Monday, June 15, 2009

Boling Keluarga...


Sesekali bila dapat berkumpul bersama keluarga memang menyeronokkan. Pasti ada sahaja aktiviti yang dirancang untuk memeriahkan perjumpaan tersebut. Ialah, bukan senang nak berkumpul serentak. Cuma pada hari-hari tertentu seperti majlis perkahwinan, hari raya dan majlis kenduri kendara sahaja yang dapat mengumpulkan kesemuanya. Itupun pasti ada yang tidak dapat turut serta kerana tuntutan kerja, bertembung dengan peperiksaan semester atau masalah-masalah lain yang tidak dapat dielakkan.

Sempena cuti sekolah baru-baru ini, dan kebetulan pula ada jiran yang melangsungkan perkahwinan, maka ramailah antara ahli keluarga yang balik berkumpul. Kesempatan yang ada tu kami gunakan untuk mengadakan pertandingan boling antara keluarga. Walaupun ada beberapa ahli keluarga yang tidak dapat turut serta, itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sekian lama.

Bertempat di Ampang Bowl Mahkota Parade, Melaka, seramai 21 orang ahli keluarga dapat berkumpul untuk bermain boling. Dari umur tak sampai setahun ke umur 65 tahun. Empat lorong atau lane telah digunakan dan setiap lane mengandungi 5 ahli yang telah diasingkan mengikut kumpulan.

Maka wujudlah nama kumpulan seperti D’Kechiks (anak-anak bawah 14 tahun), D’Umphh (bujang & dara), D’Bomb (emak & bapa budak) dan D’Vast (dara & pasangan yang masih dalam kategori bulan madu).

Memanglah ada diantara mereka yang belum pernahpun main boling. Akan tetapi atas semangat kekeluargaan, mereka turut serta memeriahkan pertandingan tersebut. Bila ada diantara mereka yang dah dapat sentuhan balingan, maka kegianan mereka mengalahkan budak-budak. Penuh semangat mereka bermain. Apa lagi bila semua pin 'strike', Maka bersorak kerianganlah semuanya.

Yang paling riang dan riuh tentulah anak-anak kecil yang kelihatan sungguh teruja membaling pin yang bersusun dihujung lorong. Mereka juga dapat beramah mesra dengan lebih rapat lagi dengan sepupu-sepupu mereka yang jarang sekali bertemu muka. Yang baru sunat seminggupun rancak bermain boling. Hilang rasa ‘ngilu’ dah...yang ada cuma rasa keterujaan melakukan aktiviti bersama sanak saudara.

Pertandngan ini bukanlah untuk mencari siapa juara. Ia hanyalah sebagai satu medium untuk kesemua ahli keluarga memanfaatkan kesempatan yang ada untuk saling berinteraksi dalam suasana santai. Yang pasti, cuti sekolah mereka dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Mana tahu, pendedahan awal dari usia yang muda ini dapat menarik minat mereka dan seterusnya menjadikan mereka sebagai seorang pemain boling yang berjaya suatu hari nanti.? Masa depan mereka masih jauh lagi, tapi sebagai ibu bapa kita boleh membentuk sahsiah diri mereka mengikut minat, bakat dan kebolehan yang ada pada mereka.

Apabila ibu bapa dapat melihat kecendurungan anak mereka, maka dorongan dan galakan yang sesuai dapat diberikan. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh memaksa anak untuk mengikut hala tuju yang telah kita tetapkan tetapi kita boleh membimbing mengikut minat dan kecenderungan yang mereka ada.

Selamat Maju Jaya anak-anak buah ku...semoga kamu semua terus cemerlang dalam bidang masing-masing.

- tempua.siber -

No comments: