Friday, September 5, 2008

Hebatkah Kita?!!

Kadang-kadang kita sering memandang rendah keupayaan orang lain. Mungkin tak semua yang mempunyai persepsi ‘Kita Lebih Bagus atau Hebat’ tetapi kebanyakan dari kita selalu berfikiran begitu.

Mungkin kerana manusia suka memperkecilkan keupayaan orang lain sehingga tidak nampak atau ‘dibutakan’! Atau kehebatan itu memang diukur dari segi kemewahan material, segulung ijazah dan kesempurnaan sebagai manusia yang berfikiran?

Memang benar, dalam kehidupan ini ada yang bijak, mewah dan sempurna sifat. Tetapi ada juga yang sebaliknya. Kurang bijak, miskin dan kurang upaya. Tidak semestinya kalau kita sempurna sifat kita boleh rasa hebat dengan mereka yang kurang upaya. Yang penting kita harus tahu yang setiap individu itu memainkan peranan yang penting dalam lingkungan mereka sendiri. Makna kata, walaupun mereka tidak nampak hebat di mata kita, tetapi ketahuilah yang mereka hebat tanpa kita sedari. Mungkin mereka hebat di kalangan ahli keluarga atau individu tertentu yang tahu akan keistimewaan yang mereka miliki.

Sebagai contoh, seorang pekerja biasa yang tamat tingkatan 3 akan kelihatan biasa-biasa sahaja dikalangan pekerja yang lain. Tiada apa yang hebat jika dipandang dari mata kasar. Orang yang ingin berkawan dengan diapun boleh dikira. Dalam pekerjaan, pantang silap sikit sering diherdik dan disalahkan.

Akan tetapi dikalangan ahli keluarganya, dialah yang boleh diharapkan. Dialah yang ada kereta dan pandai memandu kereta. Ibu, bapa dan adik beradiknya bergantung pada dia dalam apa juga masalah keluarga. Isteri dan anak-anaknya juga bergantung hidup dengan dia. Buah fikirannya sering kali diminta dan diguna pakai. Dia hebat dalam lingkungan keluarganya.

Lagi satu contoh ialah seorang yang kurang upaya dari segi mental tiba-tiba dimasukkan ke hospital beberapa hari akibat penyakit kencing manis. Esoknya ayam di reban ‘mengamuk’ sebab tak dilepaskan dan kemungkinan kelaparan. Kenapa jadi begitu?

Ini adalah kerana, semasa dia sihat, dialah yang selalu melepaskan ayam setiap pagi. Dialah yang beri ayam makan di petang hari. Kini disebabkan dia tiada, neneknya yang uzur tidak berdaya hendak melakukan itu semua. Dia hebat di mata neneknya. Walaupun dia tidak sempurna seperti cucunya yang lain tetapi dia tetap berperanan dalam lingkungan kehidupan mereka.

Kadang-kadang kita yang sempurna inipun tidak menyumbangkan apa-apa dalam kehidupan. Bahkan sering memberi seribu satu masalah kepada keluarga dan masyarakat sekeliling.

Dua contoh di atas adalah kisah nyata yang Tempua amati baru-baru ini. Ini hanyalah cebisan dari banyak lagi kisah-kisah yang pastinya membuka mata dan minda kita betapa kita sering memberi perhatian kepada hal-hal yang nampak hebat di mata kasar. Kita lupa dan terlepas pandang pada insan-insan yang tidak bernasib baik ini. Adilkah kita?

Tempua terfikir lagi...apakah kesudahan kehidupan kita di sana nanti akan baik? Hebatkah amal kita untuk mengharap syurga Allah? Tetapi Tempua pasti...mereka yang kurang upaya dari segi mental seperti kisah di atas tadi sudah pasti tempatnya di sana. Dia antara insan terpilih yang tidak nampak hebat di dunia, tetapi dijanjikan ganjaran hebat oleh Allah s.w.t.

Yang pasti, kehebatan di dunia yang kita perolehi dan banggakan ini tidak menjanjikan apa-apa. Lebih parah lagi bila kehebatan itu membuatkan kita lalai dan lupa yang kita ini adalah hamba-Nya yang lemah dan kerdil. Bila-bila masa sahaja Allah akan menarik semula Rahmat-Nya.

Hebatkah kita?!

- tempua.siber -

No comments: