baru-baru ini tempua dipelawa oleh seorang rakan untuk menemannya memancing di laut. Oleh kerana hendak merasakan keseronokan memancing serta teringin mengimbau kembali zaman-zaman ketika kecil dulu, maka tempua bersetuju untuk menemannya. Bila ditanya tentang lokasi-lokasi yang selalu menjadi tumpuan kaki pancing, tempua angkat bahu kerana memang benar-benar tidak tahu. Tetapi kalau sekadar nak tunjukkan laut secara umumnya…itu bolehlah. Kalau tempat-tempat strategik bagi pemancing kategori pantai seperti dia, maaflah....tak dapek nak nolongnya.

Kesempatan yang datang tempua gunakan untuk menghayati keindahan panorama laut diwaktu petang. Sungguh mendamaikan jiwa. Tenang dan leka melihat riak-riak air. Hajat hati untuk melihat senja berlabuh dan matahari terbenam tidak kesampaian kerana cuaca yang masih lagi berjerubu. Mungkin tempua perlu datang di lain hari untuk menikmati momen indah tersebut. Terbenam di dunia sebelah sini….terbit di dunia sebelah barat pula.

Bunyi enjin bot dan ombak melagukan alunan bunyi yang menarik sekali. Hempasan ombak ke batu-batu memercikkan air yang mempesonakan pandangan. Sesekali kelibat ikan melompat seolah menguji kesabaran rakan tempua yang masih lagi terkebil-kebil memerhati 3 pancingnya disambar ikan. Melihat jajaran pasir yang membentuk anak tanjung dan pulau kecil secara semulajadi ketika air pasang mencantikkan lagi pandangan.

Terfikir juga….jika 30 tahun dulu, suasana di sini pasti masih rimbun menghijau. Kini, ia telah berubah sedikit demi sedikit kerana tuntutan pembangunan. Mahu atau tidak, perubahan tersebut perlu dilakukan seiring dengan kemajuan yang dikecapi. Agak-agaknya apakah yang berlaku untuk tempoh 30 tahun lagi? Adakah generasi yang bakal mewarisi bumi ini akan berhadapan dengan kemusnahan yang kita tinggalkan? Hanya masa sahaja yang mampu memberikan jawapannya.

Apapun, teman tempua pulang dengan tangan kosong. Umpan habis dimakan tetapi tiada ikan yang sangkut. Mungkin sedikit hampa di hatinya. Akan tetapi tempua pulang dengan rasa syukur dilahirkan di bumi yang bertuah ini. Dapat merasa kenikmatan hidup dalam suasana yang aman damai.

Sebagai rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan keamanan yang kita kecapi ini kerana apabila negara berada di dalam keadaan yang tidak stabil dan huru hara, apalah makna keindahan alam jika dijiwa tidak lagi tenang untuk menikmatinya.

Dalam kelekaan menulis, tiba-tiba terngiang-ngaing lagu Alleycats yang antara liriknya berbunyi....

Angin pantai
Dingin mencengkam
Ombak laut
Mengajak pulang

Di sini
Ku rindu
Kampung halaman
Yang lama ku tinggalkan

Betapa indahnya negeri orang
Tak seindah tanah tumpah darahku
Wajah sanak saudara tercinta
Bermain dimataku dikala sepi

Sawah ladang & pohon nyior
Dengarkanlah jeritan hati
Ku ingin nyatakan
Aku sering merindu belaianmu
Aku sering merindu kasihmu...


Ku lihat Hijau....

- tempua.siber -

No comments: