Monday, July 27, 2009

Tempat Jatuh Lagi Dikenang...


Setiap kali membuat keputusan, pastinya kita berhadapan dengan pilihan. Kadang-kadang rasa 'sesak nafas' juga bila nak buat pertimbangan. Tapi keputusan harus dibuat walau sesukar manapun pilihan. Kita tiada pilihan melainkan membuat pilihan.

Sebagai umat Islam, bila berhadapan dengan situasi begini adalah lebih baik kita memohon petunjuk Allah. Sembahyang Istikharah adalah cara yang terbaik untuk memohon petunjuk dariNya seterusnya dipermudahkan dalam membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Begitulah juga yang sedang dihadapi tempua. Selama sebulan ini tempua berada dalam dua persimpangan. Jalan mana yang harus dipilih? Pastinya jalan yang membawa ke destinasi impian.

Ahh..payahnya nak berkias-kias ni. Sebenarnya tempua dahpun buat keputusan untuk berhenti kerja di syarikat lama kerana mendapat tawaran di syarikat baru. Bidang tugas masih sama, cuma bila seseorang pekerja itu berpindah, sudah pastilah tawaran yang diterimanya dari syarikat baru lebih menarik.

Tapi hakikatnya keselesaan bekerja dan kepuasan itu lebih penting dari habuan. Ya, memanglah kita bekerja kerana untuk mendapatkan gaji yang besar, jawatan yang besar dan macam-macam faedah yang besar lagi. Tetapi akhirnya…kepuasan kita bekerja juga perlu diambil kira.

Di sini, sudah lebih 12 tahun tempua berkhidmat. Malah sudah lebih dari selesa dari segi kerja dan tugas. Cuma bila mendapat peluang lain, tempua terpaksa akur yang mungkin sudah sampai masanya tempua berubah angin...berubah suasana dan keluar dari zon selesa. Yang lebih penting sekarang ialah kesinambungan kerja dan jaminan sebuah kehidupan yang selesa walaupun tidak mewah.

Bukannya sepanjang 12 tahun itu tempua tidak pernah mendapat tawaran dari syarikat lain, tetapi pada ketika itu belum tergerak lagi hati untuk bertukar syarikat. Cuma, tawaran kali ini membuatkan tempua berfikir berkali-kali dan tiba-tiba dijentik satu rasa ingin bertukar angin. Mungkin sudah sampai masanya yang sesuai.

Ya…seperti yang dikatakan tadi, keputusan telahpun tempua buat. Memang payah tetapi kaki ini harus melangkah. Semakin hampir tarikh akhir, semakin sayu untuk meninggalkan kerusi dan bilik yang telah sinonim dengan bau tempua. Tetapi dalam kehidupan, sesuatu yang tidak disangkakan itulah sering menjadi kebetulan.

Buat pengurusan tertinggi syarikat, terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk tempua mengutip pengalaman dan skill dalam bidang pekerjaan. Segala tunjuk ajar dan nasihat pastinya akan dijdikan azimat. Begitu juga teman-teman sekerja, terima kasih kerana sudi memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh tempua berkhidmat. Jasa kalian pasti dikenang.

Betullah kata pepatah, tempat jatuh lagi dikenang…inikan pula tempat tempua mencari rezeki. Pastinya kenangan indah bekerja terpahat dalam kenangan.

Buat pengurusan dan teman sekerja di tempat baru, pastinya tempua akan berusaha lebih gigih untuk menjadi modal insan yang cemerlang dan dibanggakan.

Selamat Tinggal MCSB…Hai Hai ASRPSB

- tempua.siber -

2 comments:

pelangi said...

salam ramadhan al mubarak...rezeki ada dimana mana.

qaisaranadia said...

mane post utk raya??cpt r post...huhu