Wednesday, June 3, 2009

Sebuah Nilai Dalam Satu Sambutan Kecil


KEJUTAN! Tidak…bukan lagi kejutan buat tempua bila perancangan ahli keluarga untuk meraikan tempua sempena sambutan ‘Birthday’ telah dapat dihidu oleh tempua.

Semuanya secara kebetulan apabila jangkaan mereka yang tempua akan balik lewat ke rumah meleset sama sekali. Dan yang lebih mengharukan lagi bila secara kebetulan juga tempua berselisih dengan perancang utama di Pekan ketika hendak pulang ke rumah selepas waktu bekerja. Maka timbullah syak bila semua anak buah pun ada dalam kereta tersebut. Apa kes!

Walaupun kejutan tak berapa nak menjadi, tapi dari sudut hati yang paling dalam…tempua berasa sungguh terharu dengan komitmen yang telah mereka tunjukkan dan berikan untuk menjayakan majlis yang kecil dari segi sambutannya tetapi amat besar dari sudut nilainya. It touches my heart and soul.

Hasil pengemblengan tenaga mereka semua maka terhidanglah beberapa menu yang sungguh menyelerakan. Antara menu yang telah dibuat khas oleh mereka :

Keluarga Kak Long – Roti Jala, Kari Nangka + Kerang, Bihun Tom Yam, Biskut Corn Flakes Bercoklat Kacang, Kuah Gula Durian, Karipap.

Keluarga Kak Nah – Satay Ayam + Daging + Perut, Kek Coklat

Secara peribadi, tempua tidak berharap akan sambutan ini. Bukannya tidak bersyukur dengan apa yang telah mereka usahakan, cuma adanya mereka disisi tempua dan menjadi sebahagian dari merekapun sudah menjadi kebanggan dan cukup bermakna.

Dalam hal keakraban kami adik beradik dan juga dengan anak-cucu buah ini, jutaan terima kasih harus diberikan kepada Allahyarham ayahanda dan juga bonda yang berjaya mendidik kami dan mengisi jiwa kami dengan nilai-nilai kekeluargaan. Pastinya legasi ini akan diteruskan ke generasi seterusnya. InsyaAllah.

Apa yang nyata, sikap tolak ansur banyak membantu kami dalam membina sebuah perhubungan yang mesra. Berselisih pendapat dan bermasam muka pasti ada, tetapi ianya tidak akan berpanjangan kerana pasti ada yang akan beralah.

Tempua masih ingat lagi satu kejadian di mana ketika hendak makan tengahari, kak long ada bergurau tentang badan tempua yang semakin naik bagai dipam-pam. Ketika itu tempua macam orang kemaruk makan. Dek kerana guraun itu, tempua terasa hati dan terus masuk bilik. Tak jadi nak makan. Jiwa mudalah katakan. Memberontak dan pantang ditegur.

Kalau nak diikutkan, boleh saja mereka biarkan tempua merajuk kerana ternyata tempua yang mencari pasal. Akan tetapi, kak long datang mengetuk pintu sambil menangis-nangis menyuruh tempua makan dan berjanji tidak akan ulang bergurau seperti itu lagi.

Kak long tahu, benda kecil tu akan reda dengan sendirinya, tetapi dia sanggup ketepikan egonya sebagai seorang kakak untuk meminta maaf kepada adiknya. Sepatutnya tempua yang bersalah ini meminta maaf kepadanya. Banyak lagi kejadian yang kalau difikirkan semula kebanyakannya adalah salah tempua sendiri.

Beralahnya kak long kepada adik-adiknya bukan bererti dia kalah atau lemah mahupun bersalah. Pada moralnya, dia telah memenangi hati kami.

Terima kasih juga diucapkan kepada abang-abang ipar yang selama ini sangat sporting, supportive dan memberikan kerjasama yang baik dalam setiap perkara. Mereka boleh dibawa berbincang dan sentiasa bersedia untuk memberi pertolongan setakat yang termampu.

Terima kasih juga kepada Maxis kerana memberi bonus panggilan suara percuma ke talian Maxis yang lain sempena hari lahir walaupun untuk tempoh tidak sampai sehari (kerana sms memaklumkan bonus tersebut diterima jam 6.30 petang). Tentunya tempua memanfaatkannyakan sebaik mungkin dengan menghubungi ahli keluarga yang tidak dapat turut serta dan juga sahabat handai yang menggunakan talian Maxis juga. He he he...

Amatlah diharapkan agar yang setiap yang baik itu akan terus berpanjangan dan berkekalan. InsyaAllah.

- tempua.siber -

No comments: