Thursday, July 31, 2008

Masa Lalu Pengaruhi Kita Hari Ini!!

Pengalaman bekerja sewaktu menunggu keputusan SPM memang menyeronokkan. Masa itulah pergaulan kita mula luas dan berkembang. Tak terhad kepada kawan sekampung atau sekolah. Frasa kehidupan pada ketika ini membolehkan kita bergaul dengan pelbagai latar belakang, rupa, warna kulit dan bangsa. Secara tidak langsung kita lebih peka dan memahami sensitiviti setiap individu dan cara berinteraksi sekeliling. Mata dan minda terbuka luas.

Tempua pun pernah melaluinya. Lepas sahaja peperiksaan SPM, terus cari kerja. Cuti lamalah katakan. Dulu mana ada PLKN. Kelas komputerpun terhad. Zaman-zaman wordstar, dbase III Plus dan lotus. Dah tak guna dah lagi perisian tu sekarang ini. Jadi untuk mengisi masa lapang...cari kerja-lah, dan kerja yang paling mudah dan senang nak dapat ketika itu – Kerja kilang. Tapi, kadang-kadang perlu skill 'berbohong’ juga untuk mendapatkannya. Nak hidup...biasalah.

Bukan bohong apapun. Cuma bohong kelulusan masa di interview. Masa mohon kerja tu, adalah dia bagi test. Memang mudah. Lepas tu masa interview tu dia bagi lagi soalan2 pecahan dan perpuluhan. Buat depan dia. Mungkin mereka sedikit ragu bila keputusan test sebelumnya cemerlang. Mungkin lah....

Ada 3 panel ketika itu. Sorang Cina, Jepun dan Melayu. Bila tempua buat dengan yakin dan betul pula jawapannya, mulalah dia ragu kelulusan tempua. Kenapa dia ragu?! Haaa, sebabnya masa isi borang, tempua letak kelulusan setakat tamat tingkatan 3 saja. Jadi dia pun soal lah betul ker tamat tingkatan 3. Kenapa berhenti. Jawapan standard ialah...tak mampu. Keluarga susah. Adik beradik ramai. Itu semua dah di ajar oleh geng-geng yang dah dapat dulu kerja. Cuma guna pakai jer jawapan standard tersebut. He he he..bijak....bijak.

Temberang berjaya, lakonan tip top. Muka kena buat toya atau kalau salah pandang nampak macam poyo! Lantaklah…kes darurat. Terpaksa..untuk kesinambungan hidup. Ye ke!

Esoknya terima panggilan yang mengatakan tempua berjaya. Maka pada 1/12 pada tahun tersebut bermulalah frasa baru kehidupan tempua. Bekerja di sebuah kilang milik Jepun sebagai store attendant. Gaji? Biasalah, banyak mana...tapi itu tak penting dan tak menjadi soalpun, sebab yang paling penting ialah dapat duit dan cari pengalaman. Baru nak pegang duitlah katakan.

Hari pertama kerja, dia bagi uniform dan kasut (sama macam kasut sekolah). Bila dah dapat briefing apa yang patut dan perlu, tempua di bawa oleh store manager (Cina yang jadi panel masa temuduga) ke store kilang bahagian shipping. Dia terangkan serba ringkas kerja yang perlu dibuat.

Hari pertama....dah rasa siksa. Letih dan dah nekad untuk berhenti kerja esoknya. Tak tahan rasanya. Macam ini rupanya kerja kilang! Kejutan budaya. Menyesal pun ada. Dah lah macam tu, kasut pula koyak bila terkena sanding mesin yang digunakan untuk mengangkat pallet (apalah nama benda Allah tu! - tak ingat). Sakit kaki..sakit hati..semuanya bercampur. Nekad nak berhenti. Tak dulik!

Setengah jam sebelum pukul 5, Store manager tadi datang dan bawa tempua ke tempat lain. Dia bawa ke tempat kerja yang sepatutnya. Ada kerusi dan meja. Masih lagi dalam store, tapi lebih selesa dengan hawa dingin. Sejuk sikit hati...tak jadi nak berhenti. Tukar fikiran. Nampak macam menarik jer. Kasut! Yer, balik jer dari kilang, tempua jahit sisi yang koyak tu. Nak minta tukar...malu jer nanti sebab baru jer pakai...dah koyak! Hulk ke apa!!

Maka bekerjalah tempua dengan dedikasi selama 3 bulan. Dapat confirmation letter pada bulan 3 tahun berikutnya. Kirakan tempua bekerja dengan cemerlang. Sepanjang berkeja tu, luaslah pergaulan dengan kawan-kawan. Tak kira umur dan bangsa. Memang pengalaman yang menyeronokkan. Cuma jodoh je tak panjang bila tempua dapat surat tawaran ke IPTA.

Tapi sepanjang bekerja tu, terserempak juga dengan panel interview yang Melayu tu (Dia bahagian HR rupanya), bila jumpa dia pasti tersenyum sinis...seolah-olah faham dengan temberang tempua masa interview dulu. Tempua hanya membalas dengan senyuman yang dibuat-buat. Kelat. Rasa bersalah! Oh idak..Cuma terasa tembelang dah pecah, atau mungkin dia tahu dari awal taktik budak-budak lepas SPM. Cuma dia bagi peluang pada tempua. Mekasih....

Masa masuk dulupun temberang...bila dapat offer IPTA tempua berhentipun cara temberang juga. 2-3 hari sebelum gaji masuk, tempua dah ponteng. Kata ada MC-demam mengejut. Tapi takderpun. Cuma 'terpaksa' temberang supaya gaji tempua tak ditahan. Tapi Asst. Store Manager yang menyelia tempua pada ketika itu ada call bertanyakan tentang MC yang agak lama. Mungkin dia macam syak. Tempua berterus terang dengan dia dan dia faham. Cool

Begitulah kisahnya. Kadang-kadang ada orang menyalahkan masa lalunya. Tapi bagi tempua, masa lalu tempua telah menjadikan siapa tempua hari ini.


- tempua.siber -

No comments: