Friday, April 3, 2009

Dari Kacamata Tempua


Terlebih dahulu TAHNIAH diucapkan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 semalam (Jumaat, 03-04-2009). TAHNIAH juga kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mendapat perdana menteri yang baru selepas Pak Lah melepaskan jawatannya. Maka, lengkaplah sudah teori RAHMAN yang secara kebetulannya merupakan pangkal nama keenam-enam perdana menteri Malaysia.

Tempua bukanlah arif dalam bidang politik tetapi tempua ambil tahu juga perkembangan semasa senario politik di Malaysia. Secara dasarnya, transisi peralihan kuasa yang berlaku antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib berjalan lancar sebagaimana tradisinya. Ini merupakan satu kesinambungan yang baik dan amatlah diharapkan agar kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Najib akan cemerlang dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Ironinya, untuk melepaskan sesuatu jawatan bukanlah suatu perkara yang mudah. Berapa ramai ahli politik dunia yang boleh melakukannya? Dalam hal ini, tempua tabik hormat kepada Pak Lah. Walaupun pentadbirannya dalam tempoh yang singkat, tetapi banyak perubahan dan ide-ide bernas yang telah direalisasikannya untuk kemakmuran rakyat dan kemajuan negara. Pak Lah lembut tetapi tegas. Senang didampingi dan berjiwa rakyat. Jasamu dikenang Pak Lah.

Yang pastinya kepimpinan baru tidak boleh leka dalam misi memajukan negara. Bukan masanya untuk 'berbulan madu'. Di tengah kegawatan ekonomi yang melanda dunia, Datuk Seri Najib berhadapan dengan situasi yang agak sukar dan tentunya segala perubahan dasar yang dilakukan perlu mendapat keyakinan rakyat agar perubahan yang akan dilakukan seterusnya, sepanjang pentadbiran beliau tidak akan dipertikaikan nanti. Tanggapan pertama rakyat adalah penting. Kedengaran agak sukar tetapi tidak bermakna ianya tidak dapat dicapai. Datuk Seri Najib perlu berani dan tegas dalam membuat setiap keputusan.

Pengalaman luas dalam soal pentadbiran negara memberi banyak ruang kelebihan kepada Datuk Seri Najib untuk bertindak cemerlang dan ini tentunya tidak boleh dilakukannya berseorangan tetapi perlu kepada gabungan pasukan kerja yang mantap dan sedia berkhidmat setiap masa. Tan Sri Muhyiddin Yasin merupakan calon yang tepat dan semoga barisan kabinet yang dibentuk nanti juga membuka satu lembaran baru dan seterusnya mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia. Mungkin tidak semua tetapi haruslah dalam majoriti yang besar.

Apapun, sebagai rakyat kita harus faham yang bukannya senang dan mudah untuk menjadi orang No. 1 negara. Ianya bukanlah satu tugas yang enteng dan untuk memuaskan hati semua pihak adalah mustahil. Kadang-kadang kita dijentik oleh emosi, rasa dan fahaman yang sempit. Maka tindakan melulupun diambil tanpa memikirkan risikonya. Sebagai rakyat, kita harus berfikiran terbuka dan sama-sama berjuang demi kemakmuran dan kestabilan negara tercinta.

Bukannya kita tidak boleh mengkritik dan memberi pendapat atau pandangan, tetapi haruslah melalui saluran yang betul supaya setiap rungutan dan kritikan kita didengari seterusnya dapat diperhalusi. Jika ianya memang memberi manfaat kepada semua, pastinya akan dipertimbangkan. Jadi berilah ruang kepada Datuk Seri Najib menjalankan tugasnya. Bukankah setiap pemimpin itu perlu ditaati selagi dia tidak menyuruh rakyatnya membuat perkara mungkar yang bertentangan dengan ajaran Islam!

Selamat bertugas Datuk Seri Najib.

- tempua.siber -

Tuesday, March 17, 2009

Family Day 2009


Polo Air



AEIOU



Cap Keli Cap



Setahun sekali berkumpul beramai-ramai satu keluarga memang menyeronokkan. Bila disebut berkumpul di sini, Hari Raya (Aidilfitri & Aidiladha) dan majlis kenduri kendara dikecualikan.

Berkumpul yang tempua maksudkan di sini ialah Hari Keluarga di mana semua anggota keluarga berhimpun beramai-ramai dan bercuti ke satu lokasi percutian sambil melakukan aktiviti riadah yang telah dirancang. Ianya memerlukan komitmen semua ahli keluarga kerana tarikh yang dipersetujui untuk berkumpul itu mestilah satu tarikh yang sesuai. Seelok-eloknya musim cuti persekolahan. Yang bersekolah atau sedang melanjutkan pelajaran tak perlulah ponteng sekolah/kuliah kerana ianya merugikan. Manakala yang yang bekerja pula boleh mengambil cuti pada tarikh berkenaan.

Baru-baru ini (14 & 15/3/09) tempua bersama lebih kurang 35 ahli keluarga telah bercuti di pantai peranginan Port Dickson. Percutian ini telah dirancang 2 bulan lebih awal kerana ia membabitkan ramai ahli. Itupun ada 6 ahli keluarga yang tidak dapat hadir kerana komitmen kerja dan kuliah yang tidak dapat dielakkan. Biasalah, hendak menyatukan kesemuanya sekali bukannya senang. Tema kali ini ialah...Mesraaa!!!

Sebelum percutian, kami sekeluarga telah membuat 2 kali mesyuarat yang tidak rasmi (kerana ramai ahli yang tak dapat hadir) untuk membincang dan membahagikan tugas-tugas. Walaupun nampak remeh, tetapi bagi kami, kelancaran dan keselesaan sepanjang percutian adalah aspek yang sangat penting. Lagipun secara tidak langsung, mereka yang telah ditugaskan untuk membuat sesuatu akan dididik supaya mengambil bahagian dan bertanggungjawab dalam perlaksanaan tugas sekaligus dapat mewujudkan satu rasa yang mereka juga sebahagian dari anggota keluarga dan kehadiran mereka diperlukan. Bukankah itu matlamat utama untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan?!

Setelah berbincang, maka tersenarailah tugas-tugas seperti AJK BBQ (Membakar), AJK Makan (Makan Tengahari/Sarapan), AJK Air, AJK Keselamatan, AJK Permainan, AJK Kebersihan dan beberapa AJK lain lagi. Setiap AJK ada 3 atau 4 orang yang akan melaksanakan tugas yang ditetapkan. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Kami juga berbincang tentang menu untuk BBQ dan siapa yang sudi ‘sponsor’ makan tengahari pada 14/3/09. Setelah bermesyuarat ada 4 keluarga yang akan membawa juadah untuk makan tengahari iaitu :

Keluarga Mak Long : Sambal Udang, Ikan Bilis Goreng + Petai, Ayam Masak Cili Padi, Nasi
Keluarga Mak Lang : Asam Pedas, Tom Yam, Nasi
Keluarga Pak Andaq : Sandwich Tuna, Nasi
Keluarga Induk : Otak-Otak 200 keping, Popia Sayur

Manakala menu BBQ pula semua sepakat untuk menggunakan dana keluarga yang dikumpul setiap bulan. Antara menunya ialah 3 kilo udang, 3 kilo sotong, 6 ekor ikan tilapia, 8 ekor ikan cencaru, 40 kepak ayam, 2 bungkus sosej koktel, 6 keping lamb chop yang telah siap diperap, 3 bungkus isi ketam, sebiji tembikai, 2 biji tembikai madu dan lain-lain makanan ringan.

Bila semuanya telah dipersetujui, nak buat kerjapun senang. Betul tak? Betul..betul..betul...Haaa….dan yang tidak kurang pentingnya juga, setiap keluarga telah dibekalkan dengan jadual atau aturcara program. Ini juga menyenangkan mereka supaya setiap acara berjalan mengikut perancangan dan semua ahli keluarga akan tahu bila hendak berkumpul.

Sampai masa yang ditetapkan, semua keluarga berkumpul di rumah Mak Long. Lebih kurang pukul 10.00 pagi (14/03/09) setelah semuanya meng-aminkan bacaan doa supaya perjalanan diberkati maka perjalanan konvoi ke Port Dickson dengan 7 buah keretapun bergerak.

Seperti yang dirancangkan, lebih kurang pukul 11.00 pagi sampailah di resort yang telah ditempah. Walaupun ‘check in’ sepatutnya pukul 3.00 ptg, tetapi atas budi bicara pihak resort, kami dibenarkan mengambil kunci apartment lebih awal.

11.30 pagi semuanya berkumpul di tepi pantai untuk memulakan acara pantai. Antara acaranya ialah, mandi manda, main bola tamper, polo air, main baling tin, cap kelicap dan aeiou. Semuanya sporting dan memberikan kerjasama dalan setiap acara.

Lebih kurang pukul 1.30 tengahari, makan tengahari di tepi pantai sambil menyambut hari lahir 6 anggota keluarga yang jatuh pada bulan Mac. Disamping itu diselitkan juga persembahan khas pembacaan sajak oleh dua orang anak buah perempuan yang berumur 18 tahun. Selesai makan tengahari...acara pantai disambung semula.

Pukul 3.00 ptg semua naik bilik untuk berehat dan bersembahyang.

Pukul 4.00 ptg acara di kolam renangpun bermula. Antara permainan yang dibuat ialah polo air, berenang, menyelam, cap kelicap dan berlawan sambil di dukung dibahu. Yang bestnya, orang-orang yang ada di situ dok ralit tengok kami semua buat permainan tersebut.

6.30 – 8.00 malam masa untuk mandi, solat, berehat. Tapi ada juga yang cari nasi tengahari tadi. Laparlah katakan....

8.00 – 11.00 malam Majlis BBQ di tepi pantai. Walaupun cuaca pada petangnya agak mendung dan hujan renyai, Alhamdulillah...majlis bbq selamat dan berjalan lancar. Yang meriahnya, BBQ pit di resort tersebut di letak berdekatan antara satu sama lain. Jadi suasana malam tu seperti pesta bila pengunjung-pengunjung lain juga buat bbq. Di sebelah kanan kami sekumpulan anak muda dari kaum India dan disebelah kiri pula anak muda dari kaum Cina. Memang Malaysia habis. Yang anak muda Cina tu terkial-kial nak hidupkan api untuk jadikan bara. Pak Long dengan ramah telah tolong hidupkan api mereka. Spontan tapi memang menarik. Di sepanjang pantai tersebut memang meriah kerana BBQ pit di tanda dari A – Z. Kami mendapat BBQ bertanda J.

Kami siap awal kerana turun awal. AJK membakar telah menjalankan tugas dengan efisien. He he he. Oleh kerana masih ada bara lagi, kami berikan bbq pit kami kepada keluarga Melayu yang baru nak mulakan BBQ nya pada pit bertanda I. Sekurang-kurangnya mereka boleh membakar dengan cepat bila gunakan dua BBQ pit. Kami juga berikan ayam dan udang yang siap dibakar kepada pengawal yang menjaga di pintu masuk resort tersebut.

Esoknya awal pagi lagi, AJK yang ditugaskan untuk sarapan pagi telah keluar mencari sarapan di warung yang berdekatan. Kami berkumpul di Apartment Mak Long untuk bersarapan beramai-ramai. Lebih kurang pukul sembilan pagi, semua terjun semula ke kolam renang hinggalah ke pukul 11.00 pagi. Yang mula-mulanya tak mahu mandi, sebab malas nak tukar pakaian terus terjun kolam bila nampak Mak Long dan Mak Langnya join aktiviti dalam kolam. Bila dua-dua otai ni dah masuk...lagilah gamat suasana. Bila lagi nak buli dia orang kan?! Time inilah kesempatan yang baik. Hehehe. Alaa..setakat kena benam ti biasalah. Kan kan kan.

11.00 – 12.00 tengahari adalah masa untuk bersiap dan mengemaskan semua barang-barang untuk pulang. Semuanya berjalan mengikut jadual yang telah dirancangkan.

Dalam perjalanan pulang, konvoi 7 buah kereta singgah di teluk Kemang untuk menikmati makan tengahari. Kena cari warung yang banyak kerusi/meja kosong. Ialah, 35 orang nak makan. Lagi satu, kena ’order’ semua sama. Kalau ’order’ lain-lain, alamatnya jenuh nak tunggu...jadi kami semua sepakat makan nasi goreng ayam sebanyak 16 orang..dan selebihnya makan nasi goreng kampung. Air semua pesan satu warna. Air merah. (Air sirap daaa….) Senang kan!!

Begitulah rentetan serba ringkas yang tempua dapat coretkan. Mungkin boleh jadi panduan atau memberi sedikit ide kepada anda. Yang penting, semuanya seronok. Dan budak-budak dapat bermesra dengan sepupu mereka yang kadang-kadang setahun sekalipun susah nak jumpa. Inilah peluang untuk mereka bertukar-tukar cerita danyang pasti pengalaman ini akan mereka bawa sehingga mereka dewasa.

Tapi satu saja yang tempua terlupa nak pakai atau beli. Ini tersangatlah penting. Kalau dah duduk di tepi pantai tu, janganlah lupa pakai ’Sun Block Cream’. Sekarang nie, tempua menderita di kulit muka yang macam udang kena bakar dan mengelupas. Uwaaa........

Tengah Plan Family Day 2010. Dengar khabar nak buat di Cameron Highlands.

- tempua.siber -

Sunday, March 1, 2009

Kenangan Mengusik Jiwa


Sekarang ni kalau nak pergi berkelah atau mandi-manda, banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Anak-anak kecil sebut sahaja nak bercuti di mana, pasti mak bapa dia orang akan bawa mereka bercuti.

Tempua dulu nak sebut pergi berkelahpun jarang. Ialah, tempua faham situasi dan keadaan pada masa itu. Tapi naluri kanak-kanak (masa tu sekolah rendah) untuk bermain air mengatasi segalanya. Jadi, untuk melepaskan kegianan naluri nak berenang atau berendam, kami geng-geng kampong mandilah di taliair.

Taliair tu terletak ditengah-tengah sawah antara kampong tempua dengan kampong seberang. Ada jambatan penghubung dan memang strategik lokasinya. Kebetulan pula kawasan bermain bola dekat situ juga, jadi senanglah nak berkumpul ramai-ramai.

Jadi bila ada saja kelapangan, lebih-lebih lagi selepas hujan, ramai-ramai pakat tuju kat taliair tersebut. Nak mandi kena diam-diam. Tak boleh nak heboh kat mak bapa. Naya. Dia orang memang tak bagi mandi di taliair tersebut sebab ialah..airnya keruh. Entah kaca, kayu tajam atau benda-benda asing yang boleh memudaratkan nanti. Tapi dah namapun budak-budak. Mana nak dengar nasihat orang tua. yang dilarang itulah yang dibuat. Pandai mandi..pandailah simpan rahsia. Kononnyalah.

Nak dijadikan cerita, suatu hari tu ayah tempua lalu ikut jambatan itu dengan kawannya yang rumahnya di seberang. Kawan-kawan dah heboh. Dia tahu macamana ayah tempua. Garang. Dari jauh lagi dah cari tempat sembunyi. Celah tebing. Jantung berdegup kencang ni. Takut. Naya di ligannya kalau dia nampak. Malu kat member. Dia memang pantang anaknya mandi di taliair tu.

Masa dia pergi tu selamat. Dia tak perasan apa-apa. Budak-budak lain dia tak kisah nak mandi kat situ dan budak-budak tu pun tak kisah kalau ayah tempua nampak dia orang mandi. Cuma tempua je lah kena waspada.

Masalahnya pula, masa dia nak balik tu, dia lalu semula di jambatan tersebut. Tempua memang dah nyuruk siap-siap. Malangnya ada seorang budak (masa tu dia kcil lagi) dah bagi tahu yang tempua ada mandi di situ. Tapi ayah tempua buat tak tahu jer..terus berjalan. Mungkin dari ekor matanya dia pandang-pandang juga.

Fuhh..selamat sekali lagi. Tempuapun teruskan mandi. Bila nak balik, pastikan mata tak merah (sebab menyelam buka mata), rambut tak basah dan badan takder kesan Lumpur kering melekat. On the way balik, sempat panjat pokok jambu batu belakang rumah jiran. Siaplah bawa 2,3 biji untuk adik dan sebagai bukti yang tempua main kat kawasan dekat-dekat tu je.

Balik jer tempua nampak ayah tengah duduk atas kerusi malas. Tempua masuk rumah buat biasa jer. Tup-tup dia tanya :

“kau pergi mana tadi?”

Berderau darah tempua. “Orang main kat belakang rumah mak long, amik buah jambu” sambil tunjukkan buah jambu yang tempua bawa.

“Kau cakap betul-betul. Jangan bohong” ayah sergah lagi. Kali ni suara dia makin tinggi.

Airmata dah mulalah bergenang kat kelopak mata ni. Memang kantoi ni. Sah-sah dia nampak, atau dia serkap jarang. Lagi pula mungkin dia percaya kata budak yang bagi tahu tempua ada mandi kat situ.

“Cakap betul-betul…jangan tipu” lagi sekali disergah. Time macam ni, mak tempua memang tak kan masuk campur. Siapapun tak boleh tolong bila macam ni.

Tempua diamkan diri. Nak bohong lagi..nahas nanti. Nak kata pi mandi kat taliair tu, lagilah nahas. Jadi nak tak nak..diam berdiri membatu. Tangan dah mula kesat air mata. Kot-kot nanti bila macam tu adalah simpatilah sikit.

Bila ayah tempua tengok tempua diam jer maksudnya betullah tempua pi mandi tu. Dia pun cakap…

“Kau pi amik rotan tu…bawa sini”

Macam tulah selalunya kalau dia nak rotan anak-anak. Dia suruh kita pergi ambil rotan/kayu yang dia letakkan di dinding. Nak tak nak tempua pilah ambil. Habislah…memang kena ni.

Tempuapun jalan macam takda kepala lututdah pi ambil rotan tu. Rasa nak pengsan pun ada. Tapi jambu batu masih ada pegang lagi tu. Bila dah bagi rotan kat ayah..dia suruh tonggeng punggung. Dia nak sebat kat punggung.

Sambil nak hayun rotan tu dia cakap.. “Nak buat lagi tak..Nak buat lagi tak?”

Tempua yang dah gigil ni terus meraung dan cakap “Tak....janji tak mandi lagi situ”

“Nah..letak balik rotan ni. Buat lagi….siap”.

Puhh..lega dia tak rotan. Dia gertak dan acah-acah sahaja. Tempua letak rotan, terus masuk lam bili. Tido. Macam tulah bila dah kena marah. Tempua mesti pi tido.

Macam itulah cara ayah tempua mendidik anak. Dia sukar nak jentik anaknya kalau tidak kena caranya. Dia lebih banyak gertak dan bagi amaran. Walaupun amaran tu dah berkali-kali. Tapi Alhamdulillah…caranya berkesan sebab lepas dari itu, tempua memang tak mandi lagi taliair tersebut. Pergi memang pergi sebab nak main bola atau lepak-lepak kat jambatan t. Cuma tengok ajelah kawan-kawan mandi buat aksi-aksi terjun. Walaupun mereka pujuk….perasaan takut masih menebal dan tak nak kepala lutut dan punggung tempua tercabut kena rotan nanti.

Sekarang nie kawasan tempat kami mandi tu dah semakin mengecil dan cetek. Takda lagi jambatan menghubungkan taliair tersebut kerana sudah menjadi sawah terbiar. Terbaru kawasan tersebut telah diambil oleh kerajaan untuk membuat projek tebatan banjir.

Maka lenyaplah segala bukti bahawa tempat tersebut telah menjadi taman permainan kami. Mungkin ia lenyap dipandangan mata, namun dalam hati kami, kenangan ini terus membara dan akan terus dikenang kerana zaman kanak-kanak terlalu indah untuk dilupakan.

- tempua.siber -

Friday, February 13, 2009

Jika Wanita Umpama Ikan...

Jika wanita umpama ikan...



Ikan Salmon
Bentuknya indah, dagingnya enak dimakan. Berkualiti tinggi, bernilai dan mahal. Ini boleh diumpakan seperti wanita bekerjaya.




Ikan Arowana
Cantik dibuat hiasan. Angkuh dan sombong. Mahal. Liuknya lemah gemalai memancing mata yang memandang. Ini boleh diumpakan seperti artis/selebriti/model.




Ikan Emas
Cantik juga dibuat hiasan. Warnanya indah. Liuk lintuknya juga lemah gemalai. Sayangnya ia hanya boleh dilihat dan dikagumi. Tidak boleh dimakan. Ini kategori isteri orang.




Ikan Bandaraya
Ini jenis ikan murah. Selalu menempel di dinding kaca aquarium. Boleh didapati di mana-mana. Kalau dah menempel, susah dia nak lepaskan. Macam gam. Ini umpama perempuan yang suka menempel pada lelaki kaya.




Ikan Keli
Ikan ini juga murah. Boleh didapati di mana sahaja. Selalu dijual di tepi jalan tetapi harus berhati dengan sengatannya yang bisa. Ini seperti perempuan tepi jalanan.




Ikan Bilis
Bentuknya gitu-gitu sahaja. Selalunya sedap dimakan bila tiada lauk lain. Ini seperti Bini Sendiri.

Hehehe..tak bolehlah macam tu kan. Walaupun seorang isteri tu umpama ikan bilis, tetapi dialah yang memberi kehidupan yang sebenar-benarnya kehidupan kepada kita. Dialah yang banyak berkorban kepada sebuah keluarga. Dialah yang bersusah payah dan bersengkang mata dan sanggup bersama-sama dalam apa juga keadaan. Hargailah isteri anda!

- tempua.siber-

Tuesday, January 27, 2009

Yang Namanya Perjuangan...


Rakyat Palestin bukan sahaja berjuang untuk membebaskan negaranya dari ancaman Israel malah lebih hebat lagi, perjuangan untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang serba serbi kekurangan.

Bayangkan apabila banyak kemudahan asas yang musnah dibedil, kehilangan tempat untuk berteduh, dan lebih menyayat hati lagi kehilangan ahli keluarga, rasa-rasanya separuh dari semangat untuk meneruskan hidup juga ‘hilang'
.

Andai kita kehilangan telefon bimbit sekalipun kita dah mula tak keruan. Serba serbi tak kena dan mungkin menangis, bayangkanlah pula apabila mereka kehilangan nyawa orang yang disayangi. Tidak boleh dibeli dan diganti. Kehilangan pula dalam keadaan yang tragis. Tentunya meninggalkan kesan trauma yang makan masa untuk pulih ataupun mereka mungkin menanggungnya seumur hidup.

Tetapi yang pastinya mereka cukup tabah menghadapi semuanya itu dengan tenang. Perjuangan untuk mereka meneruskan kehidupan lebih tebal lagi. Semangat mereka untuk menghirup udara sebagai sebuah negara yang bebas dari ancaman rejim Zionis tak pernah pudar. Malah jika kita membaca akhbar, ada wanita-wanita yang ingin teruskan perkahwinan walaupun negara dalam keadaan tidak tenteram kerana hendak melahirkan lebih ramai pejuang-pejuang masa hadapan.

Kita yang berada dalam sebuah negara yang aman damai juga perlu ‘berjuang’ untuk terus mengekalkan kedamaian dan keamanan yang telah kita kecapi ini. Rasa hormat dan saling bekerjasama antara kaum haruslah ditingkatkan dan persefahaman perlu dipupuk sedari kecil.

Setiap warga Malaysia tidak boleh leka dan ambil mudah dengan keamanan yang sedia ada ini. Kita perlu sayangi dan hargai kemerdekaan yang telah kita kecapi. Jangan gadaikannya hanya kerana ketidakpuasan hati sesetengah pihak yang sering menangguk di air keruh. Banyak cara dan saluran yang boleh kita gunakan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati. Kita berhak bersuara…tapi perlulah kena caranya.

Kita perlukan kebebasan seperti seekor burung yang terbang bebas di angkasa. Bukannya burung yang terkurung di dalam sangkar. Walaupun pandangannya terlepas tapi jiwanya tetap terkurung.

- tempua-siber -

Thursday, January 15, 2009

Are You Smarter Than 7 Years Old Kids? Try This!!


Below are four (4) questions and a bonus question. You have to answer them instantly. You can't take your time, answer all of them immediately. OK?

Let's find out just how clever you really are....

Ready? GO!!!


First Question:
You are participating in a race. You overtake the second person. What position are you in?

Answer:
If you answered that you are first, then you are absolutely wrong! If you overtake the second person and you take his place, you are second!

Try not to screw up next time.

Now answer the second question, but don't take as much time as you took for the
first question, OK?

Second Question:
If you overtake the last person, then you are...?

Answer:

If you answered that you are second to last, then you are wrong again. Tell me, how can you overtake the LAST Person?

You're not very good at this, are you?

Third Question:

Very tricky arithmetic! Note: This must be done in your head only. Do NOT use paper and pencil or a calculator. Try it.

Take 1000 and add 40 to it. Now add another 1000. Now add 30. Add another 1000. Now add 20. Now add another 1000. Now add 10. What is the total?

Did you get 5000?

The correct answer is actually 4100.

If you don't believe it, check it with a calculator! Today is definitely not your day, is it? Maybe you'll get the last question right....Maybe.

Fourth Question:

Mary's father has five daughters: 1. Nana, 2. Nene, 3. Nini, 4. Nono. What is the name of the fift h daughter?

Did you Answer Nunu? NO! Of course it isn't. Her name is Mary. Read the question again!

Okay, now the bonus round:

A mute person goes into a shop and wants to buy a toothbrush. By imitating the action of brushing his teeth. He successfully expresses himself to the shopkeeper and the purchase is done.

Next, a blind man comes into the shop who wants to buy a pair of sunglasses;
how does HE indicate what he wants?

He just has to open his mouth and ask..It's really very simple....

He he he...so, jika kita fikir kita sentiasa bijak...lupakan sahaja kerana setiap hari pasti ada perkara baru yang boleh kita pelajari di sekeliling kita. Oleh itu, perlulah kita persiapkan diri dengan menuntut ilmu dan menggunakannya untuk kebaikan diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Ikutlah resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.

- tempua.siber -

Tuesday, January 6, 2009

Hargailah Perasaan Orang Lain


Suatu Hari.......

Dari kejauhan, lampu lalulintas di satu persimpangan itu masih menyala hijau. Harun segera menekan pedal minyak kenderaannya. Dia tak mau terlambat. Apalagi ia tahu penempatan di situ cukup padat sehingga lampu merah biasanya menyala cukup lama. Kebetulan jalan di depannya agak lengang. Lampu berganti kuning. Hati Harun berdebar
berharap semoga ia boleh melepasi lampu hijau itu dengan segera.

Tiga meter sebelum garis jalan, lampu merah menyala. Harun bimbang, haruskah ia berhenti atau terus saja.

"Ah, takkan nak brake mendadak," fikirnya sambil terus memandu laju.

Priiiiiiiiiiiiiiit!

Di seberang jalan seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun menepikan kenderaannya agak jauh sambil mengumpat dalam hati. Dari cermin pandang sisi ia melihat pegawai polis itu. Wajahnya tak terlalu asing baginya.

Jamal rupanya! Sahabat baiknya semasa di sekolah menengah dulu. Hati Harun agak lega. Dia cepat-cepat keluar sambil melambai mesra.

"Pekabo, Jamal! Lamanya tak jumpa...last jumpa masa aku kawen dulu"

"Aku baik je." Tanpa senyum.

"Alahai...aku ndak cepat nih. Bini aku dah lama menunggu di rumah."

"Oh ye ke?" Nampaknya Jamal ragu.

"Ye la Mal, hari ini bini aku punya birthday. Dia dan anak-anak sudah menyiapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu "

"Aku paham. Tapi, sebenarnya aku dah lama perhatikan kau...selalu sgt
kau langgar lampu merah di persimpangan ini."


Harun mesti ganti strategi.

"Jadi, kau nak menyaman aku ker? Tapi tadi aku tidak melanggar lampu
merah. Sewaktu aku jalan lampu kuning masih menyala."
Berdusta
sedikit boleh melancarkan keadaan fikir Harun.

"Ok. Sebenarnya aku nampak jelas. Tolong keluarkan lesen dan kad
pengenalan."


Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu Jamal menulis sesuatu di buku catatannya. Beberapa saat kemudian Jamal mengetuk kaca tingkap kereta harun. Harun memandang wajah Jamal dengan penuh kecewa.

Diturunkan tingkap sedikit saja.

"Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman." Fikir Harun.

Tanpa berkata-kata Jamal terus kembali ke tempat dia bertugas. Harun mengambil surat saman yang diselitkan Jamal.

Tapi, hei apa ini. Ternyata lesen memandu dan ic dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa ia tidak menyaman aku. Lalu nota ini apa? Semacam gurauan atau apa?

Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Jamal.

------------ --------- --------- --------
"Harun...

Kau tahu kan aku dulu ada seorang anak perempuan dan seorang isteri yang
cantik. Sayang, mereka sudah meninggal dunia.

Dilanggar pemandu yang tidak memperdulikan lampu merah di persimpangan ini.

Pemandu itu dihukum penjara selama 3 bulan. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga2 anaknya lagi.

Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi.

Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar.

Begitu juga kali ini bila sahabatku sendiri memandu seperti pemandu itu. Aku kecewa teramat sgt.

Berhati-hatilah ketika memandu Run" - Jamal

------------ --------- --------- --------

Harun terkedu. Ia segera keluar dari kenderaan mencari Jamal. Namun, Jamal sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas.

Sepanjang jalan pulang ia memandu perlahan dengan hati tak tentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan.

Tak semestinya anggapan kita adalah sama dengan pengertian orang lain.

Boleh jadi suka kita adalah duka rakan kita.

Hidup ini sangat berharga, jalanilah dengan penuh hati-hati, mengerti perasaan orang lain dan bertimbangrasa.

Begitulah ceritanya yang diambil melalui e-mail yang dihantar oleh kawan. Ceritanya mudah sahaja, tapi ianya cukup memberikan seribu kesedaran untuk kita fikir dan renungkan.

Bila kita sedang bergembira hari ini, ingatlah pada mereka yang berada dalam kesedihan.

- tempua.siber -