Monday, August 11, 2008

Nilai Sebuah Katil Merah Jambu

Pertama kali dapat gaji ialah ketika bekerja di kilang semasa menunggu keputusan SPM dulu. Punyalah riang. Ialah, dapat pegang duit hasil titik peluh sendiri…siapa tak bangga kan?. Bukan senang nak cari duit. Perit. Bila dah rasa payahnya barulah kita hargai setiap sen yang kita dapat. Sebelum ni, tahu minta dan tahu nak ada aje. Tak dapat mulalah muncung sedepa. Boleh digantung kuali. Tak pernahpun terfikir yang orang tua kita ada duit ke tidak! Kita tak peduli semua tu....

Bila dah rasai sendiri jerit payah untuk mencari duit. Insaflah kejap. Rasa menyesal pulak bila difikir semula. Betullah kata orang, kita kena rasai dulu baru kita boleh fahami sesuatu situasi. Setakat dengar nasihat, susah juga kita nak memahami secara total. Masuk telinga kiri...keluar telinga kanan.

Ok, kita letak tepi dulu kisah faham memahami tu.

Bila dah pegang duit, dompet dah kembung sikit (Alaa..dompet zip zap yang ada gambar snoopy tu...) macam-macamlah yang kita plan nak buat. Bukan banyakpun gaji tapi dia punya plan....masyaAllah, ngalahkan bergaji supervisor. Nak beli itu, nak makan ini...kalau ikut nafsu, silap haribulan boleh pinjam kat PaMa bank (pinjam kat mak bapak daa..) sementara tunggu gaji yang akan datang. Tapi, dalam banyak-banyak list benda yang nak dibeli tu, salah satunya ialah sebuah katil bujang.

Pergilah dengan sepupu ke kedai Bombay yang dia biasa berurusan. Belek punya belek, akhirnya berkenan dengan sebuah katil bujang (besi) yang berwarna merah jambu. Kenapa merah jambu??? Soalan tu tempua tak boleh nak jawab. Tak tahulah kenapa warna tu juga yang menjadi pujaan hati. Mungkin sedap mata memandang kot! Yang pasti itulah 'harta' pertama yang dibeli dari hasil titik peluh sendiri. Harganya...kalau tak silap RM 199.00. Katil tu keluaran terbaru (pada ketika itulah...sekarang ni dah outdated) yang di bawahnya ada lagi satu katil yang boleh disorong tarik.

Maka malam-malam berikutnya, tidurlah dengan lena diulit mimpi yang indah. Pagi-pagi kemas baik-baik. Benda barulah katakan. Mestilah dijaga baik. Kalau boleh, sarung tilam, sarung bantal semuanya nak warna sedondon. Warna pink. Kah Kah Kah.

Ironinya, katil itulah yang banyak berjasa sampai sekarang. Masih cantik lagi walaupun tak berapa nak utuh lagi. Di bahagian bawahnya, katil yang boleh disorong tarik itu tak pernah ada orang tidurpun sampailah sekarang. Sebagai ganti, sekarang ini bahagian tersebut dijadikan 'perpustakaan' sementara untuk menyimpan segala jenis buku-buku ketika belajar dulu. Dan yang paling syok nya pulak...katil yang bahagian atasnya, yang pernah menjadi tempat tidur paling empuk suatu waktu dulu dah tak bertilam. Tilamnya dah dihukum buang. Alahai...kesiannya.

Apapun, bila nak bermimpi indah-indah, sesekali tidur juga di atasnya. Walau tak bertilam, tapi keselesaannya dan ‘bau’ nya masih ada. Ketenangan tetap diperolehi bila berada di atasnya. Kerana apa?! Mungkin kerana tempua sangat menyayanginya dan ia mempunyai nilai yang tersendiri dalam hidup ini.

Cuba kita kaitkan kisah ini dengan kehidupan seharian. Kasih sayang memainkan peranan yang penting dari harta benda. Tetapi ramai yang lupa dan leka. Harta benda dikejar lebih dari kualiti kehidupan itu sendiri.

Jika kehidupan kita dilimpahi kemewahan tapi tiada kasih sayang, semuanya seolah-olah tidak bererti. Kosong. Tapi andai kita hidup dalam keadaan yang sederhana dan dilimpahi kasih sayang dalam keluarga mahupun dengan orang sekeliling, maka kualiti kehidupan kita akan meningkat. Benda yang kecil dan murahpun akan menjadi sangat berharga dan bernilai. Kerana kuasa kasih sayang melebihi segalanya.

Begitulah juga dengan katil berwarna pink tersebut...walaupun tidak seperti dulu lagi 'gagahnya' tetapi ia tetap menyimpan kenangan peribadi buat tempua kerana disitulah mimpi-mimpi indah menjadi permainan tidur. Sesungguhnya ia memberikan sentimental value yang tersendiri.

- tempua.siber -

No comments: