Friday, November 7, 2008

Tuhan Itu Maha Adil


Dalam kehidupan kita sering diduga dengan pelbagai musibah dan kesulitan. Kadang-kadang kita mengeluh dan hampir putus asa dengan cabaran yang datang walaupun kita tahu yang setiap dugaan itu datangnya dari Allah.

Seringkali terpacul ayat-ayat yang tidak sepatutnya kita keluarkan seperti “Kenapalah aku yang menerima ini semua? Kenapa tidak orang lain...”. Tempuapun seringkali berfikir demikian. Tapi kenapa pula kita nak lari dari dugaan tersebut dan menginginkan orang lain pula memikulnya?

Bila difikir-fikir semula, sebenarnya setiap manusia itu ada masalahnya yang tersendiri. Tuhan itu maha adil. Kita tak boleh menilai atau melihat manusia sekeliling kita dari perspektif luarnya sahaja. Disebalik kekurangan ada kelebihan. Mana mungkin manusia sempurna dan bebas dari masalah?!

Cuma, yang perlu dan harus kita akui ialah, lagi dekat seseorang hamba itu kepada-Nya lagi besarlah rintangan dan dugaan yang Dia berikan. Itukan semua ujian! Tuhan takkan menganiaya hamba-Nya.

Mungkin kita diduganya dengan masalah kesihatan, orang lain mungkin dari segi kewangan atau masalah dalam perhubungan. Mungkin dia kaya tapi kesihatannya tidak stabil. Mungkin dia miskin tapi mempunyai keluarga yang bahagia. Mungkin dia ada segalanya tapi hidup dalam kesepian. Dan macam-macam kemungkinan lagi.

Persoalannya sekarang ialah adakah kita dapat tempuhi segala dugaan dalam kehidupan ini dengan redha dan tabah? Beruntunglah bagi mereka yang menghadapi segala ujian dari Tuhan dengan penuh keredhaan. Kenapa dia boleh dan kenapa kita tidak?! Mungkin jawapannya adalah tahap keimanan seseorang itu. Hanya dengan hati yang tulus ikhlas dan keimanan yang kuat sahaja yang tahu bahawa setiap dugaan itu pasti akan disusuli dengan hikmah yang tersembunyi.

Allah tidak memberikan kita pelangi di saat cuaca terang. Tidak juga memberinya dikala hujan lebat. Dia memberikan kita pelangi di saat cuaca yang cukup selesa dan dikala gerimis hujan turun membawa rahmat.

Disebalik dugaan dan keselesaan itu ada hikmah yang tersembunyi ditengah-tengahnya. Hanya yang tahu sahaja akan menerima setiap ujian dari Allah dengan penuh kesabaran. Dan untuk mencapai ke tahap itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana sebagai manusia yang selalu leka dan alpa pasti sukar untuk melihat sesuatu itu dengan mata hati. Tapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang mendapat Rahmat. InsyaAllah.

- tempua.siber -

No comments: